Sukar Untuk Melepaskan

Sebulan dua kebelakangan, kami sekeluarga sibuk dengan persiapan majlis pernikahan anak sulung kami, Nabilla. Kekangan masa, jarak dan sumber kewangan menjadi penyebab terbesar beberapa kerja tidak dapat disiapkan segera. Banyak “nitty-gritty” yang perlu diberi perhatian oleh dua wanita berkerjaya yang hanya mempunyai masa terluang di sebelah malam dan hujung minggu.

Pengalaman berulangalik JB-Shah Alam setiap empat hari sekali dan lima jam dalam bas menjadi rutin yang saya nantikan kerana itu sajalah masa tidur paling nyenyak!

Akhirnya, pada 18 November yang baru berlalu, tibalah hari yang dinantikan.

Subhanallah.

Hati berdebar jantung bergetar. Semua rasa ada. Gembira, takut, cuak, gementar, sedih, sayu dan pelbagai lagi. Berbaur-baur. Syukur alhamdulillah Allah hadirkan beberapa sahabat yang rajin berpesan-pesan agar kami banyak memohon keampunan dan kemudahan dari Allah, serta sentiasa bersabar dan reda. Syaitan kelihatannya begitu rajin dan bersungguh-sungguh mahu menggagalkan usaha yang suci ini.

Usai solat Jumaat di Masjid Negeri, kami berhimpun di Dewan Nikah bagi acara yang paling dinanti. 27 tahun bersama satu-satunya puteri kami, saat itu airmata saya terasa begitu banyak. Seketika mendengar suara merdu Ustaz Firdaus Subhi membaca khutbah nikah, airmata sudah berjuraian tanpa henti. Hati terasa seperti disayat sembilu. Tangannya erat menggenggam tangan saya. Pandangan matanya sayu bercampur suram sambil bibirnya menguntum senyuman pilu.

Genggaman tangannya terasa semakin kuat ketika mendengar suara si Ayah memanggil pengantin lelaki. Ada getar di hujung suara si ayah. Saya terasa kosong seketika. Flash kamera, video dan lampu yang tersorot seolah terhenti.

Selepas beberapa ketika, saya lihat Ustaz mencapai mikrofon dan serentak mengucapkan  “Alhamdulillah”, helaan nafas lega terdengar memenuhi segenap ruang dewan. Di kala itu, dia memeluk erat badan saya menangis tersedu-sedu sambil berkata, “Ma…” Airmata tumpah tanpa mampu diseka. Allah Ya Allah. Gadis manja yang sekian lama menjadi teman paling akrab, kini sudah menjadi hak suami.

Sambil mengaminkan doa yang dibaca, pandangan hadirin tertumpu kepada si ayah yang tunduk sambil perlahan-lahan menanggalkan cermin mata lalu mengesat kedua belah mata dengan tisu. Saya pasti ramai yang turut sama mengalirkan airmata saat itu. Sukarnya untuk melepaskan si comel yang amat dikasihi.

Saya cuba menyelami perasaan sendiri mengapa dalam gembira dan syukur, ada rasa sedih dan terkilan yang amat.  Rasanya, jawapannya begini.

Dari dalam kandungan lagi, saya sentiasa berdoa Allah jadikan bayi yang saya kandung selama 35 minggu (lahir awal 3 minggu dari jangkaan),  insan berhati mulia yang berjaya di dunia dan akhirat. Kami beri nama Nabilla yang bererti “noble” atau “mulia” agar dia mendapat kemuliaan dariNya dan sekelian makhlukNya.

Hari berganti hari, dia membesar sebagai anak gadis yang ceria, peramah, kadangkala memberontak, maklum saja dikelilingi 4 adik lelaki, namun amat pemaaf dan mendahulukan orang lain. Saya nampak ketulusan hatinya menjaga hati sahabat dan saudara maranya yang lain.

Dia ringan tulang dan sentiasa bersedia membantu walau sesiapa sahaja tanpa persoalan dan mengharap balasan. Setiap hari dia bercerita dengan kami tanpa henti tentang apa saja. Kisah dalam keretapi, pejabat, pelanggan, Boss, kasut, buku cerita, movie. Semuanya.

Perjalanan hidupnya mudah; bermula dengan tadika, sekolah rendah, menengah, universiti dan alam pekerjaan. Sahabat-sahabat rapatnya pelbagai bangsa, lelaki dan perempuan, namun hanya ada satu nama lelaki yang sering disebut sejak dia melangkah ke alam dewasa – Azrul. Itulah nama yang dipanggil oleh si ayah sambil digenggam tangannya dan dinikahkan.

Dia berbeza dengan anak gadis lain yang menghabiskan wang gaji membeli alat solek, baju, kasut atau beg berjenama. Duitnya habis samada membeli buku, makanan kesukaan atau merawat berbelas ekor anak kucing yang menjadi kesayangannya.

Lantas, mengapa saya terasa begitu berat untuk melepaskan? Bukankah semua mudah baginya?

Hati berkata, Ya Allah! Semua orang pun tahu keindahan alam perkahwinan ada kalanya hanya ilusi.

Kami jaga dia dengan penuh kasih dan sayang. Terkadang, habis sebotol Ridsect disembur hanya kerana seekor nyamuk yang menggigit pipi comelnya hingga bengkak. Dia alah dengan MSG, aloe vera, habuk, jerebu, suhu sejuk, udang dan beberapa bahan dalam ubatan. Hospital sering menjadi rumah keduanya dan nebulizer sentiasa menjadi peneman setianya.

Bagaimana selepas ini?

Adakah dia akan dijaga dengan lebih baik? Bagaimana jika hatinya disakiti? Atau jika kasih sayangnya tidak dihargai? Sanggupkah saya membiarkan dia menangis sendiri?

Persoalan yang memberat di benak fikiran lenyap tatkala teringat doa yang sentiasa saya titipkan buatnya.

“Hadirkan seorang lelaki beriman dan bertaqwa dalam hidupnya yang akan membimbing dia memasuki syurgaMu Ya Allah.”

Itu yang saya ulang-ulang sejak dia kecil hingga kini.

Jadi, kenapa perlu ragu, Suria? Doa ibu tidak berhijab. Lagi pula, Azrul juga datang dari keluarga baik-baik yang tentunya sanggup memikul amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Biarpun sukar untuk melepaskan, namun keyakinan terhadap ayat Allah seharusnya menjauhkan saya dari dibebani dengan ketakutan yang tidak bersebab. Syaitan memang bijak sekali membisikkan hasutan agar kita ragu dan tidak yakin. Astaghfirullahil azim.

Dalam tafsir Ibnu Katsir, Juz 2, ada dituliskan bahawa telah ditegaskan dalam Shahih Muslim, dari Jabir, bahwa Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam khutbahnya yang disampaikan pada waktu haji Wada:

“Takutlah kepada Allah dalam urusan wanita. Kerana sesungguhnya kalian telah mengambil (menikahi) mereka dengan amanat Allah dan meminta kehalalan dalam mencampuri mereka dengan kalimat Allah. Akan tetapi, kalian memiliki (hak) atas mereka, bahawa mereka (isteri) tidak boleh mengizinkan seseorang yang kalian benci menginjak tikar (rumah) kalian. Jika mereka melakukan hal itu, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukai. Juga diwajibkan atas kalian (suami) memberi nafkah dan pakaian kepada mereka (isteri) dengan cara yang baik.”

Rasulullah juga bersabda, sepertimana diriwayatkan oleh Abu Dawud ketika ditanya tentang hak isteri;

“Hendaklah engkau memberikan makan kepadanya jika engkau makan, memberinya pakaian jika engkau berpakaian, dan engkau tidak boleh memukul wajahnya, tidak boleh menghina, dan tidak boleh mengisolasinya kecuali di dalam rumah.”

Selamat memulakan kehidupan baru, duhai anakku.

Mama doakan kalian berdua kekal bercinta hingga ke syurga.

Mudah UntukNya

Makan di restoran dan mendengar sebutan cashier, “sudah dibayar,” agak lumrah. Ada yang bayar dan beredar pergi. Semalam berbeza. Ada “peminat” menghampiri dan berkata,

Prof … saya sudah bayar.

Pantas beliau beredar. Tidak sempat saya melafazkan ucapan terima kasih dan berdoa agar beliau dipelihara oleh Allah SWT secara berdepan. Kemudian, saya nyatakan kepada Roza, “Yang … ambil kuih … nampak sedap.” Lalu saya berseloroh,

Alahai … ini kena bayar sendiri.

Ia logik bila menerima belanja orang yang sudah beredar. Pastinya mereka hanya bayar dengan apa yang telah atau sedang dimakan. Saya fikir begitu. Usai makan, saya terus ke cashier untuk membayar harga kuih.

“Tuan .. semuanya sudah dibayar.”

“Tahu … tetapi kuih saya ambil selepas beliau membayar makanan dan minuman yang lain.”

“Tidak tuan. Orang itu beri saya sejumlah wang. Apa sahaja yang tuan makan, beliau mahu membayar. Ada baki lagi. Dia suruh masukkan ke dalam tabung derma ini.”

“Allahu Akbar …”

Ia tidak pernah masuk dalam kotak minda memikirkan bagaimana hamba Allah ini mengambil tindakan sedemikian rupa.

Kami doakan beliau sentiasa dipelihara Allah.

BERDOA UNTUK KE SANA

Kita sering berdoa. Ada doa yang kelihatan dimakbul serta-merta. Ada masanya ia sudah terlupus dari ingatan.

Namun – bila sampai masa dan ketika – ia tetap dimakbul oleh Allah SWT. Sungguh, Dia Maha Pengasih lagi Maha Mendengar. Benarlah … Allah SWT telah berfiman dengan jelas dan nyata melalui ayat 186, surah al-Baqarah yang bermaksud,

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

(Terjemahan surah al-Baqarah, ayat 186)

Kini kami masih lagi meminta. Ia permintaan seiras dengan permintaan Roza. Kami mahu ke negara baru. Kami mahu tinggal di sana. Kekal selama-lamanya. Ia negara syurga Firdaus. Bezanya, kali ini kami benar-benar mahu Allah SWT memakbulkan permohonan ini. Ia bukan satu pilihan samada kami mahu ke syurga atau neraka. Benar, kami mahu hanya ke syurga Firdaus dengan rahmatNya.

Ya Allah, Kau kasihanilah kami agar dapat bertemu kembali di Firdaus. Ampunilah kami ya Allah.

Kami – saya dan Roza – mahu bersama. Malah – biarlah – kedua ibu bapa, anak-anak, adik beradik, kaum keluarga, sahabat handai serta kaum muslimin-muslimat juga dapat berkumpul dan saling mengucap selamat di syurga. Lalu kami berdoa dan – Insya Allah – akan kami teruskan sehingga nyawa terputus. Bukankah mereka yang tidak berdoa merupakan ahli neraka?

Dan Tuhan kamu berfirman:

Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.

(Terjemahan surah al-Mu’min, ayat 60).

Doa merupakan ibadat mudah. Saya rasa begitu. Berdoa dan meminta memang sifat semulajadi manusia. Manusia akan meminta bila mereka benar-benar berkehendak. Begitulah, jika kita memahami betapa kita tidak mempunyai pilihan samada syurga atau neraka maka berdoa juga merupakan satu usaha yang sangat signifikan.

Berdoa boleh dilakukan semasa dan selepas solat, ketika berjalan, duduk, baring dan secara hakikatnya pada setiap ketika. Benar juga ada masa-masa yang diberi keutamaan, amalan dan sifat tertentu manusia yang dikatakan doanya lebih mustajab di sisi Allah SWT. Hakikatnya, itulah anugerah Allah SWT. Misalnya, Dia telah memberi tawaran lumayan – bagaimana mahu doanya mustajab – sebagaimana hadis berikut,

Allah SWT turun ke langit dunia ketika 1/3 malam masih tersisa dan Allah menyeru: “Adakah antara hamba Ku yang berdoa kepada Ku, supaya Aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hamba Ku yang meminta ampun kepada Ku, supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hamba Ku yang meminta kepada Ku, supaya Aku memenuhinya?

(Hadis riwayat Imam Bukhari pada sohihnya, kitab: Tahajjud, Bab: Doa pada solat di akhir malam. Nombor hadis: 1145).

Allah SWT bertegas mahu memakbulkan doa hamba-hambaNya yang bangun pada 1/3 hujung malam tersisa. Apa sahaja yang diminta mahu dipenuhinya. Allah ya Allah … masa kita sangat suntuk, bercita-cita mahu ke Firdaus bersama isteri(suami), ibu bapa, anak-anak dan kaum keluarga dan sahabat handai, tidak mahukah kita menjawab pertanyaanNya itu dengan berkata, “kami ya Allah … kami ya Allah, kami ya Allah. Kami berdoa, kami bertaubat dan kami meminta”.

Sungguh, Dia Maha Pengasih.

Namun ada sifat jelik manusia yang dimurkai oleh Allah SWT. Manusia sering berdoa ketika mereka berada di dalam kesusahan dan ditimpa musibah. Jika mereka senang, bahagia dan tidak berdukacita maka mereka sering lalai dan alpha tentang kehadiran Allah SWT. Mereka lupa untuk bersyukur. Manusia mudah bertukar cerita. Tingkah lakunya berbeza. Anehnya … ada juga yang terlanjur sehingga melakukan perkara terlarang di dalam meraikan kegembiraan.

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah beliau serta menjauhkan diri (dari bersyukur) dan apabila beliau ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.

(Terjemahn surah Fussilat, ayat 51)

Manusia juga tidak mempunyai sifat sabar. Buktinya mudah. Jika mereka berdoa dan menganggap ia semata-mata sebagai meminta sesuatu – selalunya – maka ia tidak mampu bertahan lama. Selepas beberapa ketika berdoa dan meminta mereka biasanya mula berkeluh-kesah dengan permintaan yang kelihatan tidak diambil perhatian oleh Allah SWT. Sikap seumpama ini jelas digambarkan oleh Baginda SAW dalam satu hadis yang bermaksud,

Abu Hurairah r.a. berkata yang Nabi SAW bersabda:

Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba, selama doa itu tidak mengandung dosa, atau memutus silaturrahim dan selama tidak memohon cepat-cepat diperkenankan.

Lalu beliau ditanya orang, “Apa maksudnya memohon cepat-cepat?” Baginda menjawab, “umpamanya seorang berkata dalam doanya, aku telah mendoa, aku telah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu beliau berputus asa dan berhenti mendoa.

(Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis bernombor 2355).

Sungguh, Allah itu Maha Pengasih. Dia berjanji mahu memakbulkan mereka yang bersungguh-sungguh berdoa mengikut aturanNya. Misalnya, setiap permintaan – melalui doa – mereka yang beriman dan bertaqwa akan diperolehi di dalam syurga. Allah SWT berfirman,

Mereka beroleh di dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki, mereka pula kekal di dalamnya. Balasan yang demikian adalah satu janji yang dijamin oleh Tuhanmu, lagi yang dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing).

(Terjemahan surah al-Furqaan, ayat 16).

Sungguh – selain Roza – saya benar-benar mahu berkumpul di Firdaus bersama kedua pasang ibu bapa – ayah, wan, mak dan abah – yang telah banyak berjasa kepada kami sekeluarga. Merekalah yang telah membantu kami membentuk asas kehidupan.

Saya fikir ramai di antara kita yang begitu kasih, sayang dan cinta kepada kedua-dua ibu bapa. Bayangkanlah bagaimana seronoknya apabila pulang berhari raya ke rumah kedua ibu bapa setelah hanya beberapa bulan berpisah kerana sudah mempunyai kehidupan sendiri. Allah ya Allah … perpisahan dan pertemuan kerana kematian tentunya lebih meriah dan tidak dapat digambarkan.

Apatah lagi jika ia berlaku di syurga Firdaus!

Bayangkanlah betapa ramai yang menitiskan air mata ketika ibu dan ayah meninggalkan kehidupan dunia. Jika itulah kemahuan kita – mahu bertemu dan berkampung di Firdaus bersama ibu bapa – maka pamerkan rasa cinta tersebut dengan menjadi anak soleh dan solehah yang mendoakan kedua ibu bapa agar mereka terlepas siksa kubur, Padang Mahsyar dan azab api neraka.

Doakanlah agar kita dan mereka bertemu di Firdaus. Bukankah Allah memberi kelebihan kepada anak yang soleh dan solehah sebagaimana diucapkan oleh Baginda SAW yang bermaksud,

Abu Hurairah r.a. menyatakan Rasulullah SAW bersabda:

Apabila seorang di antara kamu meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya.

(Hadis Riwayat Muslim)

Juga … kita kasihkan anak-anak. Setiap daripada kita mahu mereka beriringan bersama ke syurga Firdaus. Bayangkanlah bagaimana anak-anak bersama pasangan mereka dan cucu-cicit-ciut yang mungkin tidak dikenali di dunia saling berpeluk dan mengucap salam di Firdaus. Allah … Allah … ya Allah, menulis inipun sudah terasa sebak di dada. Apatah lagi jika impian sebesar ini menjadi kenyataan. Ia berlaku ketika kita tahu yang ia akan kekal abadi selamanya.

Hakikatnya, mahukah kita melihat mereka – anak keturunan sendiri – tersiksa menghadapi azab kubur, padang Mahsyar dan api neraka? Benar, impian dan harapan kita belum tentu terlaksana. Ia hak, anugerah dan rahmat Allah SWT.

Kenangilah kisah Nabi Noh yang gagal membawa anak-anaknya menaiki bahtera yang bakal membawa mereka ke syurga. Ia bukan soal baginda tetapi anak-anaknya yang memilih untuk menjadi kufur ingkar.  Mereka kekal di neraka buat selamanya.

Namun kita dianugerah Allah SWT dengan satu keistimewaan yang cukup luar biasa, iaitu doa ibu bapa diterima dan dimakbulNya. Bukankah Baginda SAW pernah bersabda yang bermaksud,

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya.

(Hadis riwayat Imam Tarmidzi, Ahmad dan Abu Daud)

Malah berdoa untuk sahabat yang berjauhan juga dimakbul Allah sebagaimana yang dinyatakan oleh Baginda SAW yang bermaksud,

Abu Hurairah r.a berkata yang Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Perhatikan uban di kepala. Lihatlah kedut-kedut yang mula timbul di muka. Kemudian kenangilah masa-masa yang telah kita lalui. Akhirnya, fikirkanlah saat-saat kematian yang bakal muncul. Apakah kita mampu membawa diri, isteri, anak-anak dan kaum keluarga bersama ke Firdaus. Allah SWT mengajar agar kita sentiasa berdoa untuk Dia makbulkan permintaan tersebut. Allah SWT mahu kita bercerita, mengadu dan memohon belas kasihanNya agar kita memahami betapa kita adalah hamba dan Dia adalah Pencipta.

Begitulah hebatnya kuasa doa yang kelihatan mudah dan ringkas. Namun – dalam kebanyakan kes – Allah SWT mengajar kita untuk melakukan pelbagai ibadat lain dan mengaitkannya pula dengan amalan berdoa yang mahu dimakbulNya. Misalnya amalan berpuasa. Puasa adalah amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT sehinggakan pahala orang yang berpuasa hanya Allah SWT sahaja yang akan menentukannya. Malah dalam satu hadis dinyatakan betapa doa orang yang berpuasa sangat mustajab di sisi Allah SWT. Nabi SAW bersabda yang bermaksud,

Ada tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT. iaitu doa orang yang berpuasa sampai berbuka, doa seorang pemimpin yang adil dan doa orang yang dianiaya.

(Hadis Riwayat Tarmidzi)

Sungguh, Dia Maha Pengasih. Allah SWT telah memberi banyak keadaan untuk kita berfikir. Dalam konteks berdoa – misalnya – dinyatakan secara jelas betapa doa pada 1/3 malam tersisa akan dimakbulkan, doa anak yang soleh dan solehah kepada kedua ibu bapanya, doa ibu bapa kepada anak-anak, doa sahabat yang berjauhan dan doa mereka yang berpuasa juga sangat mustajab.

Berdoalah kerana Allah. Berdoalah agar Allah SWT membawa kita, seluruh keturunan dan sahabat handai ke syurga Firdaus. Insya Allah, sungguh, Dia Maha Pengasih.

Benar, saya impikan bersama-mu di Firdaus. Biarlah masa berbaki ini – walaupun singkat – kita usahakan untuk mendapat RahmatNya agar terpilih di antara yang sedikit berjalan pergi tanpa dihisab. Membayangi kematian boleh menjadikan kita lebih zuhud dengan dunia.

Usia tua bersama biarlah disirami dengan rasa cinta berterusan. Biarlah daku mengusik uban rambut, garis-garis di kelopak mata atau jelly di tubuh namun daku menanti ketika usiamu sentiasa kekal muda, perawan dan tanpa rasa cemburu di hati.

Marilah kita berdoa sebagaimana Baginda SAW berdoa sebagaimana yang tercatat melalui hadis yang catatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud,

Dari Abdul ‘Aziz r.a. iaitu Ibnu Shuhaib katanya:

Qatadah bertanya kepada Anas r.a., doa apakah yang sering dibaca Nabi saw?

Anas menjawab, “doa yang paling banyak dibaca Nabi saw. ialah: Allahumma aatina fid dunya hasanah. wa fil aakhirati hasanah, Wa qinaa ‘adzaban nar.”

(Wahai Allah, berilah kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat, serta hindarkanlah kami dari seksa neraka)

(Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis bernombor 2312)

Di atas segalanya, saya meyakini betapa sungguhnya Allah itu Maha Pengasih. Sedikit manapun masa berbaki – Insya Allah – pintu Firdaus terbuka luas untuk kita berpegangan tangan di Raudhah. Berdoalah.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

Mata Tidak Semata Untuk Menatap

Salah satu nikmat besar kurniaan Allah kepada manusia ialah mata zahir. Dengan adanya mata zahir, datang pula nikmat lain yang berkaitan dengan mata zahir itu, yakni penglihatan. Mata zahir sebagai pengantara untuk terjadinya penglihatan melalui mata zahir.

Penglihatan itu satu nikmat.

Pandanglah alam semesta yang indah, ciptaan Allah tanpa cacat cela.  Lihatlah bagaimana langit dibangunkan, gunung-ganang dipasak, laut direntang, bumi dibentangkan dan yang paling dekat ialah jasad sendiri bagaimana ia disempurnakan.

Mata (penglihatan) tidak cukup peranannya untuk menatap alam sahaja. Mata juga harus digunakan untuk menangis. Sekali imbas benar kata ahli psikologi, hidup bukan untuk menangis. Benar, hidup mesti menahan air mata.

Namun bagi seorang pendosa (hanya Nabi yang maksum) air mata menjadi tanda penyesalan yang sungguh-sungguh. Orang mudah menangis kerana kehilangan sesuatu yang berharga atau orang yang disayangi; tetapi tidak mudah untuk menangis kerana dosa-dosa yang telah dilakukan. Insan yang mampu menangis kerana penyesalan terhadap dosa-dosanya, merupakan insan yang hebat dan benar-benar mempunyai kesucian dan kelembutan jiwa.

Perhatikan puisi yang diutarakan oleh Ibnul Jauzi dalam kitabnya ‘Bustan al-Wa’izhin’ :

 

“Mengapa matamu tidak menangis atas apa yang terjadi terjadi

Mengingatkan dosa, takut api neraka dan kebinasaan

Wahai pendosa yang kejahatannya akan dihitung

Jangan kau lupakan dosamu dan ingatlah apa yang telah kau lakukan

Dari dosa-dosa yang tak hentinya

Bagaimana kau akan lulus dan padahal semuanya telah dicatat dalam lembaran

Tidakkah kau takut semua akan dibongkar

Di mana penutupnya akan terbuka darinya.”

(Ibnul Jauzi, ‘Bustan al-Wa’izhin : Suluh Penyucian Jiwa’ terjemahan Iman Firdaus Lc)

Inilah air mata yang berharga.  Tangisan yang berharga ialah tangisan keinsafan semasa di dunia. Di Yaumul Mahsyar air mata sudah tidak bernilai, tidak diendahkan oleh Allah, tidak boleh dijadikan bahan dagang atau apa pun.  Di sana hanya menunggu hisab, menunggu syafaat,  keampunan, rahmat dan naungan daripada Allah.

Malah di antara orang mendapat naungan Allah di Yaumul Mashsyar ialah orang yang berzikir tatkala sunyi dan menangis. Insan yang benar-benar taat akan Allah bersyukur dan menangis. Mereka ini sujud dan menangis. Mereka ini berdoa dan menangis. Mereka bertaubat juga menangis. Maka menangis di dunia ini satu perkara yang terhitung terpuji di sisi Islam.

Mata bukan semata-mata untuk menatap.

Mata juga untuk menangis. Orang yang hebat, menangis menginsafi diri dan tanda syukur atas segala nikmat Allah.  Gunakan mata untuk perkara-perkara ini.

Mafhum firman Allah : “Serta mereka menegaskan dalam sujudnya), ‘Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap laksanakan. (108) Dan mereka segera merebahkan diri bersujud sambil menangis, sedangkan al-Quran menambahkan mereka khusyuk.(109)”

(Mafhum Surah  Al-Isra’[17]:108-109)

Wallahu a’llam.

[Darma Mohammad]

Pertolongan

Bekas anak murid, bekas rakan sejawat dan saya beranggapan sebahagian daripada ahli keluarga mengadu kepayahan di dalam pengajian PhDnya. Ia kemuncak kepada satu perjuangan bermula beberapa tahun yang lalu.

Jika larian 100 meter, maka ia kelihatan seperti pecutan 10 meter terakhir. Ia bergerak sendiri tanpa tenaga khusus yang dapat dikawal. Itulah stamina terakhir sebelum mencecah garis penamat.

Apalah yang boleh saya bantu. Bidang pengajian beliau sangat berbeza dengan sedikit pengetahuan yang saya ada. Sungguh … mendengar tanpa suara – kerana ia dinyatakan melalui alam maya – sangat sukar. Lalu saya menulis,

Akhirnya … hanya satu yang boleh membantu, DIA. Bertahajud dan minta DIA bagi jalan, bagi ketenangan dan bagi kemudahan. InsyaAllah saya akan turut olat dan berdoa …
Begitulah … PhD membawa kita lebih hampir kepadaNya. Hakikatnya, kita keseorangan. Ia perjuangan yang sungguh sunyi.Tiada sahabat yang dapat membantu secara mutlak.
Semoga Allah permudahkan!

Pendapatan (2)

1988

Saya melaporkan diri sebagai pensyarah baru UiTM (dulu dikenali sebagai ITM). Bos, Dekan Fakulti Perakaunan menyatakan, “tiada kekosongan di Shah Alam. Yang ada di Sabah atau Jalan Othman. Jika kamu mahu ke Jalan Othman, akan ditempatkan di Kajian Luar Kampus. Mengajar malam.”

“Jalan Othman,” saya menjawab pantas.

Gaji lulusan baru RM1300. Saya rasa banyak kerana teman-teman lain hanya mendapat gaji pokok RM1100. Lulusan perakaunan mempunyai gaji permulaan yang lebih tinggi.

Ia kisah 28 tahun berlalu. Dengan gaji sebanyak itu saya mampu menyewa rumah dua bilik di Subang Jaya. Sewanya RM240. Kemudian memiliki kereta Nissan March 1000cc dengan bayaran bulanan RM370.

Tugas kami bermula 6 petang sehingga 10 malam. Lalu tugas mengajar dikira berganda. Dua jam mengajar bersamaan 4 jam pensyarah bersyarah sepenuh masa. Siswa-siswi hampir kesemuanya berusia tua daripada saya. Mereka sedang bekerja dan menyambung pelajaran secara separuh masa.

Sungguh … kehidupan ketika itu sangat mudah. Duit kelihatan sedikit sudah memadai untuk hidup sebulan.

Kemudian berumahtangga. Roza juga bekerja. Gajinya RM450. Perkara pertama yang dilakukan dengan mencabut RM100 setiap bulan untuk diberi kepada ibunya. Baki RM350 itulah yang dibelanjakan setiap bulan. Rasanya ia tidak pernah berbaki.

Kami tidak pernah berfikir untuk melancong. Dalam atau Luar Negara bukanlah satu isu dengan pendapatan sebanyak itu. Namun Allah SWT memberi rezeki melancong selepas saya dibenarkan melanjutkan pelajaran di United Kingdom selama setahun.

Habis satu UK kami redah. Berjalan cara orang tidak berduit. Malah Allah SWT memberi rezeki kerana berjaya menamatkan pengajian sebulan lebih awal. Perubahan masa menjadikan pendapatan bertambah dengan melepasi satu tahap tangga gaji bergelar Pensyarah Tingkatan Kanan. Gaji dasarnya RM2205 denga elaun keraian RM300.

Kemudian, pendapatan semakin bertambah kerana bertugas di Sarawak. Ada elaun wilayah. Rumah dibayar kerajaan dan diberi elaun pentadbir akademik. Kemudian, saya belajar menulis di sini.

Setiap bulan, Utusan Sarawak membayar RM600 sebagai penulis mingguan di akhbar mereka. Sesekali Berita Harian atau Utusan Malaysia dan majalah Dewan Ekonomi membayar wang saguhati apabila tulisan tersiar.

Sana sikit. Sini sikit.

Kehidupan terasa mencukupi. Tidaklah kaya sampai wang berlebihan di bank. Ia secukupnya untuk sesekali High-Tea di Hilton Kuching bersama isteri dan anak-anak.

Saya merenung masa lalu mengenangi masa kini. Allah SWT memberi rezekinya banyak sekali. Tidak putus-putus.

Ia untuk kita bersyukur.

Kita Sakit

Besar atau kecil sesebuah hospital – salah-satunya – dikira daripada bilangan katil. Ketika berada di PPUM, saya dinyatakan, “Maaf UncleUncle sepatutnya dihantar ke ICU tetapi disebabkan katil penuh, kami terpaksa hantar ke CCU.”

Saya fikir ICU dan CCU seiras.

Namun ada sesuatu yang menerpa minda. Saya fikir ramainya pesakit kritikal sehingga tidak cukup katil. Fikiran saya melayang jauh. Mereka yang ditahan di hospital tentunya hanya mempunyai satu sebab khusus. Mereka sakit, perlu pemerhatian dan rawatan. Mereka hanya akan discaj apabila,

  1. Sembuh sepenuhnya
  2. Belum sembuh tetapi memadai dengan meneruskan rawatan dari rumah
  3. Meninggal dunia

Saya sudah lama memikirkan kisah perjalanan seorang pesakit yang perlu dirawat di hospital, berubat dan discaj sehingga memikirkan dunia yang kita diami ini seiras dengan hospital. Dunia adalah hospital terbesar yang di dalamnya terkandung klinik-klinik kecil.

Kenapa? Hakikatnya, kita semua sakit. Analoginya mudah. Semua umat Nabi Adam berdosa. Jika berdosa itu satu penyakit, maka ia mula menyerang manusia sejurus akil-baligh. Jenis sakit ini pelbagai. Rawatan boleh dilakukan sepanjang masa.

Akhirnya … kita semua akan discaj daripada hospital ini. Beza dengan PPUM, kita dibenarkan keluar daripada hospital besar kerana arahan Tuan Punya Hospital yang menyatakan masanya telah tiba, “tidak cepat dan lambat sesaat.”

Discaj bukan kerana sihat atau boleh dirawat selepas dibenarkan keluar daripada hospital ini.

Akhirnya juga … kita hanya tahu yang kita “sihat sejahtera” ketika discaj setelah diarahkan “masuk syurga tanpa dihisab”, masih perlu diberi rawatan kerana diarahkan memasuki “neraka seketika” sebelum dipindahkan ke syurga atau menghidap penyakit kronik yang diketahui tidak akan sembuh sampai bila-bila apabila, “kekal selama-lamanya di dalam neraka.”

Penyakit kronik hanya satu, “syirik dan menduakan Allah.” Ia bukan kanser, serangan jantung, kerosakan buah pinggang atau mana-mana penyakit yang sekelas dengannya. Di sisi Tuan Punya Hospital Besar, kesemua penyakit ini diberi sebagai satu ujian supaya kita berubat kepada penyakit lain yang lebih besar.

Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat).

(Terjemahan surah al-Anaam: 6:42)

 Ironinya, ramai yang tidak sedar atau pura-pura tidak tahu dengan keadaan ini. Mereka sakit sehingga dibawa ke “klinik” tetapi masih tetap meninggalkan solat. Masih kekal dengan keangkuhan melakukan rasuah, zalim sesama manusia, berbohong, dengki dan khianat.

Malah tempat hadir “orang sihat sejahtera” tidak terlalu ramai terutamanya pada waktu fajar. Ia boleh dibilang dengan jari di setengah-setengah kawasan.

Benar, kita berubat dan bersyukur apabila disembuhkan. Namun jangan lupa, Allah mahu kita berdoa, insaf dan bertaubat. Itulah tanda awal kita mulai sembuh.

Allah ya Allah … kami mohon keampunanMu ya Allah.

Hadiah buat Suami: Maafkanlah …

Lidah tidak sepatutnya tergigit. Namun ia tetap berlaku. Lalu timbullah kata-kata, “sedangkan lidah lagi tergigit ….”.

Lidah lembut tanpa tulang jarang menonjol di khalayak. Ia tersorok. Namun sesekali berfungsi, tajamnya menikam hati. Gigi bertugas rasmi sesekali-sekala tidak berupaya mengelak daripada menggigit lidah. Bagaimana mahu mengunyah makanan jika lidah bergerak-gerak. Lalu kata orang, ”jika tidak mahu lidah tergigit … duduk diam-diam. Berfungsilah apabila diperlukan”.

Lidah dan gigi ibarat suami isteri. Mereka saling memerlukan. Bayangkan bagaimana mahu membaca al-Quran dengan tartil jika tiada gigi dan lidah tidak digerakkan ke atas dan ke bawah. Bersekali dengan bibir mengawal pergerakan – tutup dan buka – apabila diarahkan.

Bayangkan juga bagaimana kiranya bibir berdegil tidak mahu menutup secara berpasangan apabila menghirup minuman? Apakah yang terjadi jika bibir tidak mahu menerima arahan otak agar membuka mulut seluasnya menerima makanan? Ketika itu kehebatan gigi dan lidah tidak ke mana.

Subhanallah!

‟Tiada siapa sempurna dalam hidup ini. Masing-masing ada masanya terkhilaf. Jadi … maafkanlah,” nasihat seorang ibu mithali.

Ketika usia perkahwinan masih muda, terlalu banyak harapan diberikan kepada suami dan isteri. Si isteri mengharapkan bantuan suami bersama-sama menjaga anak. Sekurang-kurangnya membantu menyediakan sebotol susu atau menyalin lampin pakai buang ketika isteri sibuk berperang di dapur atau anak menangis di tengah malam.

Namun, sebagai isteri usahlah menganggap ia tugas wajib dilakukan oleh suami terutamanya apabila berada di khalayak ramai atau di sekelilingi saudara-mara. Usahlah berkata dengan nada memberi arahan atau mengeluh,

Abang … anak kan menangis. Cuba tengok, lapar susu ke atau lampinnya basah.

Allah … Allah ya Allah … suami tidak suka diperlakukan dengan arahan begitu. Ia menampar ego kelakiannya. Sekalipun suami tidak kisah namun barangkali ibu atau kakak-kakaknya memerhatikan keadaan. Tidak elok dipandang mata, tidak cantik perbuatannya.

Duhai suami yang baik hati … bertegaslah walau sedalam mana sayang mu terhadap isteri. Usah biarkan dirimu diperlakukan begitu. Usah bersikap lemah bukan pada tempatnya. Tolong menolong dan bertolak ansur mesti kena pada waktunya.

Hakikatnya tidak semua dianugerahi suami selembut itu. Ramai isteri menahan dan memendam rasa. Segalanya diserahkan ke bahu wanita bernama isteri. Mentang-mentang isteri terlalu cekap maka segala urusan ditimbunkan ke bahu beliau. Ada suami berkata,

Alhamdulillah! Saya bersyukur sebabnya isteri saya bertenaga kuda. Dia mampu bekerja dari pagi hingga ke malam. Semua urusan dilakukan sendirian.

Duhai suami yang disayangi isteri … tidak kasihankah melihat isterimu bertungkus lumus menguruskan rumah tangga? Beliau menyusukan anak mu, membasuh, menyidai, melipat dan menggosok baju. Beliau juga memasak makanan mu.

Tidakkah merasa belas melihat isterimu – sebelum fajar – sudah bangkit menyiapkan keperluan anak-anak ke nurseri dan ke sekolah? Beliau menyediakan sarapan, menghantar anak-anak ke sekolah dan menjemput pulang pada sebelah petang. Balik ke rumah kerja-kerja lain masih menunggu.

Duhai suami … maafkanlah … jika sesekali isterimu memalingkan muka bagi melindungi suram serta sedih terpancar di wajahnya. Sebenarnya isterimu keletihan. Beliau kepenatan setelah seharian bertungkus-lumus dengan segala urusan.

Lalu, kami terbayang kehidupan ketika bermukim di bumi Rasulullah SAW, Bandaraya Madinah. Tidak pernah sesekali kami melihat wanita menghantar anak-anak ke sekolah. Mereka tidak berkeliaran di pasar-pasar basah membeli daging, ayam, ikan serta sayur-sayuran. Apa yang dibawa suami pulang maka itulah yang dimasak oleh isteri di rumah.

Sesekala kami melihat pasangan suami-isteri ke kedai runcit membeli bekalan keperluan dapur. Walau tersembunyi di sebalik niqab, terbayang wajah bahagia. Barangkali bahagia dapat keluar menjalankan tanggungjawab bersama.

Di Tanah Air sendiri, kami pernah melihat wajah kesal si isteri apabila  suami menolak ketika diminta membeli keperluan di kedai berdekatan. Apakah alasan suami? …

Awak pergilah sendiri. Bukankah awak boleh memandu kereta? Dekat sahaja …

Sungguh benar, pasti mencuka wajah isterimu duhai suami. Dekat atau jauh … bukanlah isu bagi seorang wanita bernama isteri. Jika malas pergi sendirian, ajaklah isteri bersama. Beliau pasti kegirangan berdua-duaan di luar seketika walau sekadar untuk membeli sebotol minyak masak.

Ketika di Madinah, kami kagum melihat jiran wanita berbangsa Arab. Rumah beliau tersusun kemas, sering menghantar juadah kepada kami sekeluarga dan masih bekerja sebagai guru sekolah.  Kami bertanya,

Apakah benar semua kerja rumah wanita Arab dilakukan pembantu?

Beliau tersenyum sambil memandang saya dengan wajah kehairanan. Kata beliau,

Bukan semua orang Arab kaya raya. Kami berasal dari keluarga sederhana. Saya menuntut ilmu sehingga ke universiti dan bekerja. Apabila berumah tangga, saya perlu memasak dan melakukan kerja-kerja rumah bagi meringankan tugas suami.

Jika kami tidak mampu melakukan semua itu, kami bercuti tanpa gaji. Jika telah melampaui had tertentu, kami rela berhenti kerja.

Di akhirat nanti … Allah tidak bertanya tentang jawatan, gaji dan kelulusan kita. Apakah yang akan ditanya? Apakah kamu taatkan Allah, Rasul dan suami mu?”

Allahu Rabbi. Kami memohon keampunanMu. Maafkanlah kami duhai suami…

Subhanallah!

Bawa Daku Bersamamu

Awak mahu minum?

 Angguk. Isyarat itu sahaja yang mampu dilakukan. Angguk dan geleng. Dirinya lemah sekali. Namun – Alhamdulillah – isteri sentiasa di sisi mengenal pasti keperluan suami tersayang.

Makan dan minum disuapkan. Tangan sasa suaminya kini sudah tidak mampu menghalakan sudu ke mulut sendiri. Jangankan mengangkat tangan, membuka mata pun sudah tiada upaya. 

Begitulah fitrah manusia. Dilahirkan dengan keadaan lemah, kemudian semakin hari semakin kuat bertenaga. Kini beransur lemah kembali. Namun, sesekali terjaga beliau bertanyakan waktu solat. Meminta diambil wuduk. Beliau tetap mahu bersolat.

Saya mengagumi isteri yang melayani suami ketika terlantar tenat pada hari tua. Hati tidak dapat mengelak untuk berkata-kata,

 Ya Allah ya Tuhanku … mampukah daku setabah dan sesabar ini melayani suami pada kala dia terbaring lesu dan perlukan bantuan.

Namun masa itu pasti tiba. Jika ditakdirkan suami dijemput dahulu menemui Ilahi, saya berikrar serta berjanji untuk tidak menitiskan air mata.

Mampukah saya?

Rasulullah SAW juga dilanda kesedihan ketika pemergian Siti Khadijah.  Itulah isteri paling dicintainya. Baginda SAW berpoligami hanya setelah pemergian isteri pertama. Allah ya Allah … semuanya terkandung seribu hikmah yang tidak mampu ditelah manusia.

Apakah saya setabah A’isah binti Abu Bakar? Beliau masih terlalu muda ketika suami pergi menemui Tuhannya. A’isah ditinggalkan sendirian tanpa zuriat dan harta. Malah beliau isteri nabi yang tidak boleh mencari ganti. Ia dinyatakan dalam kitab suci al-quran.

Allah … Allah ya Allah … berbahagialah suami beriman yang berjaya mendidik isterinya supaya juga beriman. Bukankah Allah menjanjikan orang-orang beriman dengan syurganya? Allah SWT telah nyatakan melalui surah at-Taubah, ayat 72 yang bermaksud,

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam Syurga Adn serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.

Dalam waktu terbatas, saya merenung suami di sisi. Sungguh, suatu ketika nanti kami juga bakal dipanggilnya. Apakah usia perkongsian hidup digembleng bersama untuk mengabdikan diri kepadanya? Apakah cukup bekalan diperuntukkan untuk sama-sama bertemu kembali di negeri kekal abadi?

Diam-diam saya renungi diri. Bukankah ketika diijabkabulkan saya diingatkan oleh wali agar taat perintah dan larangan Allah, mengikuti ajaran Rasullah SAW dan mentaati suami. Ada makna menusuk hati memahami betapa Hawa diciptakan Allah dari Adam, suaminya sendiri. Melalui surah an-Nisa’, ayat 1 Allah berfirman yang bermaksud,

Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namanya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Allah … ya Allah … terlalu banyak kenyataan di dalam Quran menyentuh tentang kewajipan lelaki terhadap wanita. Misalnya pemberian nafkah, pakaian, keselamatan, pelindungan, maruah dan agamanya.

Sebaliknya, wanita bertanggungjawab mengurus rumah tangga, menjaga kehormatan, maruah suami dan anak-anak. Tidak pula dibebani dengan kerjaya di luar rumah. Maknanya, wanita tidak akan dipersoalkan Allah SWT jika tidak keluar mencari rezeki sebagaimana suami. Ia bukan tugas hakiki.

Dunia moden hari ini menyaksikan begitu ramai wanita meninggalkan rumah mencari rezeki. Seolah-olah ia suatu amalan wajib terutamanya selepas melepasi pengajian peringkat tertinggi di universiti. Jika ada wanita yang tidak mahu begitu sering dipandang negatif. Benar, ia pilihan minoriti.

Salahkah jika wanita turut sama membantu suami menyara keperluan keluarga?

Tidak ada salahnya. Namun segala-galanya perlu jelas. Syarat pertama, wanita harus memastikan keadaan pengurusan rumah dan anak-anak sentiasa teratur dan rapi. Kedua, masalah anak-anak di dalam pelajaran dan kasih-sayang  tidak terabai. Ketiga, penjagaan adab-adab, kesopanan dan tatasusila sebagai wanita bermaruah apabila berhadapan dengan masyarakat bercampur-aduk. Akhirnya, penjagaan aurat dengan sempurna sebagaimana yang disyariatkan Islam dalam al-Quran.

Agaknya berapa ramai para isteri mahu akur dengan keadaan ini?

Saya berpaling melihat diri berkali-kali. Lalu bertanya diri, “bukankah mulut menyebut mahu bersama suami tercinta serta zuriat keturunan masuk bersama ke syurga Firdaus?”. Jika itu impiannya maka setiap orang perlu bergerak ke arah tersebut. Perlahan-lahan saya mencatat senarai semak apakah amalan kebaikan yang dituntut dilakukan serta larangan Allah telah ditinggalkan.

Apakah amalan dan pembawaan melayakkan kami sekeluarga menjadi ahli syurga tanpa dihisab dengan rahmatnya?

Banyak sungguh pertanyaan yang singgah di fikiran pada kala usia berbaki semakin singkat. Pertama, apakah kami mentaati Allah dan menyerahkan segala urusan hidup semata-mata kerananya? Apakah kehidupan kami dalam reda dan rahmat Allah SWT?

Kedua, apakah kami tidak berpaling daripada al-Quran dan sunah? Apakah jalan dituju berada dalam landasan yang lurus?

Ketiga, apakah daku berjaya menjadi wanita bahagia yang menjalankan tanggungjawab kepada suami dan anak-anak?

Keempat, apakah daku wanita yang disayangi suami telah berbuat baik terhadap kedua orang ibu bapa serta mertua? Apakah daku menggembirakan hati pada hari tua mereka?

Kelima, apakah daku wanita yang terlalu menumpukan kepada duniawi, mengejar kemewahan, memperagakan kecantikan diri, bermegah-megah dengan segala kelebihan yang ada? Apakah daku terlalai dengan segala urusan dunia sehingga tergesa-gesa menjalankan urusan akhirat?

Akhirnya, sabar dan semakin tundukkah daku ketika diuji? Apakah daku merungut, mencemuh, merepek-repek dan bergundah gulana kerananya? Berjayakah daku menjadi isteri dan ibu yang sabar menghadapi ujian suami dan anak-anak? Apakah daku bersyukur dan mendekatkan diri kepada Tuhan yang maha Esa sepanjang masa?

Allah ya Allah … ampunkan daku jika terlanjur dan menyakiti suami tanpa sedar kerana kejahilan diri. Ampunkan dosa atas kelemahan suamiku membentuk daku menjadi wanita sempurna. Masa yang berlalu telah berlalu ya Allah. Kami memohon keampunanMu dalam waktu tersisa.

Wahai Tuhan penguasa alam … perkenankanlah!

Badut dan Kebahagiaan

badutSi Badut tugasnya membahagiakan orang terutamanya kanak-kanak. Ramai yang menjadikan ia sebagai kerjaya samada sepenuh masa atau secara sambilan.

Mereka cuba membuat orang terhibur dengan persembahan mereka. KPInya mudah, jika hadirin gembira maka beliau akan dijemput lagi.

Sabtu lalu, si Badut telah hadir ke majlis kesyukuran hari jadi setahun cucu saya yang sulung, Harith Shah. Anak-anak kecil dan kanak-kanak bergembira dan keriangan dengan telatah beliau. Mereka mendapat hadiah dari Si Badut. Harith Shah pula sangat suka bercampur geram sehingga meramas mencabut  hidung Si Badut yang merah bulat comel itu.

Si Badut ini mempunyai kemahiran membentuk belon menjadi karaktor-karaktor kartun yang menarik dan disukai mereka. Juga, beliau mahir membuat lawakan selamba, spontan dan mengusik hati menyebabkan makchik-makcik dan nenek-nenek yang sedang serius semuanya bergelak ketawa ria.

Menjadi seorang badut adalah kerja sampingan Shamsul di hujung minggu.

Membuat orang gembira akan memberi kegembiraan kepada saya juga. Tambahan lagi mendapat rezeki yang baik. 

Seandainya pada hujung minggu tiada jemputan saya akan menjadi Si Badut di rumah sakit ataupun rumah orang tua. Sekurang-kurangnya saya boleh kurangkan kesedihan dan kemurungan persakit dan orang tua disitu.

Saya suka melihat mereka kembali  gembira. Secara tidak langsung saya akan rasa hilang stress dan kepenatan berkerja di pejabat .

Si badut melihat banyak buku-buku di atas meja lalu berkata kepada saya, 

“saya suka membaca, bolehkah saya beli buku Bahagia Berganda dari awak?” 

“Tidak boleh!” Jawab saya. Sambil senyum saya berkata, “saya akan hadiahkan awak buku ini dengan syarat awak bergambar dengannya?”

Boleh saja. Saya suka dengan buku ini dan gembira bergambar dengannya.”

Allah akan sentiasa menolong Shamsul selama dia menolong saudaranya! Juga, saya berdoa semoga Si Badut ini memperolehi kenikmatan kehidupan yang lebih baik lagi selepas membaca Bahagia Berganda.