Archive for February, 2010

Kehidupan selepas kematian

Sunday, February 28th, 2010

Itulah kehidupan yang kekal selamanya.

Semalam saya menerima khabar Sapura telah meninggalkan perhentian terakhir. Beliau melangkah ke alam kubur menanti dibangkitkan semula dan seterusnya dihisab, sama ada dengan rahmat Allah diizinkan ke syurga atau menerima pembalasan di neraka.

Saya mendoakan agar Sapura sentiasa di rahmati Allah, dipermudah dan dikecualikan daripada siksa kubur dan hisab dan dapat berkumpul bersama-sama dengan kaum muslimin dan muslimat di syurga yang paling istimewa.

Amin.

Sapura seusia dengan saya. Kalau beza pun hanya setahun kerana saya mengikuti kelas X-press semasa di sekolah rendah. Beliau bersama-sama saya di MRSM KB. Orangnya sangat berbudi bahasa, cakapnya lemah lembut dan sentiasa berhati-hati bila bercakap. Wajahnya sangat comel, campuran anak mami Pulau Pinang.

Dua-tiga tahun kebelakangan ini beliau sering berhubung dengan saya. Ia jauh lebih mesra berbanding dengan lima tahun di MRSM. Ketika beliau ingin melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di UiTM, sayalah tempat yang dituju. Beliau membuat panggilan untuk membuat temujanji, “Dr Kamil, LA hendak jumpa Dr, hendak bincang dan tanya pendapat…..”

Saya ketawa, “Wah… sedap bila LA panggil saya Dr Kamil…. bukan senang rakan MRSM berbahasa begitu… Orang lain main terjah saja tetapi La minta buat appointment”. Beliau tahu yang saya tidak mahu beliau menjarakkan diri dengan saya.

“Yalah… Kamil sudah jadi orang besar, La malu dengan Kamil”.

Akhirnya kami berkomunikasi seumpama kami di MRSM.

Menurut khabar, asalnya beliau pening-pening kepala dan muntah. Pemeriksaan doktor menunjukkan terdapat darah beku di bahagian otak. Satu pembedahan dilakukan dan ia berjaya. Kemudian, pemeriksaan yang lain menunjukkan Sapura bermasalah di kawasan jantung lalu pembedahan kedua dilakukan.

Beliau koma sehingga Allah menjemputnya pulang!

Begitulah ketentuan Allah. Beliau pergi ketika usianya yang belum melepasi 50 tahun. Dan kerana Sapura adalah sebaya, satu sekolah dan menjadi semakin hampir dalam tempoh terakhir beliau di dunia, saya merenung diri secara sangat mendalam.

Masa saya akan tiba!

Kg Gubah, Nyalas

Sunday, February 28th, 2010

Nyalas, melalui Tangkak menuju ke Sg Bekoh. Perjalanan daripada Jementah ke kampung tersebut mengambil masa hampir 48 minit. Navigator saya hilang pedoman. Capaian satelit kelihatan gagal mengesan di mana kampong Gubah. Ah… lokasinya terlalu hampir dengan kem tentera.

Barangkali itulah puncanya!

Semalam, saya berceramah di surau kampong tersebut. Kaum lelaki tidak terlalu ramai. Kebanyakan mereka yang tinggal di kampong tersebut hanyalah ibu-ibu tunggal. Namun majlis semalam dipenuhi oleh anak-anak yatim daripada sekolah yang berdekatan.

Saya rasa istimewa. Pertama, dengan izin Allah saya dapat berkunjung ke sini. Bertambah lagi tempat dan kenalan yang telah saya lalui dan temui. Bahasa tubuh menunjukkan mereka mendengar dengan tekun apa yang telah saya sampaikan. InsyaAllah, saya berdoa agar ia menjadi satu ilmu yang boleh dimanfaatkan.

Kami makan malam agak lewat. 10 malam. Di tengah-tengah hidangan, dihadapkan kepada saya satu resipi istimewa yang tidak pernah saya cuba. Kari kepala kambing. Siap berikat dengan perutnya. Apabila diurai ikatan tersebut, kepalanya terbelah dua. Di tengah-tengahnya ada otak kambing, “Ustaz, sila ustaz, rasalah otak kambing”.

Saya mengambil sedikit. Ia pengalaman pertama. Sedap!

Kami tiba di rumah Abah sekitar jam 11.30 malam. Kedua-dua anak yang ditinggalkan masih menunggu kami. Emmm… kedua-duannya sudah tidak mahu mengikut ayah dan mama kalau pergi ke majlis…. “ayah cakap-cakap-cakap-cakap”.

Kag Gubah, ia melalui perjalanan kehidupan saya. Mudah-mudahan kita bertemu lagi di lain masa!

Persepsi

Saturday, February 27th, 2010

Saya dibesarkan di Besut, Terengganu. Rakan-rakan saya kesemuanya Melayu. Kemudian, belajar di MRSM. Hampir 100 peratus Melayu. Saya mempunyai Jenny Ng Yin Oil, berbangsa China yang sekelas dengan saya. Mungkin kerana beliau seorang wanita, saya tidaklah terlalu rapat.

Di UiTM – sebagai penuntut – 100 peratus rakan-rakan saya adalah Melayu. Hubungan dengan bangsa China dan India berdasarkan hubungan pelajar-pensyarah. Namun saya mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan kebanyakan pensyarah. Kesemuanya. Bukan kerana bangsa atau agama.

Bila saya menjawat jawatan pentadbiran akademik – saya fikir – tindakan-tindakan yang saya lakukan tidak berdasarkan kaum walaupun sejarah hidup saya tidak memberi saya peluang untuk mengenal hati budi bangsa-bangsa lain di Malaysia.

Saya berpandukan keadilan yang dituntut oleh Islam.

Bila saya berpindah ke Kampung Jawa, hubungan saya dengan bangsa-bangsa lain di sekitar bandar Segamat mula berputik. Selama ini, saya menyangka orang-orang China kaya-kaya belaka. Saya fikir, mereka sentiasa bekerja dan mempunyai banyak wang walaupun bekerja sebagai buruh.

Satu persepsi yang terbentuk kerana tinggal di Besut Terengganu.

Ah Ting, tenaga pakar yang membina ubah-suai rumah menerima gaji RM100/sehari daripada Towkey. Beliau bekerja daripada pukul 8.30 pagi sehingga pukul 5.00 petang. Berhenti rehat ketika makan tengahari. Beliaulah yang akan membisik-bisik kepada saya bila sub-kontraktor yang lain melakukan kerja-kerja yang tidak berkualiti.

“Tuan, saya tahu tuan keluar banyak wang, saya tidak mahu tuan susah hati bila kerja-kerja siap”.

Tukang Cat, bergaji RM70/sehari, bekerja seawal 8.00 pagi dan berakhir sehingga 6.30 petang. Beliau berjiran jauh dengan saya. Makan tengahari di rumah. “Isteri saya bekerja di rumah orang, cuci rumah. Tuan mahu cuci rumah?”

“OK, saya cuba. Sehari berapa?”

Saya sudah serik dengan pembantu rumah Indonesia dan sudah bertekad untuk tidak mengambil mereka lagi. Besoknya beliau memberitahu saya dan Roza, “Isteri saya suka untuk bekerja di sini. Saya katakan pada beliau yang tuan sangat baik hati. Puan jumpa dan bincanglah dengan isteri saya”

Semalam beliau memulakan tugas. Janjinya 4.00 petang, beliau sampai 5 minit lebih awal. Beliau bekerja 3 jam non-stop sehinggalah Roza meminta beliau berhenti.

Ramai lagi kenalan baru di sini. Saya bertanya dengan seorang Towkey kedai, “bos, isteri saya mempunyai satu lot tanah di tengah-tengah bandar Segamat. Sudah 10 tahun. Saya mahu buat bangunan, mahalkah?”

Beliau bersungguh-sungguh bercerita bagaimana beliau membina bangunan kedai tanpa modal yang besar. “Buat bangunan kosong, biar mereka yang sewa buat ubah-suai. Kos bangunan kosong dua tingkat tidak sampaipun RM200K….”

Beliau bercerita tentang kadar sewa di Segamat….

Begitulah, dunia semakin luas. Kenalan semakin ramai. Cuma masa saya semakin singkat.

Ilmu

Friday, February 26th, 2010

Hari ini saya menerima 300 keping lagi rumput.

Pemandu lori tersebut berkata kepada saya, “Cik gu, kalau lalang tumbuh di antara rumput, jangan cabut. Nanti ia akan tumbuh kembali. Letih. Cik gu beli racun lalang, sapu pada daun lalang tersebut, nanti dengan akar-akar akan busuk. Biar daun dia hijau, akar mati dulu baru daun. Guna berus cat”

Jarang orang mahu memberi ilmu kepada mereka yang tidak dikenali. Barangkali muka saya mempunyai muka belas. Orang kasihan.

“Cik gu tanam sendiri?”

“Ya, doktor sudah bagi satu suntikan selepas saya tanam. Habis satu tubuh sakit. Pinggang sakit”.

Beliau ketawa. “Cik gu sudah tua [Nota: saya lahir tahun 1964, muka saja tua....]. Tidak biasa kerja berat. Saya pun sudah tidak tahan. Tanam rumput sakit wo…”

Saya berkongsi ilmu ini kepada mereka yang “buta huruf dengan lalang”.

Usaha dan sedikit kejayaan

Thursday, February 25th, 2010
Luar Mini Perpustakaan

Luar Mini Perpustakaan

Kehijauan

Kehijauan

Pohon yang kian membesar

Pohon yang kian membesar

Saya langsung tidak mempunyai pengalaman menanam dan menjaga pohon-pohon berkayu atau pun bunga-bungaan. Ia bukan minat saya. Abah, menghadiahkan hampir dua ekar kebun kepada Roza, sejurus kami melangsungkan perkahwinan. Abahlah yang menanam durian, rambutan dan buah-buah yang lain. Ia hidup subur di kawasan yang sangat berhampiran dengan rumah kami.

Kebun tersebut seusia tempoh perkahwinan saya dan Roza. Seumur dengan Sara. Sayangnya, kehadiran saya di kebun tersebut tidak sampai pun empat kali. Saya tidak berminat.

Begitulah….

Segala-galanya berubah apabila saya mula menanam pohon-pohon di laman rumah. Saya melihat kebesaran Allah melalui kejadian yang pada masa lampau kelihatan biasa-biasa. Misalnya, ia tidak boleh terlebih baja, nanti kepanasan. Daun-daun menjadi kekuningan. Ada pohon yang menjalar, ada yang mahu tempat berteduh dan ada yang lebih cantik apabila menerima kepanasan matahari yang maksimum.

Saya ralik bersama China Nursery. Melihat beliau menyalin anak pohon daripada pasu kecil ke pasu besar.  ”Nanti dia akan berbuah,” kata beliau. Saya menanam rumput-rumput filipina hampir 500 keping. Tidak pernah saya bekerja seperti buruh kasar. Malamnya, habis seluruh tubuh menderita.

Namun saya puas!

Bila bangun solat malam, saya berdoa kepada DIA sambil berkata, “Ya Allah Kaulah yang Maha Berkuasa mencipta dan menumbuhkan pohon-pohon di muka bumi ini. Ya Allah Kau suburkanlah pohon-pohon yang aku tanam supaya dapat aku menikmati keindahan dan kecantikan anugerahMu ya Allah. Ya Allah hampirkanlah aku dengan kekuasaan Mu ya Allah”

Kemudian, setiap pukul 5.20 pagi saya akan berada di laman rumah menyiram pohon-pohon ini sambil menyebut “subhanallah, subhanallah, subhanallah” dan berdoa “Ya Allah, aku basahi pohon-pohon kepunyaanMu ini supaya mereka hidup subur dan kau basahilah lidahku dengan memuji mu ya Allah. Ya, ya Allah Kaulah yang Maha berkuasa, Kaulah yang boleh menghidupkan sesuatu dan kaulah yang boleh memanggil kami pulang”.

Alhamdulillah, kerana pohon-pohon inilah saya berjumpa dengan firman Allah dalam surah Ibrahim, ayat 24-26 yang bermaksud,

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit.

Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).

Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup”

Ia kisah benar yang tidak pernah terfikir akan berlaku dalam kisah hidup saya, merasai keseronokan melihat pohon-pohon hidup subur dan mengaitkan kejadian tersebut dengan kebesaran Allah SWT.

Saya mohon keampunan Allah!