Archive for March, 2010

Berhati-hati

Wednesday, March 31st, 2010
Pipit di ArRaudhah

Pipit di ArRaudhah

Saya menyediakan bijirin untuk sang pipit.

Mereka sangat berhati-hati dengan makanan percuma. Mungkin mereka berfikir, “ada sesuatu yang akan memerangkap kita”.

Saya terkenang sikap buruk-sangka manusia terhadap manusia yang lain. Atau pandangan lama yang berulang-ulang bermain di minda. Kalau orang itu jahat, maka selamanya beliau begitu!

Setiap hari manusia berubah. Sedikit ataupun banyak. Sedar ataupun tidak. Ia berkait dengan ilmu yang diperolehi. Lebih tinggi lagi, taufik dan hidayah Allah.

Burung-burung ini semakin jinak dengan bijirin mereka. Tidak dengan saya. Barangkali saya adalah manusia jahat yang selalu mengganggu mereka.

Tidak mengapa, biar saya meneruskan usaha menyediakan bijirin untuk mereka hampir dengan Ar-Raudhah.

Niat di hati bukan untuk yang lain menilai. Jangan gusar dengan pandangan ramai orang tentang “niat dan keinginan dalaman”. Pipit yang kecil comel itu mengajar tentang kehidupan.

Ringkas tapi Signifikan.

Seekor pipit bersantai di laman rumah

Seekor pipit bersantai di laman rumah

Al-Quran

Tuesday, March 30th, 2010

Ayahlah orang pertama cuba mengajar al-Quran kepada saya.

Setiap malam, kami – saya dan kakak – akan menghadap Ayah bersama dengan muqqadam. Belajar al-Quran bukanlah minat saya. Saya terasa sangat sukar. Malah setiap kali tiba saat belajar, perasaan malas, tidak seronok, rasa terpaksa dan tertekan menyelubungi diri.

Ia satu saat yang paling membosankan!

Akibatnya, saya sering tergagap-gagap apabila berhadapan dengan ayah. Setiap kali saya gagal membaca dengan lancar, ayah membuat sergahan. Sergahan yang boleh didengari seisi rumah. Nada suara yang boleh meruntuhkan semangat waja seorang kanak-kanan berusia 6-7 tahun.

Ayah sememangnya seorang guru yang terkenal dengan sifat garangnya. Di sekolah, anak-anak muridnya sudah tahu, “emmmm…. cikgu Ibrahim, garang sangat”. Ia menjadi semakin garang apabila mengajar anak sendiri. Saya sentiasa kecut perut, takut dan berdebar-debar apabila tiba saat-saat senja melabuhkan tirainya.

Akhirnya setiap kali disergah, airmata mengalir laju. Ia bukan hanya membasahi pipi tetapi manik-manik halus menitis jatuh menimpa helaian muqqadam. Pandangan saya kabur. Huruf-huruf hampir tidak kelihatan. Berbalam-balam. Sambil teresak-esak, saya menyapu kelopak mata. Tersedu-sedu dalam kesedihan, ketakutan dan rasa kecil hati.

“Pergi masuk… marah sedikit menangis, marah sedikit menangis. Bila nak pandai!”

Saya terus meluncur ke bilik. Menyembamkan diri ke bantal. Nun jauh di hati saya terasa sangat lega daripada terus berada dalam keadaan ketakutan dan perasaan yang sentiasa berdebar-debar. Ummpp…. saya berterima kasih dengan air mata yang mengalir. Air mata itulah yang menyelesaikan masalah.

Besoknya apabila disergah, ulangan kisah semalam berlaku. Ayah sergah, saya menangis, air mata tumpah ke atas helaian muqqadam dan saya diminta masuk ke bilik. Hari-hari seterusnya saya mendapat akal. Ketika saat-saat berhadapan dengan ayah, saya mula seronok menunggu ayah memarahi dan menyergah saya. Air mata seolah-seolah bersahabat baik. Ia sangat hampir dengan kelopak mata. Dengan satu sergahan sahaja, ia keluar meleleh-leleh.

Akhirnya, dalam diam-diam tanpa saya sedari ayah sudah tidak menjadi guru Quran saya lagi. Maksudnya proses pembelajaran quran terbantut dan terhenti ketika usia tujuh tahun tanpa dapat menghabiskan bacaan. Saya cuma tahu dan hafal beberapa surah sahaja – cukup-cukup – untuk dibaca semasa menunaikan solat lima waktu. Itu pun belum tentu benar atau salah bacaannya. Selebihnya saya adalah manusia yang “buta quran”.

Hampir 38 tahun yang lampau saya berasa seronok kerana mengeluarkan airmata ketika belajar Quran dan lebih “lega” apabila diminta untuk memberhentikan bacaan apabila air mata tersebut mengaburi pandangan. Ia langsung tidak memberi kesan kepada perjalanan kehidupan. Saya kekal begitu sehinggalah berjaya melanjutkan pelajaran ke MRSM Kota Bharu.

Buta al-Quran dan berada di MRSM nyata tidak membebankan. Saya tidak kisah dan bersedih hati walaupun tidak tahu membaca yaasin. Jika ada majlis doa selamat dan membaca yaasin, saya akan cuba mengelak. Mencari jalan supaya tidak perlu menghadiri program tersebut. Malah jika terpaksa hadir sekali pun, saya tidak rasa malu atau terbeban dengan program seumpama itu.

Saya hanya menggerak-gerak mulut mengikut mereka yang lain.

Namun bila meningkat dewasa, berjawatan tinggi dan mula mengerti kehidupan selepas kematian, saya benar-benar dalam ketakutan. Jauh di sudut hati saya rasa serba kekurangan. Gelisah jiwa melihat orang berlagu membaca Al-Quran. Rasa terhina bila menghadiri majlis-majlis kesyukuran, doa selamat, kematian dan keramaian yang bercorak keagamaan. Berdebar-debar setiap kali orang menghulurkan surah yaasin. Apatah lagi kalau ada insan yang menunjukkan tangan, memberi isyarat mahu saya ke hadapan mengetuai solat.

Saya iri hati melihat orang membaca Al-Mathuraat ketika waktu terluang. Saya mengangguk-angguk bila Abah mengajar beberapa ayat ringkas untuk dijadikan amalan. Namun ia berlalu dan hilang begitu sahaja. Menghafal ayat-ayat Al-Quran ternyata sukar. Lidah kelu, ingatan lemah dan motivasi diri tidak segagah mana. Saya lebih tekun menulis daripada menghafal wirid-wirid selepas sembahyang. Terasa ia benar-benar sukar!

Malah dengan anak sendiri pun saya cemburu melihat mereka sudah khatam Al-Quran. Membaca ayat-ayat Allah – yang kelihatan asing – selancar saya membaca novel, buku perakaunan atau surat khabar. Ketika saya kagum dengan mereka, sesekali menyusuk perasaan hiba dan sayu di atas kekurangan diri.

Saya tidak upaya untuk meningkatkan kelemahan diri. Perasaan malu, tidak berkeyakinan dan selesa dengan keadaan semasa menyukarkan keadaan. Lebuhraya perubahan nyata tidak terbina. Lalu saya membuat keputusan, biarlah saya menanti saat-saat kematian dengan kekurangan tersebut. Tiada apa yang boleh saya lakukan!

Namun saya cuba membina keyakinan diri supaya tidak tertekan dengan apa yang kurang meskipun ia kelihatan sukar. Benar, saya tidak pandai dan buta Al-Quran dan sukar membuat amalan khusus tetapi saya fikir saya bukanlah manusia jahat, suka berhasad dengki dengan orang atau berburuk sangka dengan mereka yang hampir. Pada ketika itu saya berharap dan berdoa, mudah-mudahan Allah memberi pengampunannya kepada saya di atas kekurangan dan kelemahan diri.

Tidak pernah terlintas yang saya akan belajar Quran ketika usia menghampiri 41 tahun. Ketika saya sudah tewas dan bersedia untuk menerima kematian dalam keadaan buta Quran, saya dijemput menunaikan fardhu haji. Saya menangis dan merayu mengadu kepada Allah di atas segala kekurangan diri.

Rayuan dan pengaduan yang mencerminkan ketakutan, kefakiran dan kehinaan diri terhadap Allah yang maha perkasa. Benar, begitulah sifat maha pengasih dan sifat maha penyayang Allah terhadap hambanya nyata cukup luas. Saya terbuka pintu hati untuk mula belajar al-Quran ketika membuat keputusan hendak menunaikan fardhu haji.

Ringkasnya, saya khatam semasa berada di Mekah dan berjaya menamatkan bacaan terjemahan semasa berada di Madinah.

Ia satu pengalaman yang sangat menakjubkan!

Pesta buku 2010

Sunday, March 28th, 2010
Pembaca muda Travelog Haji

Pembaca muda Travelog Haji

Dr Bubble dan bakal...

Dr Bubble dan bakal...

Pembaca Travelog Haji berasal dari Sarawak

Pembaca Travelog Haji berasal dari Sarawak

Saya berkunjung pada hari pertama dan terakhir.

Mengajar untuk Belajar

Sunday, March 28th, 2010

Mengajar untuk belajar.

Bila saya berpindah rumah dan tidak memegang jawatan pentadbiran, saya untukkan setiap hari selasa – selepas isya – bagi menyampaikan ilmu kepada sesiapa yang berminat di sekitar Segamat.

Kenapa hari selasa?

Saya pasti yang saya tidak ke luar kawasan kerana besoknya saya mempunyai kuliah perakaunan. Tidak hari Rabu kerana tidak mahu ketinggalan mendengar kuliah mingguan Ustaz Haji Omar. Tidak hari Jumaat hingga Ahad kerana ia masa yang saya khususkan bagi jemputan di luar kawasan.

Dan tidak hari Isnin kerana saya jangkakan yang jika bercuti hujung minggu ia mungkin berlanjutan sehingga hari tersebut. Saya tidak mahu mengganggu jadual yang telah diatur sehingga setahun.

Semalam saya berceramah di surau Jalan Temenggong, Segamat. Ada di antara mereka yang mengikuti kuliah bulanan saya di Masjid Bukit Siput. Di akhir majlis, saya dipelawa untuk menyampaikan kuliah bulanan di sini. Alhamdulillah, saya teruja untuk menerimanya kerana ia akan membantu penulisan-penulisan yang sedang saya lakukan. Maka jadual saya bertambah dalam keadaan yang sangat saya redha.

Hari selasa minggu pertama: Kuliah 30 minit di Ar-Raudhah, 9.10 hingga 9.40 malam.
Hari selasa minggu kedua: Kuliah Maghrib di Masjid Bukit Siput
Hari selasa minggu ketiga: Kuliah Maghrib di Surau Jalan Temenggong
Hari selasa minggu keempat:

Saya sedar ilmu di dada terlalu cetek. Namun saya percaya dengan bersungguh-sungguh ingin menyampaikan ilmu kepada yang lain, Allah akan memberi tambahan ilmu kepada saya. Saya harap ia ilmu yang bermanfaat. Malah, hakikat sebenar, saya sentiasa berdoa dan merayu agar Allah sentiasa membantu dengan memberi nur kasih-sayangnya, memberi fikiran yang tajam, melihat yang tersirat berbanding dengan yang tersurat dan memudahkan pemahaman terhadap apa yng saya baca dan pelajari.

Saya mengharapkan kasih-sayang dan taufik hidayahNya!

Barangkali inilah yang cuba disampaikan oleh Ustaz Omar kepada saya melalui Az-Zummar ayat 22, “Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata”.

Saya mohon keampunan Allah!

Pipit

Friday, March 26th, 2010
Pipit Kazakhstan

Pipit Kazakhstan


Bila berada di pinggir kampung, bersebelahan dengan pohon-pohon besar dan hijau, dilawati – sekali-sekala – oleh lotong dan kera serta pelbagai spesis burung-burung yang berkicauan pada setiap pagi, menambah lagi rasa bersyukur kepada Dia yang Maha Berkuasa.

Subhanallah, begitu banyak keindahan dan nikmat Allah yang berada di sisi berlalu begitu sahaja.

Di antaranya, burung-burung pipit yang sebelumnya saya hanya tahu nama melalui “buku cerita” kanak-kanak. Kini, laman kami sentiasa diziarah pipit. Mereka berkomunikasi sesama mereka. Gembira dan teruja. Sesekali bertempiaran lari bila dikacau oleh burung yang lebih besar.

Murai?

Agaknya begitu. Ia berbunyi tidak berhenti-henti!

Kami sukakan tetamu ini. Lalu saya sediakan “hub bijirin” agar mereka tidak serik menyanyi di laman rumah. Mudah-mudahan ia satu amal yang diterima Allah.

Ceramah Kerohanian

Bersama siswa-siswi UiTM

Bersama siswa-siswi UiTM

Petang semalam saya dijemput untuk bercakap dengan siswa-siswi UiTM Johor di Masjid As-Syakirin. Topik terbuka, bertajuk “kerohanian”.

Saya gembira kerana ia sangat bersesuaian dengan rujukan-rujukan yang sedang saya baca, “kehidupan selepas kematian”. Kemudian, kami berbuka puasa di hujung masjid kerana dataran masjid sedang diubahsuai bagi membina astaka yang bakal menjadikan kegiatan berpusat di masjid menjadi lebih terbuka.

“Ustaz, saya rindukan suasana ini. Berbuka puasa Isnin dan Khamis beramai-ramai. Kini saya berbuka di dalam kereta dan berseorangan,” saya bercerita dengan Ustaz Azrul.

Masa terus berlalu. Suasana juga akan terus berubah. Namun biarlah kita makin hampir dengan Dia, sehampir mungkin!

“Ampunilah kami jika kami lalai, berdukacita dan gundah-gulana dengan dugaan-dugaan yang Kau uji kami!”

Kuliah Bulanan Haji Omar
Sebulan sekali, Tuan Haji Omar berkunjung ke UiTM Kampus Segamat. Beliau memberi pandangan hampir sejam. Tutur katanya yang sangat lemah lembut menyerap ke hati.

Setiap katanya memberi ilmu.

Misalnya beliau berkata, “ramai orang beranggapan mereka yang syirik/menduakan Allah tidak diampun Allah. Benar, jika ia menduakan Allah sehingga mati. Di akhirat besok, tiada maaf daripada Allah. Jika bertaubat sebelum mati, InsyaAllah ia akan diterima Allah. Rahmat dan kasih-sayang Allah begitu luas sekali”.

Saya menghantar beliau ke kereta. Beliau berkata kepada saya, “Prof, lihat dan baca ayat 22, surah Az Zumar”. Inilah yang saya perolehi,

Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.

Dan saya terus membaca ayat 23 yang bermaksud,

Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.

Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya

Kenapa agaknya beliau berbisik kepada saya ayat tersebut? Saya cuba untuk memahaminya…….