Archive for May, 2010

SMK Melor

Monday, May 31st, 2010
Putera SMK Melor

Putera SMK Melor

Puteri SMK Melor

Puteri SMK Melor

Mereka dikelaskan sebagai pelajar sekolah biasa-biasa. Bukan sekolah bandar walaupun ia sangat hampir dengan bandar Kota Bharu. Puan Pengetua menamakan sekolah mereka sebagai sekolah rakyat.

Saya sukar membuat tafsiran. Kenapa?

Mereka kelihatan tertib dan tekun mendengar apa yang ingin saya sampaikan. Ketika patut mereka ketawa, mereka lakukannya. Ada ketika, jika jatuh jarum peniti harus terdengar oleh khalayak. Tiada yang keluar masuk dengan alasan “ke tandas” atau “haus yang tidak terperi”.

Maksudnya, mereka pelajar yang baik-baik dalam keadaan yang dikatakan biasa-biasa. Tertib. Barangkali guru-gurunya mendidik mereka begitu.

Atau adakah itu hari yang terkecuali?

Kunjungan singkat ke Sekolah Menengah Kebangsaan Melor nyata mempesonakan perasaan saya. Sekurang-kurangnya saya telah menyampaikan sedikit pandangan kepada anak bangsa sendiri. Perjalanan jauh nyata berbaloi.

Mudah-mudahan ia menjadi ilmu yang bermanfaat.

Ihsan

Sunday, May 30th, 2010

Sukarkah untuk bersifat ihsan?

Saya fikir Islam agama yang bersifat ihsan. Misalnya, melalui hukum Qisas, bunuh boleh dibalas bunuh tetapi jika memaafkan dijadikan pilihan, ia lebih baik di sisi Allah.

Ihsan ada pada manusia seiring dengan perasaan takut, gentar dan bersyukur kepada Allah. Saya fikir begitu. Tiada ihsan bagi manusia yang sombong, angkuh dan mempunyai sifat riyak dan takbur. Kadangkala ia bukan riyak kepada orang tetapi kepada diri sendiri.

Memaafkan kesalahan orang adalah sifat ihsan yang terpuji.

Mereka yang belajar dengan saya, terutamanya pelajar-pelajar di peringkat Sarjana dan PhD sering diingatkan supaya merendah diri, tidak usah terperangkap dalam suasana berlumba-lumba yang tidak sihat, menikam rakan dari belakang, mempunyai sifat kedekut ilmu kerana takut mereka yang lain lebih berjaya atau sifat menyalahkan orang lain.

Latihan ini membina sifat ihsan.

Ia mudah dituturkan tetapi di sana-sini ia tidak terkawal. Hanya kepada Dia kita memhon pertolongan.

Masjid Sultan

Saturday, May 29th, 2010

Sesi bersama majlis PENGGERAQ berlangsung dalam suasana yang saya sukai. Ia bermula tepat mengikut waktu. Audotorium Masjid Sultan penuh. Menurut penganjur, jumlahnya menghampiri 350 orang.

Saya pula membawa 70 naskah buku Travelog Haji dan 10 naskah Travelog Cinta, atas permintaan penganjur. Ia habis terjual dan kesemua keuntungannya dimasukkan ke dalam tabung PENGGERAQ.

Mudah-mudahan mereka boleh menjalankan kegiatan lain dengan lebih berkesan.

Ruang auditorium Masjid Sultan di penuhi khalayak

Ruang auditorium Masjid Sultan di penuhi khalayak

Roza bersama khalayak

Roza bersama khalayak

Genting
Kami bergegas pulang. Di dalam perjalanan, saya bekenalan dengan 3 wanita Cina Singapura, berumur melebihi 60 tahun. Mereka berkawan, sangat ceria dan ringan mulut.

“Kuala Lumpur?,” saya bertanya.

“Genting,” beliau ketawa.

“Judikah?,” pertanyaan menyibuk.

Beliau ketawa sambil menganguk-anggukkan kepala.

“Boleh menang?,” tanya saya lagi.

“Ada… ada…,” jawapan yang tidak terlalu positif.

Barangkali mereka mahu menghiburkan diri, bukan semata-mata mencari kemenangan.

“Main apa?,” saya bertanya lagi. “Jackpot!,” beliau senang bercerita.

“Isteri awak cantik,” beliau mengalih topik. Roza tersenyum mendengar pujian tersebut.

“Mana suami?”

“Melayu bagus, suami-isteri jalan sekali-kali. Cina tidak. Saya jalan sendiri-sendiri”

Akhirnya saya tiba di stesyen Segamat. Saya berdoa moga-moga mereka bertiga terbuka hati untuk mengenal siapa yang mencipta mereka.

Kuasa Allah, siapa tahu?

Masjid yang berkunci

Friday, May 28th, 2010

Kami ditempatkan berjiran dengan Masjid Sultan, di tengah-tengah kawasan tarikan perlancungan Singapura. Masjid ini mempunyai aroma tersendiri. Suasana dalamannya memberi keselasaan, rasa sejuk dan nyaman. Buat saya, juga buat Roza tetapi mungkin tidak mereka yang lain.

Pagi ini, Allah memberi rasa bosan tidur. Awal-awal lagi kami bercadang berada di Masjid. Alahai…. semua pintu berkunci. Dua-tiga pintu kami cuba, kesemuanya bermangga. Tiba-tiba terdengar satu suara,

“Pagi lagi…. orang masih tidur. Nanti pukul lima baru masjid buka,” saya terpandang seorang lelaki memerhatikan kami daripada sudut yang tidak terpandang oleh kami.

Di hadapan masjid terdapat sekumpulan anak muda berlepak dalam kumpulan yang besar. “Wah… mereka tidak tidur?,” bisik hati kecil. Mudah-mudahan mereka selamat dunia dan akhirat.

Kunjungan ke Singapura sentiasa menarik minat saya dan Roza. Mereka bersungguh-sungguh melaksanakan program terutamanya dalam konteks melaksanakan usaha-usaha dakwah. Mereka perlu bekerja keras untuk mencari dana bagi membiayai program-program sepanjang tahun.

Saya tumpang gembira kerana dapat memberi sedikit sumbangan.

Tidak mengapa Masjid Sultan berkunci, kami pulang ke hotel dan moga-moga Allah izinkan kami menunaikan solat subuh berjemaah di situ.

“Ya Allah, mudahkan urusan kami….”

Queen Control

Thursday, May 27th, 2010

Salah satu kerja rumah yang sukar untuk saya lakukan ialah menjemur kain. Saya takut jiran tetangga melihat apa yang saya lakukan sebagai signal yang saya kena Queen Control.

Isu ini dibincangkan oleh Tuan Haji Omar dalam kuliah mingguannya di Masjid Kampung Jawa. Hak seorang isteri. Beliau berhujah, Allah menyebut wanita sebanyak 55X berbanding lelaki hanya 35X di dalam Al-Quran. Keistimewaan wanita diabadikan di dalam al-Quran melalui surah An-Nisa’.

Islamlah yang mengangkat wanita melalui penjelasan secara khusus hak-hak mereka melalui pelbagai ayat-ayat suci Al-Quran.

Emmm… memasak bukan tugas seorang wanita. “Cuma sekarang ini, kita pakat-pakat yang isteri memasak, membasuh dan menyidai pakaian serta menjaga anak-anak”. Saya senyum-senyum melihat kenyataan ini. Barangkali ia justifikasi bagi membenarkan apa yang sedang kita amalkan.

Tentu sekali ia soal kesedaran. Hak wanita begitu tetapi jika mereka redha dan suami pula tidak mengambil kesempatan dengan menganggap ia tugas semulajadi, saya fikir ia boleh dipertimbangkan.

Tidak semua orang mampu untuk menyediakan orang gaji. Mesin basuh? Pengering pakaian? Microwave? Wah…. sebenarnya, ramai isteri yang tidak kisah dengan apa yang sedang mereka lakukan. Mereka pinta “kasih-sayang” seorang suami. Entah… itu kata saya, juga seorang suami!

“Ada suami yang mendera isteri sampai kurus kering,” kata spontan Haji Omar. Selepas solat Isya, saya tunggu Roza berhampiran pintu masjid [nota: sebelumnya menunggu di kereta yang di parking di luar masjid] dan saya ucapkan kata-kata berikut,

“Yang, saya memperbaharui rasa cinta, sebab itu saya menunggu awak di sini. Haji Omar kata, ramai isteri kurus-kering kerana suami, saya tidak termasuk dalam kategori tersebut. Tubuh awak tidak menggambarkan begitu. Banyak jelly… he.. he..”

Belajar dan amal! Subhanallah, mudah-mudahan rumahtangga kami dan pembaca KRTS dirahmati dan dilindungi Allah sentiasa. Berbahagia sehingga bertemu kembali di syurga Firdaus.

Terima kasih buat Roza – seorang isteri – saya tidak terasa kena Queen Control.