Saya tertinggal kapalterbang!
Saya mendaftar di pintu berlepas A3. Sepatutnya pintu yang berjiran. Pegawai menerima saya tanpa sebarang soal-jawab. Sambil menunggu, saya membaca terjemahan Al-Quran Surah Al-Haqqah, Hari Kiamat. Saya leka dengan bacaan yang sangat menarik. Nanti saya catatkan isinya yang menyebabkan saya bersukacita.
Sayup-sayup saya terdengar suara memanggil, Prof Dr Ibrahim Muhd Kamil. Bukan sekali, dua kali! Saya diamkan diri kerana nama saya Muhd Kamil Ibrahim, bukan Ibrahim Muhd Kamil.
Kemudian terdengar suara hampir memanggil, Muhd Kamil Ibrahim. Saya bangun dan menuju kepada pegawai yang bertugas. Mukanya gelisah. “Prof, ini penerbangan ke Kota Bharu. Saya tidak perasan. Penerbangan ke Kuala Terengganu sudah berlepas”.
Saya senyum sambil berkata, “Alamak, salah saya. Kenapa saya masuk ke sini. Bila next flight?” Sepantas kilat beliau menguruskan penerbangan seterusnya.
“Prof, flight pukul 7.45 malam, nantu Puan Ros akan uruskan pas berlepas”
Itulah kebodohan dan kelekaan saya. Kemudian disokong pula dengan kecuaian penerima pas berlepas saya. Terlintas di hati, saya terfikir bagaimana barcode tiket tersebut boleh dibacamelalui pintu yang salah.
Emmm… emmm… itulah kebesaran Allah SWT. Sistem manusia tidak akan sempurna sampai bila-bila.
Lupakan soal ketinggalan penerbangan. InsyaAllah saya boleh menulis di sini.
Manusia dilarang riyak. Bagaimanapun di hari akhirat manusia yang beriman akan berbangga dengan diri mereka. Inilah yang menyebabkan saya ralit dengan bacaan surah Kiamat. Perhatikan ayat 18-21 yang bermaksud [nota: nanti saya baca tafsirnya, bila pulang dari KT],
Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi (kepada Allah) dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi. Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka dia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini! Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)! Maka (dengan itu) tinggallah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan. Di dalam Syurga yang tinggi (darjatnya).
Wah… alangkah bahagianya buat mereka yang dapat menuturkan kata-kata tersebut. Makin berpeluhlah mereka yang menerima surat amal melalui tangan kiri dan di”nakal-nakalkan” oleh teman di sebelah.
Bukankah di dunia ini sudah ada yang begitu?