
Golongan kanan. Mereka mendengar dari sebelah kanan saya.

Mereka yang mendengar dari sebelah kiri saya.

Wanita Bukit Permata
Usai berceramah di Seksyen 27, Shah Alam, saya membuat panggilan telefon kepada Sara,
“Sara sudah makan?”
“Belum….”
“OK… makan tengahari dengan ayah”.
Kami berdua makan bersama di Restoran Hartinie, Seksyen 10.
“Inilah tempat ayah makan semasa belajar di UiTM dulu. Tahun 1986. Kini sudah hampir 25 tahun, ia masih beroperasi. Kak Ani – towkey – kenal ayah. Sekarang, anak dia pun kenal kerana beliau melihat ayah di ASTRO”.
Sara pula bercerita tentang pengajian beliau.
Dalam perjalanan pulang saya bercerita sambil memberi sedikit nasihat,
“Kadangkala ayah selalu terfikir, risau bila melihat Sara tinggal sorang-sorang di sini. Sara kena jaga diri baik-baik. Jaga hubungan dengan lelaki. Sekarang, banyak masalah hubungan lelaki dan perempuan. Jaga maruah kita sebagai seorang wanita. Solat jangan tinggal. Ingatan pada Allah yang akan menyelamatkan kita”.
Saya sentiasa berdoa supaya anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah. Itulah yang mampu saya lakukan bila berjauhan.
Di sebelah petang, saya meneruskan misi kembara ilmu hujung minggu. Berpandukan GPS dan gerak hati, kami – saya dan Arif [bekas pelajar] – mencari Surau Bukit Permata di Gombak. Hujan tersangat lebat. Lebuhraya sarat dengan kenderaan.
“Arif, setakat ini saya belum pernah lewat sampai ke tempat ceramah. Saya suka pergi awal. Tengok, GPS menyatakan yang kita akan sampai pukul 6.31 petang. Ia tidak jadi begitu. Jalan teruk tetapi InsyaAllah kita akan sampai sebelum waktu Maghrib”.
Arif adalah supervisee saya semasa menuntut di peringkat sarjana muda di UiTM Segamat. CGPA beliau 3.79. Kini, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan bercita-cita menjawat jawatan pensyarah.
Saya tahu beliau sangat menyanjung tinggi peluang belajar bersama saya. Malah saya fikir, pengaruh saya terhadap beliau sangat besar. Saya mengambil peluang dengan berkata,
“Arif, you masih muda. Bagaimanapun, cubalah solat malam. Bila terjaga tengah malam, ambil wudhu dan solat sunat dua rakaat. Kalau boleh solat witir. Malas sangat, solat satu rakaat pun jadi. Kemudian buatlah tugasan atau membaca apa yang perlu. Latih diri dari sekarang. Hati akan tenang. InsyaAllah, bila kita jadi pensyarah nanti, kita mempunyai kekuatan dalaman”.
Alhamdulillah, kami sampai ke destinasi di sekitar 7.10 malam. Surau kelihatan sibuk dengan wanita-wanita yang sedang menyediakan makanan untuk jamuan selepas ceramah.
“Ya Allah, aku tidak akan sampai ke sini jika tidak dengan izin Mu”. Saya melihat permandangan gombak dan kawasan sekitar dari kacamata puncak Bukit Permata.
Entah kenapa saya terasa sebak dan pilu. Inilah laluan kehidupan yang tidak pernah saya fikirkan. Melintasi pelbagai daerah, singgah di pelbagai surau dan masjid dan berpeluang berkenalan dengan ribuan saudara seagama sambil berbicara sedikit ilmu yang dianugerah Allah.
Tanggungjawab saya kepada Sara dan anak-anak yang lain, kepada anak-anak murid dan masyarakat nyata menggembirakan hati dan perasaan walaupun ia hadir bersama cubaan dan dugaan.
Saya mohon perlindungan Allah!
Travelog seorang profesor rakyat yang tulen….
Terimakasih prof atas kesudian prof memberi ceramah di Surau BP. Ceramah prof yang ringkas dan mudah difahami meninggalkan kesan dihati para pendengar. Diharap prof sudi datang lagi ke surau BP ini.
Semoga Allah memberkati prof sekeluarga…Amin.