Archive for October, 2010

Majlis Perkahwinan

Sunday, October 31st, 2010

Ia dilingkungi oleh adat turun temurun.

Mengubah adat bukanlah satu permainan mudah. Ia memerlukan keinginan, kemahuan dan pemahaman kenapa ia perlu diubah. Agaknya ia perlu ada rujukan. Begini caranya Islam menganjur majlis perkahwinan. Rujukan ini biarlah bertulis dan tersusun.

Jika ada yang memulakan, InsyaAllah ia akan menjadi cara baru yang boleh mengubah keadaan.

Dulu-dulu, di kampung orang tidak dapat menerima jika kita mengendalikan majlis dengan cara buffet. Makanan perlu dihidang. Kemudian, seseorang memulakannya. Kini ia sudah menjadi cara yang diterima orang.

Ada orang menganjurkan majlis kahwin disertakan juga dengan majlis “menyanyi-nyanyi”. Ia jadi meriah, katanya. Benar, ada yang bersanding ketika azan dilaungkan.

Malah saya menyaksikan pengantin membuka tudung, khas untuk hari besar mereka.

Hari besar seumpama ini menyebabkan semua orang sibuk. Tidak mengapa barangkali untuk tidak meninggalkan majlis untuk solat di masjid. Orang tidak akan mengata.

Lalu dalam apa keadaan sekalipun, kita bertanya kepada diri sendiri tentang apa yang kita kehendaki dalam kehidupan. Kita merancang majlis. Ia boleh disusun mengikut kemahuan sendiri.

Saya menulis kerana musim orang kahwin sudah hampir!

Bolehkah ia dilakukan dengan simple tetapi signifikan. Kaedah yang diredhai Allah. Soalnya, bagaimana?

NotaMKI: Tahniah buat rakan kami, Prof Madya Dr Rashidee dan isteri, Prof Dr Halimahton [UiTM Sarawak] yang akan menerima menantu pertama dan juga kepada Encik Muhammad Fuad dan Puan Nor [UiTM Kedah] yang akan menerima dua menantu serentak. Semoga Allah meredhai majlis yang dianjurkan dan ketiga-tiga pasangan berbahagia sehingga ke syurga Firdaus.

Bersyukur

Friday, October 29th, 2010

Inilah hadis yang sangat popular apabila dikaitkan dengan solat malam.

Sesungguhnya Nabi SAW mengerjakan solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. Aisyah berkata kepada Baginda: Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, pada hal Allah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang? Baginda bersabda: Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ramai yang menumpukan perhatian betapa Nabi SAW solat malam sehingga bengkak atau merekah kakinya. Ia dijadikan motivasi untuk mencontohi baginda dalam beramal ibadat.

Namun perhatikan pula pada segmen jawapan baginda, “apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?”. Implikasi daripada jawapan ini,

1. beramal ibadat bukanlah kerana mengharapkan ganjaran
2. bersyukur dengan nikmat Allah
3. bersyukur pula dinyatakan melalui amal ibadat
4. Dinyatakan terus kepada Allah melalui solat
5. dilakukan secara bersungguh-sungguh
6. ganjaran memang sudah dinyatakan

Melakukan ibadat atas dasar cinta dan bersyukur akan membawa kepada istiqamah. Malah ia boleh dilakukan ketika waktu yang paling sukar. Ia tanda syukur yang amat sangat!

Doa untuk mu, Ayu

Thursday, October 28th, 2010

Hampir dua tahun berlalu ketika saya menulis khabar yang Ayu – adik bongsu Roza – disahkan mengidap kanser. Bermula dengan kanser payu dara, kini merebak ke paru-paru dan mungkin ke tempat lain.

Petang tadi beliau bercakap dengan mak, “ampunkan Ayu….” sebelum beredar ke dewan perbedahan.

Kami di kejauhan ini mendoakan yang terbaik buat mu Ayu.

Ci Kupang

Thursday, October 28th, 2010

Inilah permainan saya dengan Sofea – anak bongsu – yang berusia 7 tahun. Bila giliran saya menyebut, Siii…. Kupang! maka beliau akan berkata,

“Ayah kalah sebab ayah pelat. Bukan Si Kupang tetapi Ci Kupang”

“Ok… semula… semula”

Peratusan untuk saya menang sangat tinggi. Saya sengaja menunjukkan apa yang akan saya lontarkan supaya beliau menyangka itulah yang akan saya pamerkan.

Akibat selalu kalah, beliau mengubah peraturan. Best of Three. Juga kalah. Akhirnya bila kalah juga, Sofea akan berkata “orang yang menang kalah, yang kalah menang”

Maksud saya, Sofea tidak boleh menerima kekalahan. Itulah tugas saya untuk mengajar betapa kekalahan yang berlaku dengan adil dan saksama perlu diterima. Jika tidak, penyakit angkuh dan sombong akan terbawa-bawa sehingga dewasa.

“Ciiii….. Kupang!”
“Ciii….. Kupang!”
“Ciii….. Kupang!”

Bagaimana agaknya kanak-kanak bermain ci kupang? Sukar untuk ditulis!

30 hari lagi

Wednesday, October 27th, 2010
Pelajar Lelaki di SM Bandar Baru Serting

Pelajar Lelaki di SM Bandar Baru Serting

SPM 2010 di Serting

SPM 2010 di Serting

Semalam saya meluangkan masa bertemu dengan 60 orang pelajar di SMK Bandar Baru Serting. Guru mereka mengaturkan pertemuan ini di sebelah petang selepas mereka menamatkan masa persekolahan. Kesemua mereka akan menduduki peperiksaan SPM, tidak sampai 30 hari dari sekarang.

Di akhir ceramah saya berpesan kepada mereka,

1. Jangan tinggal solat fardhu.
2. Maklumkan pada mak, abah…. bagi tahu mereka yang saya pesan jika sayang anak, bangun solat malam dan berdoa kepada Allah supaya anak-anak dipermudahkan pengajian, peperiksaan dan dirahmatinya
3. Mohon pada cikgu-cikgu supaya juga solat tahajud
4. Dan yang paling penting, kita sendiri lakukan… solat di waktu bersahur jika tidak boleh di awal pagi.

Saya juga menerima SMS daripada Mekah,

Salam dari Mekah. Alhamdulillah kami kini sudah tiba dari Madinah awal pagi tadi. Kami dapat menyempurnakan tawaf umrah di tingkat 2 sebelum subuh. Suami menolak abang saya dengan wheelchair, saya dan kakak ipar ikut dari belakang.

Tidak sangka kami larat habiskan jumlah jarak lebih 5km dlm masa sejam! Entah dari mana datangnya kekuatan… Kemudian kami saie lepas subuh. Alhamdulillah hotel kami cuma 200m dari masjid. Lepas hilangkan sakit kaki dan mengantuk, kami ke masjid semula. Dapat tawaf sunat sebelum zohor.

Kini sedang berehat selepas makan sebelum ke masjid untuk solat asar. Banjir sudah dataran Kaabah dengan airmata…

Salam buat roza.

Tips haji
Selesaikan dahulu perkara-perkara yang wajib serta merta. Jika melakukan haji Tamattuk [seperti rakan di atas], terus lakukan ibadat umrah wajib. Tawaf, Saie dan bertahlul!