Buat rakan-rakan yang mengenali Ahmad Kamaruzaman [AK], beliau kritikal di Pusat Perubatan UM akibat stroke. Kami mendoakan beliau dipermudahkan dan keluarga tabah menghadapi dugaan ini.
Archive for November, 2010
Kritikal
Tuesday, November 30th, 2010Tumpuan
Tuesday, November 30th, 2010Selamat kembali.
Tumpuan jemaah haji hampir 100% ketika sebelum berangkat ke Tanah Suci. Persediaan selepas kembali dipinggirkan. Jarang ada manusia yang resah, risau dan gundah gulana setelah mendarat di KLIA. Travelog Haji: 50 Tips Selamat Kembali, Bertahanlah…. Bertahanlah…. Bertahanlah…. cuba mengisi lompang tersebut.
Bayangkanlah kegembiraan kerana menunaikan fardhu haji. Bayangkanlah bagaimana leganya hati setelah berjaya menunaikan rukun Islam yang ke lima. Agaknya lengkaplah titik-titik perjalanan seorang muslim jika rukun Islam dijadikan asas.
Kegembiraan inilah yang terbawa-bawa sepanjang perjalanan pulang sama ada melalui Jeddah – KLIA atau Madinah – KLIA. Tubuh lesu setelah hampir [melebihi] 40 hari memberi tumpuan beramal ibadat di Mekah dan Madinah mula menguasai diri. Namun keseronokan mendarat di bumi Malaysia mula hadir.
Jangan kosongkan fikiran.
Tips kami, sebutlah nama-nama Allah. Berzikirlah. Bacalah ayat-ayat suci al-Quran. Bermunajatlah di dalam hati. Berfikirlah tentang kehidupan pasca-haji. Jangan biarkan semangat Mekah dan Madinah menginsut pergi. Bertahanlah, bertahanlah, bertahanlah.
Bila kapalterbang mendarat, saya dapat merasakan keseronokan jemaah yang berjalan beriring-iringan. Riuh-rendah menuju ke tempat bagasi. Tiada lagi yang tunduk ketakutan, tiada lagi wajah gelisah, gundah gulana dan hati hanya ingin melakukan satu perkara, mencari bagasi dan menolak keluar untuk berjumpa sanak saudara yang sedia menanti.
“Ya Allah kami mohon keampunanmu”
Bertahanlah…. bertahanlah… bertahanlah….
Cuba-cubalah melihat di kiri-kanan perjalanan di terminal KLIA. Pasti jemaah akan berjumpa dengan tanda “SURAU LELAKI” dan “SURAU WANITA”. Berhentilah seketika di sini. Bertenang. Jika mahu berwuduk [nota: mengikut Imam Syafie, lain-lain Imam tidak perlu) ambillah wuduk dan bersujudlah. Ia dinama sujud syukur. Bersujudlah dan ingatlah kasih-sayang Allah betapa dengan izinnya kita berjaya menunaikan fardhu haji, selamat pergi dan selamat kembali.
Hilangkanlah rasa “riang-ria yang melampau” sehingga bibir dan hati sudah mula melupai “Allah, Allah, Allah”.
Bertahanlah…. bertahanlah… bertahanlah… Ibadat haji kita sebenarnya baru bermula di KLIA!
Adat
Tuesday, November 30th, 2010
Hampir selesai menjamu selera
Tidak semua adat bertentangan dengan sunnah. Kadangkala istilahnya berbeza tetapi roh dan semangatnya tetap sama. Salah satu adat di kalangan keluarga kami di Besut, Terengganu ialah meraikan pasangan pengantin baru. Adik beradik yang sudah berkahwin dan emak atau bapa saudara akan meraikan pasangan pengantin baru.
Ia majlis formal dalam erti kata pasangan pengantin dijemput, dibooking masa dan ketika, hidangan istimewa sama ada di sebelah pagi, tengahari, minum petang atau pun makan malam. Bila mahu beredar, pasangan akan dihadiahkan – kebiasaannya – sehelai kain batik dan kain pelikat.
Itulah amalan kami.
Malam tadi kami meraikan Razif dan Nurul. Mereka tiba selepas solat Isya. Menu makan malam yang disediakan oleh Roza, Sara dan Sofea berasaskan masakan Itali. Permintaan adik ipar. Opss… mari kita mulakan dengan membaca sedikit doa buat pengantin baru.
Saya mengetuai permohonan kepada Allah SWT agar diampunkan dosa-dosa kami sekeluarga, diberkati dan dirahmati kami, Razif dan Nurul. Kemudian saya nyatakan betapa gembiranya kami sekeluarga menerima Nurul dan menganggap Nurul sebagai adik beradik sambil berpesan dan berkata lima perkara,
1. usahlah bercerita perihal rumahtangga kepada pihak ketiga. Jika ada masalah, bangun malam, bermunajat dan berdoalah kepadaNya. Menangislah kepada Allah dan ingat hadis ini……. Allah turun ke langit dunia pada 1/3 malam tersisa dan bertanya kepada hambanya……
2. Kami sangat berbangga dengan Nurul kerana sedia menutup aurat apabila berada bersama keluarga. Nurul bermula dengan sempurna. InsyaAllah, biar ia menjadi contoh kepada ahli keluarga yang lain
3. Jaga hubungan dengan ahli keluarga yang lain bukan hanya dengan adik beradik.
4. Mula berdoa untuk mendapat zuriat yang soleh dan solehah
5. Segera berdaftar untuk menunaikan fardhu haji.
Kelihatan Nurul sebak mendengar nasihat yang telah saya kemukakan. Barangkali beliau tidak menyangka yang saya bersungguh-sungguh menyampaikan pandangan kepada beliau. Sofea menghulurkan tisu buat menyapu titisan air mata.
OK… kita baca doa makan dan bermulalah hidangan istimewa Roza buat pasangan yang paling junior. Pertama, sup labu dimakan dengan roti bun beserta kentang goreng. Kemudian Spaggetti bolognise dimakan bersekali dengan Lagsane berkrim berisikan ikan. Akhir sekali kek Coklat. Minuman iringan adalah Oren bercampur soda. Akhirnya ia ditutup dengan kopi berperisa Hazelnut.
Sebelum mereka beredar, saya dan Roza menghadiahkan sepasang persalinan setiap seorang beserta dengan buku-buku agama untuk menambah ilmu.
Selamat pengantin baru bagi Nurul dan Razif. Selamat datang!
Tahniah dan semoga dianugerah haji mabrur
Monday, November 29th, 2010Selamat kembali.
“Prof, saya rindukan Kaabah,” kata-kata dan SMS yang diterima. Rakan-rakan baru pulang daripada Mekah dan Madinah bercerita dan melahirkan rasa teruja di atas pengalaman yang baru mereka lalui. Bahasa mudah, di sana mereka telah berjumpa dengan kekasih hati dan percintaan tersebut sangat berbekas di hati.
Ia percintaan yang berlangsung hampir dua bulan dalam kebanyakan kes.
Kemudian berpisah. Rindu dendam membara. Maka tidak hairanlah jika ungkapan-ungkapan yang dikemukakan berkait rapat dengan rasa cinta semasa di sana dan bersambung dengan rasa rindu akibat perpisahan tersebut.
Rindukan Kaabah, suasananya dan rutin kehidupan di sana selalu dinyatakan. Alangkah kejamnya saya jika saya terus memotong cakap dan berkata, “itu adalah nolstagia, mari kita menghadapi realiti sebenar kehidupan…”. Bahasa anak-anak muda, “potong stim”.
Mari kita sama-sama fikirkan bagaimana mahu mengubat rasa rindu tersebut. Biar kita menangis mengingati rasa cinta tersebut dan berterusan merasainya sehingga ke akhir hayat. Perjalanan yang masih berbaki inilah yang perlu kita tempuhi agar menjaga istilah “sesuci bayi” hasil ibadat yang telah kita lalui dengan jayanya.
Perspektif yang utama, adakah kita merindui kaabah atau merindui kekasih hati yang hakiki? Kalau kita rindukan Kaabah, kumpullah wang dan tunaikanlah umrah. InsyaAllah, 3-4 kali setahun kita boleh melakukannya. Inilah yang dilakukan oleh majoriti rakan-rakan.
Namun saya percaya, rindu-dendam itu tidak akan terubat sepenuhnya kerana suasana dan keadaannya pasti berubah. Pertemuan pertama sentiasa tidak akan sama dengan pertemuan seterusnya.
Jika kita merindui Allah, kunjungilah masjid-masjid untuk solat berjemaah lima waktu sehari kerana itulah yang kita pelajari semasa 40 hari di Masjidil Haram. Tidak perlu kos yang besar. Cukup dengan kelapangan waktu, sedikit kos minyak kereta atau motosikal atau keletihan berjalan kaki.
Rindu-dendam inilah yang mahu diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Lalu saya memberikan sedikit tips, “bertahanlah, bertahanlah, bertahanlah”.
Lepasilah minggu pertama selepas kembali dengan meneruskan amalan-amalan yang telah dilakukan secara berterusan semasa di Mekah dan Madinah. Jaga solat lima waktu berjemaah di Malaysia. Jangan pula solat subuh pertama sudah terbabas. Itukah kerinduan yang mahu diucapkan?
Inilah minggu yang paling getir mencabar nilai sebenar di antara mereka yang mendapat keistimewaan atau tidak daripada perlaksanaan haji mereka. Kemudian, cuba pula minggu kedua, ketiga dan keempat sehinggalah genap-genap atau seiras dengan tempoh menunaikan fardhu haji.
Masih lagi rasa rindu?
Jika ya, teruskanlah amalan ini sehingga mata dikatop.
Cinta memerlukan pengorbanan. Ibadat haji mengajar kita tentang erti pengorbanan. Pengorbanan melawan hawa nafsu. Cinta bukan hanya di bibir. Ia wajib ke hati. Mudah-mudahan Allah memberi keampunan kepada saya dan keluarga di dalam menyampaikan catatan ini.
Menyambut menantu
Sunday, November 28th, 2010
Menu Istimewa: Kambing Panggang

Menu Istimewa, Ayam Tempayan

Sara menjadi pengapit

Bergambar bersama pengantin, Razif dan Nurul
Majlis menyambut menantu tidaklah dibuat secara besar-besaran oleh kebanyakan kaum keluarga saya di Besut, Terengganu. Malah rakan-rakan di Kelantan ada yang hanya menjamu laksa berkuah santan untuk tetamu yang hadir. Itulah perbezaan budaya yang telah saya amati dan lalui sepanjang beberapa tahun yang lampau.
Majlis menyambut menantu pada hari ini sangat meriah. Abah memasang enam buah khemah. Buat pertama kali, selepas enam kali majlis kahwin anak-anak perempuannya, majlis mempunyai pembesar suara dan MC. Namun kami sudah sepakat, tiada lagu-lagu yang berdentum-dentam. Kami ganti dengan bacaan-bacaan zikir munajat, Asma-Husna dan doa-doa memohon keampunan.
Saya bekalkan 23 hadis dan ayat-ayat al-quran berkaitan dengan perkahwinan untuk diceritakan secara berselang-seli dengan zikir-zikir tersebut. Ia disampaikan secara santai dan bersahaja. Ia satu percubaan pertama kami mengubah sedikit tradisi. Kami pindah jadual menerima tetamu perempuan supaya bermula selepas solat zohor.
Secara peribadi, saya sudah dapat membayangkan bagaimana majlis perkahwinan anak sendiri jika ia terlangsung dalam waktu terdekat.
Ketika memberi taklimat kepada MC, saya berkata,
“Mal, turun dari rumah dengan niat untuk berdakwah. Mari kita ubah sedikit cara dan mudah-mudahan ia membawa manfaat. Mula-mula mungkin kekok tetapi akhirnya saya percaya akan ada yang mengikut”
Saya tahu ia perubahan yang sedikit tetapi mudah-mudahan ia dirahmati dan diberkati Allah.