Archive for December, 2010

Kalau Amirul demam?

Thursday, December 30th, 2010

Itulah soalan yang ditanya oleh Amirul kepada mamanya.

“Jika sakit sikit-sikit makan panadol. Nanti mama belikan ubat untuk Amirul simpan. Jika teruk, jumpa cikgu”.

Hari ini bermulalah fasa baru dalam kehidupan Amirul. Inilah asrama kediaman beliau untuk lima tahun yang akan datang. Ia mengenangkan saya kepada kehidupan di MRSM Kota Bharu, 34 tahun yang lampau. Saya membesar bersama kawan-kawan. Hidup berdikari. Malah ia saat-saat yang sentiasa dikenang sepanjang masa.

amirul1ay

Ketika menaiki tangga  asrama, seorang pelajar menangis teresak-esak. Kedua ibu bapanya sudah mula melangkah turun. “Tengok Amirul, ada budak menangis…”.

Amirul senyum. Tentu sekali beliau tidak mahu mengikut contoh tersebut. Dan ketika kami mahu beredar, inilah wajahnya,

Hatinya bagaimana?

Hatinya bagaimana?

 

Namun saya yang sebak ketika memohon kepadaNya, “Ya Allah, Kau permudahkanlah pengajian anakku ini, lembutkanlah hatinya, lembutkanlah lidahnya, kuatkanlah semangatnya, kuatkanlah daya ingatannya, jadilah beliau sebagai anak yang soleh”.

Kami meninggalkan Amirul di bawah jagaanNya. Nanti, setiap 1/3 malam yang tersisa akan kami mohon padaNya agar beliau dipermudahkan di dunia dan akhirat.

Satu hari

Thursday, December 30th, 2010

Ia satu hari yang cukup banyak kenangan. Warna-warni.

Saya tiba di Puteri Pasifik ketika hampir 12 tengah malam. Besoknya, Kami solat subuh di Masjid Sultan Abu Bakar. Masjid berwarna putih yang kelihatan sentiasa bersih. Ia tempat solat kegemaran bila berkunjung ke JB.

“Eeee… prof. Sudah lama prof tidak datang ke sini. Terima kasih. Saya ikut panduan buku Prof. Saya belajar Quran semula sebagaimana yang prof lakukan”.

Itulah Mak Yam yang biasanya melayani tetamu bersarapan di Lounge Pasifik. Beliau kelihatan sangat teruja menceritakan perihal kemungkinan beliau akan menunaikan ibadat haji pada tahun hadapan.

Tiba-tiba muncul sepasang tetamu yang lain.

“Assalamualaikum Dato’, Datin. Sila duduk”.

Datin melihat saya dan tersenyum, “ini selebriti TV?”

“Tidak Datin,” saya ketawa.

“Saya tengok Ustaz di TV. Oooh… saya baca buku Ustaz. Kami baru balik daripada menunaikan Fardhu haji”.

Saya meninggalkan Mak Yam, Dato dan Datin kerana kesuntukan masa.

“Mak Yam, nanti hujung bulan tiga dan bulan empat saya akan berceramah di Masjid Bandar Baru UDA. Jemputlah, saya akan bercerita tentang 50 Tips Motivasi Haji”.

Kenalan saya semakin bertambah.

Dua tetamu ini berada di UiTM Kampus Bandaraya mengikuti ceramah bertajuk Hijrah: Percaya dan Berjaya. Mereka dari UTM. Sanggup datang walaupun ia majlis tertutup semata-mata mahu berjumpa dengan saya. Tentu sekali saya sangat teruja. Namanya Noraini dan Hidayah!

Pembaca KRTS

Pembaca KRTS

Kemudian mereka kekal bersama mendengar ceramah Bicara Tokoh yang dianjur khusus untuk siswa-siswi baru UiTM Kampus Bandaraya. Lalu jumlah masa mereka bersama saya hampir 4 jam. Mudah-mudahan tidak pula mereka termuntah mendengar pidato yang disampaikan secara berterusan.

Sebahagian daripada khalayak Bicara Tokoh

Sebahagian daripada khalayak Bicara Tokoh

Namun saya yakin – sedikit sebanyak – mereka mendapat manfaat selama masabersama saya. Harap-harap ia kenyataan yang benar. Saya doakan Noraini dan Hidayah mendapat perlindungan Allah sentiasa.

Kami tiba di Segamat beberapa minit sebelum waktu asar. Roza sibuk di dapur memasak untuk tetamu yang dijemput menghadiri tazkirah bulanan dan majlis doa selamat sempena meraikan pemergian Amirul  ke asrama dan kejayaan Azrai dan Sara di dalam peperiksaan yang baru lalu. Ia masakan istimewa Roza!

Namun hari saya masih dipenuhi warna-warni yang menarik. Saya mendengar kuliah Maghrib Tuan Haji Omar di Masjid Kg Jawa. Beliau bercerita tentang syirik yang merupakan isu besar buat mereka yang berada pada akhir zaman. Kata beliau,

“Mereka yang solat lima waktu, datang ke masjid, dan melakukan amal ibadat yang lain juga melakukan syirik. Ia berlaku apabila menghadapi ujian terutamanya yang menimpa keluarga terdekat. Anak sakit, dipanggil bomoh dan mempercayai tangkal azimat….”

Saya suka dengan kenyataan ini.

Selepas solat isya, saya pula menyampaikan tazkirah di rumah. Saya sambung apa yang dinyatakan oleh Tuan Haji Omar di Masjid. Kata saya, “lihatlah ikrar yang telah kita nyatakan semasa membaca doa iftitah…  Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam”

Ya Allah, janganlah kami mempersia-siakan ikrar tersebut.

Banyak benar peristiwa sehari yang telah saya lalui. Tidak satu pun saya bersungut kerana ia satu nikmat yang telah Allah berikan. Ia tidak boleh didustakan, insyaAllah.

Kusyuk menilmati hidangan

Kusyuk menikmati hidangan

Belanja

Wednesday, December 29th, 2010

“Saya hendak belanja prof,” betapa sukarnya Hashim, pemandu yang membawa saya ke Shah Alam menyatakan keinginannya.

Malam tadi saya membawa beliau ke SABA untuk makan nasi Arab. “Saya belanja sempena harijadi awak,” kata saya. Saya orderkan Hanish Chicken dan Lamb serta Kebab campur. Turut serta Encik Khairul, bekas Timbalan Pendaftar UiTM Johor yang telah berpindah ke Shah Alam.

Hajat Hashim tidak kesampaian.

Kami pulang ke Segamat petang tadi. Beliau terpaksa menyambung tugasnya membawa saya ke Johor Bharu di sebelah malam. “Shim, ambil saya di Masjid Bukit Siput. Saya ada kuliah Maghrib di situ. Nanti saya sudahkan kuliah jam 8.00 malam. Saya akan jamak dan kita terus ke JB,” saya menyatakan cadangan pergerakan kami.

Itu hanyalah perancangan. Saya hanya menamatkan kuliah sejurus bunyi isyarat masuk waktu solat Isya berbunyi. Saya segera bersalam dengan jemaah dan beredar pergi.

“Shim, sudah makan?”

“Saya sudah, prof?”

“Saya belum, nanti kita makan di mana-mana dalam perjalanan”

“Saya hendak belanja prof,” beliau mengulangi permintaan yang sama.

“OK,” saya memberi persetujuan.

Akhirnya kami makan di Selera Pantai Timur yang terletak ditengah-tengah bandar Yong Peng. Saya order Mee Lakna dan Jus Tembikai. Beliau pula meminta Kuey Tiaw Ladna dan Jus epal.

“Prof tidak mahu makan udang atau sotong celup tepung?,” Hashim mencadangkan kepada saya. Saya fikir apa yang saya order belum mencukupi.

“OK… udang celup tepung”.

Usai makan, saya segera beredar ke kereta. Saya membiarkan Hashim memenuhi hajatnya untuk membelanja saya. Tentu sekali saya tertanya-tanya kenapa beliau bersungguh-sungguh memenuhi hajatnya.

Saya biarkan tanda tanya tersebut tanpa jawapan.

Minta tolong

Tuesday, December 28th, 2010

Saya terbaca keluhan [tuduhan] individu yang tidak berpuas hati dengan keputusan temuduga kerja di sebuah jabatan melalui FB. Ia keluhan dan tuduhan yang tersebar luas. Ia kenyataan yang simple, “pemilihan dilakukan berdasarkan kroni”.

Saya tidak mempercayai panel temuduga mempunyai hubungan langsung dengan calon. Ia mudah ditangkap dan sangat tidak berbaloi. Namun kemungkinan yang paling besar ialah calon mempunyai hubungan yang hampir dengan “mereka yang rapat” dengan panel penemuduga dan orang inilah yang “meminta tolong” supaya calon dibantu semasa proses temuduga.

Ia satu proses yang menarik.

Dulu-dulu, saya kerap dilantik sebagai pengerusi temuduga . Ia satu proses yang sangat mencabar. Bayangkan, ada pengerusi [Z], dua panel [X dan Y] dalaman dan seorang panel luar [W].

Setiap panel mungkin mempunyai calon masing-masing yang sudah diminta tolong. Katakanlah ada tiga calon untuk merebut satu jawatan. Kita namakan A, B dan C.

Apakah yang berlaku semasa ditemuduga? Tidak kira apa pun prestasi semasa ditemuduga, panel X akan memberi markah yang tinggi kepada calon beliau, katalah A. Misalnya 9/10 dan merendahkan calon B dan C sehingga ke tahap 5/10. Panel yang lain juga akan melakukan perkara yang sama kepada calon masing-masing.

Jika markah temuduga kelihatan begitu sonsang sekali berbanding dengan prestasi temuduga, maka ia jelas telah dipengaruhi oleh faktor “minta tolong”. Jika pengerusi juga terlibat, maka hancurlah sesi temuduga tersebut. Dan mereka yang terpilih bukanlah berdasarkan merit yang sebenar.

Bagaimana mahu mengatasi perkara ini? Ia boleh dicuba tetapi akhirnya ia bergantung kepada pintu hati yang dilembutkan oleh Allah SWT.

Pertama, sebelum memulakan proses temuduga, saya mengajak panel untuk berdoa agar apa yang dilakukan ini sebagai satu ibadat. Pohon dipermudahkan dan diberi ilham supaya memilih yang terbaik. 

Kedua, saya terangkan kepada mereka, “jika tuan-tuan memberi markah yang tinggi kepada mereka yang ”pekak dan bisu” berbanding dengan yang “celik dan petah” maka kita semua akan tahu ada sesuatu yang tidak kena. Jika saya tidak tahu sekalipun, Allah Maha Mengetahui”.

Begitulah… rezeki itu Allah yang menentukan.

Bagaimana pula mahu mendapat keuntungan sebagai panel sebut harga? Jika kita berada di pekan kecil seperti Segamat, hampir kesemua kontraktor berlanggar bahu. Kentut di sini, baunya di sana. Jika minum pagi bersama kontraktor A, petangnya hampir kesemua kontraktor yang lain menyatakan kita mempunyai hubungan yang rapat dengan beliau.

“Minta tolong” sebelum mesyuarat sebut harga lumrah. Cara mudah, angguklah kepada kesemua kontraktor yang datang meminta tolong. Ketika keputusan dibuat, SMSlah segera kepada calon yang berjaya dengan menulis “saya sudah bantu permohonan tuan, nampak OK”. Mana tahu ada ganjaran selepas itu.

Situasi seumpama ini sangat sukar dibendung. Apatah lagi jika kita sendiri mahu melakukannya. Sebagai ketua, langkah-langkah yang boleh dipertimbangkan ialah dengan memperbanyakan solat malam, bertahajud dan bermunajat memohon keampunan dan bantuanNya agar kesemua panel diberikan rasa “takut dan gentar”.

Berdoa dan ingatkan kesan kepada perbuatan tersebut sejurus sebelum mesyuarat berlangsung.

“Ya Allah sesungguhnya kita adalah manusia yang sangat kerdil, bantulah kami ya Allah”.

Berilah pertolongan kepada mereka yang meminta tolong. Namun halal dan haram masih merupakan protokol wajib yang perlu dipatuhi.

Akhirnya, benar dan telus sekalipun apa yang dilakukan, jika yang gagal tidak mahu menerima kekurangan diri, maka tuduhan dan fitnah akan tetap dilakukan. Kita mohon dijauhkan.

Rakan sejawat ll

Monday, December 27th, 2010

Malam tadi saya menaiki bas express Segamat – Melaka menuju ke Renaissance Hotel. Perjalanan 1 jam 50 minit dengan tambang RM10 sehala sangat selesa. Saya tidur sepanjang perjalanan.

Sudah hampir 10 tahun saya tidak menaiki bas ekpress. Semalam, itulah pilihan yang terbaik. Saya telah diberi kebenaran untuk meyampaikan pandangan atas tajuk “Keharmonian di tempat kerja” atas perbelanjaan pihak penganjur. Program di adakan di Hospital Melaka. Usai majlis, saya terus bergerak ke Shah Alam bagi mempengerusikan Mesyuarat Gugusan Kenaikan Pangkat Profesor dan Profesor Madya.

Dari sini, pemandu UiTM mengambil saya di Tol Air Keroh.

Apakah yang menarik?

Pertama, saya selalu terpegun dengan kecantikan bas-bas ekspress yang berada di lebuhraya. Ia kelihatan canggih, eksklusif dan nampak selesa. Namun saya selalu ketakutan melihat kelajuan bas yang mahu cepat di sepanjang jalan Tangkak – Segamat. Ia jalan yang sangat berliku. Saya memberi 5* dengan pengalaman yang telah saya lalui semalam.

Kedua, saya dapat bersolat di Masjid ini.

drmelaka3a

Ia dibina pada tahun 1862. Lama. Namun jumlah mereka yang berjemaah subuh, Imam, bilal dan dua yang lain termasuk saya. Ia sangat hampir dengan hotel. Tidak sampai pun lima minit berjalan kaki. Berhampiran terdapat beberapa buah hotel. Mungkin penginapnya pelancong yang bukan beragama Islam. Mereka tidak perlu bersolat di masjid.

Jika saya menginap lagi di sini, sudah pasti masjid ini menjadi pilihan saya. Ia tidak berdinding dan bertingkap. Nyaman sekali. Malah ia sebuah masjid yang bersih.

Ketiga, mereka ini daripada Jabatan Patologi, Hospital Melaka ralit mendengar ceramah yang saya sampaikan.

Jamuan selepas ceramah

Jamuan selepas ceramah

Entah, saya fikir begitu. Ketua Jabatan adalah seorang Doktor berketurunan Cina. Beliau tekun mendengar apa yang saya sampaikan. Akhirnya beliau bertanya, “bagaimana Islam melihat sifat dendam…..”

“Mereka yang sentiasa memaafkan adalah manusia yang mulia, saya fikir ia nilai yang bersifat universal”

Nun jauh di sudut hati, saya tahu kenapa beliau bertanya soalan tersebut. Mungkin ada yang sukar memaafkan orang lain. Dan orang itu beragama Islam.

Saya meninggalkan Doktor-doktor dan staf sokongan Jabatan Patologi dengan satu kenangan yang akan kekal selamanya. Pastinya ia bersebab, saya terasa dihargai dan dimanjai.

Terima kasih kerana menghantar saya sehingga ke Tol Ayer Keroh.