Archive for January, 2011

Banjir

Monday, January 31st, 2011

Segamat dilanda banjir. Khabarnya lebih teruk berbanding 2006.

Semalam, di sekitar jam dua petang kami bertolak ke Muar menghantar Amirul pulang ke asrama. Pulang pula hampir jam 6 petang. Alih-alih kami tidak boleh memasuki bandar Segamat.

“Adib, tolong ambil dokumen saya di atas meja makan…..” saya memohon bantuan jiran yang paling hampir. “Lap top!,” tambah saya lagi.

Ketika saya menulis ini, Adib, Shima dan anak-anak masih menumpang di rumah jiran yang rumahnya dua tingkat. Sekejap tadi beliau membuat panggilan, “Prof, kami sedang menunggu bot untuk membawa kami keluar”.

Ramai yang menghantar SMS bertanya khabar. Terima kasih atas ingatan dan doa. Kami tidak “apa-apa”. Ia cubaan yang tersangat kecil berbanding dengan apa yang telah dilalui oleh Nabi Noh ketika banjir besar yang telah mengorbankan satu keturunan. Banyak pengajaran yang telah kami tempoh. InsyaAllah akan saya catatkan melalui KRTS apabila masa mengizinkan.

Kami berdoa agar mereka yang dikenali sebagai “mangsa banjir” akan terus bersabar dan berdoa agar setiap kesusahan itu akan berakhir dengan kemudahan.

Tetamu

Sunday, January 30th, 2011

Kami sering menerima tetamu. Bila masuk waktu solat saya akan berkata,

“Alamak, waktu solat telah masuk. Saya ingin solat di masjid. Jom kita pergi ke masjid. Puan (jika membawa isteri) tinggallah dengan Roza. Sekejap sahaja”.

Ada yang menjawab, “terima kasih, saya tunggu di sini”. Jika ini jawapannya maka mata saya terkebil-kebil merenung wajahnya. Seketika.

Hati saya berkata “tidak mengapa, ia  bukan rutin harian mereka walaupun baru pulang menunaikan fardhu haji. Ya Allah bukalah pintu hati mereka untuk berkunjung ke rumahMu ya Allah”.

Namun lebih ramai yang mengikut saya ke masjid.

Jika tetamu datangnya daripada luar kawasan, saya hanya tunjukkan bilik solat. Mereka boleh jamak dan qasar. Subuh? InsyaAllah saya akan kejutkan kesemua tetamu saya [lelaki] untuk ke masjid.

Apakah implikasi jika ada tetamu yang enggan ke masjid untuk solat berjemaah. Mungkin [nota: mungkin] mereka akan berkata, “Prof Kamil tidak menghormati tetamu… kami ditinggalkan untuk beliau solat ke masjid”.

Hakikat sebenar, saya sangat-sangat menghormati tetamu. Saya melakukan sesuatu yang sukar untuk dilakukan semata-mata kerana menghormati mereka dengan mengajak mereka berada di rumah Allah ketika kita berupaya melakukannya.

Bagaimanapun terdapat satu hadis yang sering saya baca sebagaimana dilaporkan oleh Tarmizi, “Daripada Anaz RA, akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya ibarat menggenggam bara api”.

Tentu sekali saya memohon keampunan Allah agar apa yang saya usahakan ini benar di sisiNya.

 

Serban

“Amirul sudah pandai pakai serban,” beliau bangga menyatakan kepada saya.

“oh… ya ke? Cuba ayah tengok,” saya memberi semangat. “Wah… lebih kemas daripada ayah”. Kenyataan yang turut disokong oleh Sofea.

Kelihatan, setiap waktu solat Amirul memakai serban ke masjid. Ia perbezaan ketara berbanding sebulan yang lampau.

Hari ini genap sebulan Amirul tinggal di asrama. Banyak perubahan terlangsung dalam tempoh yang singkat. Pertama, soal keyakinan diri. Beliau sudah tidak kisah kalau perlu menaiki bas untuk pulang ke Segamat. Cuma saya belum mahu membenarkannya. Kedua, beliau mula bercerita patah-patah perkataan bahasa Arab yang telah beliau pelajari.

Paling penting, beliau sudah mula bersukan. Jika tidak, kegiatan hariannya hanyalah komputer, ASTRO dan kuak lentang (tidur)!

Catatan Dr Bubbles

Saturday, January 29th, 2011

Emak yang sentiasa di sisi abah

Abah dan anak-anak selepas mendengar taklimat Dr Khairul

 Saya terbaca catatan Dr Bubbles di Facebook:

“Terharu apabila mengetahui sahabat semasa zaman persekolahan dahulu dan kini seorang pakar urologi di HKL, sedang merawat bapa mertua Prof. Muhd Kamil Ibrahim. Kata-kata beliau semalam, membuatkan saya ketawa kecil, “Sebenarnya, aku pun pembaca Travelog Haji,” Semoga Allah permudahkan usahanya merawat pesakit. Amin!”

Pada sudut yang lain, saya sedang berjalan ke parking kereta. Ia perjalanan yang masih jauh. Seorang berbangsa China tersenyum dan berkata tanpa dipinta, “ayo… parking banyak susah”.

“Ikut saya…. ambil parking saya”

Beliau tersenyum dan sangat teruja. Lalu saya pula tidak perlu berjalan ke tempat parking tersebut. Beliau menggantikan tempat parking dan saya pula menumpangkan beliau ke arah wad.

Kami tidak kenal mengenali. Dengan sedikit senyuman beliau menjadikan banyak perkara dipermudahkan. Buat saya dan beliau.

Sambil menunggu Roza dan Sofea, seorang wanita senyum kepada saya dan berkata, “macam yang ada dalam TV”. Saya senyum dan menjawab “betullah tu… mak cik sakit?”.

“Tidak, mak cik tunggu pak cik ambil kereta. Sakit lutut”

Di HKL, kita akan berjumpa dengan pelbagai lapisan manusia. Kafe berhampiran dengan bangunan urologi dan wad kecemasan sentiasa penuh. Ia sangat menarik untuk diperhatikan. Malah ada gelagat yang boleh ditulis secara pandangan sisi.

Ada petugas yang sentiasa tenang dengan tanggungjawabnya, ada yang berkerut sentiasa. Mereka yang melawat, beliau yang dirawat dan pemberi khidmat mempunyai pelbagai ragam.  Namun itu bukan soal kita. Kita perlu senyum sentiasa, baik dan buruk, susah dan senang.

Di sini, kita berlatih dengan apa yang kita inginkan, menjadi manusia yang sabar dan terbaik disisiNya.

Masa

Saturday, January 29th, 2011

Satu hadis tentang masa

Dalam perjalanan pulang, saya menyampaikan tazkirah bertajuk “Penjagaan masa dan tanggungjawab: kesan terhadap peribadi” di dewan seminar perpustakaan USIM.

Seluruh kehidupan kita sepatutnya merupakan satu ibadat. Ia fitrah atas sebab kenapa manusia dan jin dicipta oleh Allah, untuk beramal ibadat kepadaNya.

Namun akhirnya, kehidupan selepas kematian merupakan kehidupan yang hakiki. Saya menyebut tentang masa dalam konteks “kematian”. Masa dan saat mati kita “tidak cepat atau lambat sesaat”. Tiang gol yang tidak berubah. Penjagaan masa dan menunaikan tanggungjawab sepatutnya menuju ke arah masa tersebut.

Memahami konsep ini dengan mendalam akan memberi kesan besar kepada kehidupan seharian manusia dan akan membentuk peribadi yang berbeza, insyaAllah. 

Ini merupakan kunjungan ke 4 ke USIM. Saya dan USIM saling minat meminati, barangkali…..

Laptop

Amal (pengurus novelis terkenal, Ain Maisarah) kehilangan laptopnya apabila kereta dipecah orang. Bagi sesetengah orang, laptop merupakan nyawa. Data-data yang terkandung di dalamnya tidak ternilai bagi seseorang yang sentiasa memikirkan peluang-peluang perniagaan Maka laptop yang dipenuhi dengan pelbagai cadangan perniagaan mempunyai nilaian jutaan ringgit.

Sudah pasti di dalamnya ada projek meng”VCD”kan 50 tips motivasi haji yang mahu kami usahakan. Alahai… projek kecil sahaja!

Ain juga kehilangan laptopnya. Nilai ilham yang sudah diterjemahkan ke dalam pelbagai fail juga tidak ternilai. Si pencuri mungkin dapat menjual 5-6 ratus nilai laptop terpakai tanpa menyedari yang isi kandungan jauh melebihi nilai tersebut. Ah… itu bukan urusan mereka!

Bayangkanlah bagaimana jika pelajar PhD yang kehilangan laptop? Saya sentiasa berpesan, “setiap yang diprint, campakkan ke dalam satu kotak khas. Fail-fail perlu disimpan pada dua tiga tempat yang berasingan. Jika hilang, kita tidak hilang semua”

Budaya “back-up” seharusnya ada pada setiap mereka yang mempunyai komputer atau kepada sesiapa sahaja yang sentiasa berurusan dengannya. Cakap yang mudah, sukar untuk diamalkan!

Hati-hati dengan laptop yang ditinggalkan di kereta, saya mengingatkan diri sendiri yang sentiasa berbuat begitu!

Pembedahan “major”

Friday, January 28th, 2011

Adik beradik diminta berkumpul oleh Dr pakar. Lalu petang semalam saya, Roza dan Sofea terus turun ke KL.

Pemeriksaan awal menunjukkan yang ketumbuhan di pundi kencing abah besar dan keras. Pembedahan segera wajar dilakukan tertakluk kepada beberapa isu lain. Dan persetujuan abah dan keluarga yang diperlukan oleh pihak Doktor.

Pagi tadi, kami semua berkumpul di hospital. Dr Khairul – pakar urologi HUKL – memberi penerangan kepada mereka yang hadir. Kata beliau, “ia pembedahan major dan akan mengambil masa hampir 10 jam”.

“Pembedahan roboctic,” saya mendengar penjelasan beliau. “InsyaAllah, inilah yang dilakukan oleh kami setiap hari”.

Abah kelihatan tenang. Dan semuanya bersetuju supaya abah memasuki dewan pembedahan segera mungkin. Dan kami berdoa agar segalanya selamat dan dipermudahkan Allah.

Sebelum beredar saya berpesan, “abah, jangan tinggal solat, berzikir sentiasa”. Mungkin abah akan berkata… “la… menantu aku ini, dulu aku yang mengajaknya ke masjid”.

Roza tersenyum.