Ia kisah hujung minggu yang bermakna.
Pahang (Jumaat)
Saya menyampaikan syarahan kepada pensyarah dan pentadbir baru UiTM. Majlis berakhir di sekitar 11 malam. Bila sampai ke bilik, terketuk pula bilik Timbalan Pengarah HEA lalu berbincang-bincang pelbagai isu di kampus. Alamak, hampir 2 pagi barulah saya dapat melelapkan mata.
Janjinya, saya akan bertolak ke Serting pada jam 5.00 pagi. Maknanya saya hanya mempunyai dua jam untuk tidur. Ia tidak jadi begitu. Barangkali hp berdering-dering mengejutkan tuannya, langsung tidak terjaga sebagaimana kemahuan saya. Saya hanya terjaga di sekitar jam 4.30 pagi.
4.55 bertolak ke Serting melalui Temerloh, Triang dan Serting. Singgah solat subuh di sebuah masjid sejurus membayar tol. Sempat solat sunat dan berjemaah. Biasalah… hanya 4-5 orang penduduk tempatan yang menghidupkan masjid.
Negeri Sembilan (Sabtu)
Saya mohon majlis dilewatkan sejam, takut-takut saya tidak sempat sampai sebelum jam 8 pagi. Alhamdulillah, saya tiba di SMK Serting baru di sekitar 8.30 pagi. Sempatlah saya singgah di masjid besar yang sangat berhampiran dengan sekolah.
Saya solat dhuha dua rakaat dan berdoa, “Ya Allah lembutkanlah lidah ku, tajamkanlah pemikiran ku, mudahkanlah untuk aku menyampaikan syarahan ini dan jadikanlah khalayak pendengar lembut hatinya untuk mengakui keesaanMu ya Allah”.
Mata saya menjeling kepada pemandu. Alhamdulillah beliau turut serta melaksanakan solat sunat di masjid tersebut.
Hilang mengantuk dan rasa letih apabila mula memegang pembesar suara. Pengetuanya turut serta. Guru-gurunya sangat tekun mendengar apa yang saya ucapkan. Malah saya terasa kedatangan dinanti, kata-kata saya dihargai. Ia perasaan atau perasan tidaklah terlalu mustahak. Saya mohon keampunan Allah.
Johor (Sabtu)
Di sebelah malam, saya dijemput untuk menyampaikan syarahan Maulidur Rasui di Masjid Jamek, Bandar Renggam. Saya fikir Simpang Renggam. Rupa-rupanya tidak. Ia sebuah pekan tersendiri. Mengikut sejarah, ia sebuah pekan lama yang menjadi pusat pentadbiran British bagi daerah Kluang.
YB kawasan tersebut turut serta, Ketika berceramah saya sebut secara jelas,
“YB, dapat jadi YB merupakan satu ujian, Jika kita menggunakan kuasa yang ada untuk melakukan rasuah, menjaga kepentingan diri maka kita gagal dalam ujian tersebut. Mudah-mudahan apa yang dianugerah Allah akan sentiasa mendekatkan diri kepadaNya”.
“Saya juga diuji Allah dengan jawatan profesor. Jika saya sombong-bongkak, tidak mahu masuk kampung jika dijemput untuk memberi ilmu, maka saya juga gagal dalam ujian ini..”
Saya tiba di rumah selepas jarum jam melewati angka 12.
Melaka (Ahad)
Pagi-pagi lagi kami sekeluarga bergerak menuju ke Masjid Kg Pulai, Melaka. GPS menunjukkan yang perjalanan akan mengambil masa selama 1 1/2 jam melalui Tangkak – Bemban – Serkam. Saya untukkan dua jam perjalanan. Program dijangka bermula jam 10 pagi.
Ruang bercakap di anjung masjid. Khalayak ada yang berada di anjung tersebut dan sebahagian besar lagi berada di dalam khemah di luar masjid. Di sebelah pagi kanak-kanak berarak. Suasana riuh-rendah dengan kanak-kanak berlari-lari, bertempik dan bersorak.
Ia sangat tercabar untuk berpidato.
Inilah sebahagian daripada cabaran yang bakal dihadapi oleh mereka yang dijemput menyampaikan syarahan. Khakayak yang tidak terkawal, pembesar suara yang tidak berfungsi dengan baik dan minat khalayak kepada topik yang ingin disampaikan. Jika mereka sudah makan, maka khalayak biasanya akan berkira-kira masa yang sesuai untuk meninggalkan majlis.
Saya sudah berpengalaman berucap dan bercakap di dalam beratus (nota: kalau tidak pun beribu) majlis. PTS pernah menganjurkan majlis di pusat membeli-belah di mana khalayak yang duduk di kerusi mendengar saya bercakap tidak sampai pun 5 orang. Mereka yang lima itu pun hanyalah Puan Ainon (pengerusi PTS), Roza dan beberapa krew PTS sendiri.
Bagaimanapun ia tidaklah menggusarkan saya. Itulah pengalaman yang paling manis apabila pergerakan manusia di pusat tersebut terhenti, ada yang berpura-pura membaca buku di sebalik rak-rak dan mereka yang duduk di tempat rehat tidak berkata-kata. Maksudnya dalam suasana tersebut, khalayak kita bukanlah mereka yang berada di hadapan.
Namun ia tetap mencabar.
Akhirnya, kita memohon kepada Allah agar apa yang kita ingin sampaikan akan masuk menusuk ke hati khalayak walaupun yang mendengar itu hanyalah seorang sahaja yang kusyuk.
Setelah beberapa ketika bercakap, tiba-tiba keadaan reda. Ohh… anak-anak semuanya dikerah untuk makan.
Saya meninggalkan Masjid Kg Pulai dengan hati yang tenang. Terima kasih di atas layanan yang baik, kesungguhan untuk mendengar apa yang ingin saya sampaikan dan yang lebih penting kerana memberi peluang kepada saya untuk bercakap di kampung mereka.
Ia satu penghormatan.
Saya tidak menyangka yang hujung minggu saya berada di empat negeri yang berbeza.



