Archive for March, 2011

Magik

Thursday, March 31st, 2011

Jika saya mempunyai tongkat sakti, terdapat beberapa perkara yang ingin saya lakukan serta merta. Salah satunya, menghafal al-Quran. Seterusnya, menjadi imam di Masjidil Haram dengan suara bergema melewati kawasan sekitarnya.

Banyak lagi angan-angan saya yang mahu saya capai melalui tongkat sakti tersebut.

Realitinya, tiada magik dalam kehidupan sebenar. Ketika saya buta huruf, saya merayu dan merintih hampir setiap malam mengadu kepada Allah betapa saya “tidak pandai membaca al-Quran”. Malah saya memohon kepadaNya, “Ya Allah, bantulah daku, berikanlah ilham kepada ku, aku jahil ya Allah, aku bodoh ya Allah…”

Tidak pula saya terjaga keesokkan harinya dan terus boleh menyebut, “Alif, Laaaaaaaam, Miiiiiiiiiim” dan terus membaca surah sajadah sehingga tamat.

Tiada magik. Ia tidak begitu!

Namun Allah memberi pertolonganNya. Seorang Hafiz muncul di rumah, kemudian menjadi guru saya, dan seterus mengajar saya bermula daripada Alif, ba, ta dan seterusnya sehinggalah saya mengenal huruf.

Tiada jalan singkat meskipun di atas kekuasaan dan kehebatan Allah, ia boleh berlaku.

Semalam, saya didatangi oleh seorang guru yang risaukan anak-anak muridnya yang terlalu  menyimpang daripada jalan Allah. Mereka sudah pandai minum arak, menghisap rokok dan pelbagai gejala sosial yang lain.

Ringkaskan cerita, mereka memohon untuk saya mengadakan ceramah motivasi kepada anak-anak ini supaya pulang ke pangkal jalan. Barangkali, ini juga salah satu magik yang ingin saya miliki.

“Betul cikgu serius mahu menangani isu ini?,” saya mengemukakan satu pertanyaan.

“InsyaAllah saya sanggup mengusahakan tetapi saya tidak ingin berjumpa dengan pelajar. Biar saya berjumpa dengan ibu bapa mereka. Kita mulakan di situ. Ada cara yang boleh kita cuba. Kita guna pendekatan yang telah diajar oleh Allah SWT. Kaedah motivasi biasa hanya sedap didengar…..”

Apakah yang ingin saya sampaikan kepada ibu bapa?

Pertama, saya akan ceritakan isu-isu yang sedang anak-anak mereka hadapi. Lalu saya akan bertanya, “tuan-tuan sayang anak-anak tuan? Benar-benar sayang? Dan pastinya tuan-tuan sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan anak-anak tuan. Tiada kos, tiada wang yang perlu dikeluarkan”.

Kemudian, saya akan memberi manual penyelesaian.

Pertama, mari kita mulakan dengan melakukan solat malam…. Allah sudah berjanji dengan kita begini…. Barangkali pada saat dan ketika ini, saya berharap mereka masih menyayangi anak-anak mereka!

Ia bukan magik. Namun ia logik dan sangat praktikal. Dan tugas saya – barangkali – mengajak mereka untuk kembali hampir dengan Allah SWT.

Kedua-dua guru tersebut pulang memikirkan saranan saya!

Berehat

Wednesday, March 30th, 2011

Inilah diet yang dihadiahkan oleh mereka yang mendengar kuliah, pembaca buku dan blog. Terima kasih banyak-banyak. Semuanya saya akan makan dan minum sampai habis!

Bila sakit kita disarankan untuk berehat.

“Rehatlah, tubuh badan juga mempunyai hak,” nasihat seorang rakan. Malah ada yang menyatakan, “berehatlah, Sofea dengan Amirul masih kecil,” memberi andaian yang jika saya meninggal maka yang akan merana dan menderita adalah anak-anak tersebut.

Malah saya mendapat e-mel daripada rakan sejawat yang menulis, wah ganas betul!

Bell’s Palsy tu adik kepada stroke. It’s a matter of time yang prof akan diserang major stroke. From now on, prof kena jaga makan khususnya, dan jaga kesihatan secara amnya. Dietnya sama mcm org sakit darah tinggi/ jantung.

Akhirnya, e-mel yang panjang lebar diakhirkan dengan kata-kata berikut,

Kesimpulannya, we love you prof. That’s why we keep telling you to take care of yourself. Prof jangan marah ye. Kalau prof tak kisahkan diri prof, kasihanlah pada Kak Roza yang sentiasa risaukan kesihatan prof tu. She loves you more than we do! Cuba tengok muka Kak Roza, mesti lately berkerut-kerut je dahinya. Tudung pun dah senget-senget.

Saya sangat menghargai nasihat-nasihat yang telah dikemukakan. Malah memang saya berehat. Tinggal lagi ada beberapa perkara yang saya “suka untuk melakukan” tetap diteruskan. Ada rasionalnya. Ia terapi atau seolah-olah itulah yang menyegarkan tubuh badan.

Rasionalnya begini.

Di Mekah – apabila menunaikan fardhu haji – hampir keseluruhan jemaah akan ditimpa sakit. Paling kurang batuk atau seram-sejuk. Deman atau tidak? Ia persoalan yang berlegar-legar di fikiran jemaah. Berehat atau meneruskan amal ibadat di masjid?

Maka ia terbahagi kepada dua golongan. Akhirnya, yang tidak mahu berehat meneruskan amal ibadat di Masjidil Haram, yang mahu penyakitnya sembuh akan berehat di hotel. Alih-alih masa kian suntuk. Masa untuk berangkat pulang pun tiba.

Mereka yang sakit-sakit tetapi tidak mahu berehat akan berkata, “Ya Allah, Dia Maha Berkuasa, Dia Maha Pengasih, Dia Maha Penyayang, terima kasih ya Allah, dalam keadaan begini aku masih boleh beramal ibadat kepadaMu ya Allah”.

 Mereka melihat kebesaran Allah.

Kadangkala saya terkenang dengan kisah-kisah saat-saat kematian Rasululullah yang dipapah untuk menunaikan solat berjemaah. Saya tidak mampu begitu tetapi saya mahu jadi begitu.

Saya dapat membayangkan bagaimana Rasululullah (selawat dan salam kepada baginda, kaum keluarga dan para sahabat) menjawab kepada Aisyah betapa baginda bersolat malam hingga bengkak kaki bukan kerana mengharapkan balasan syurga tetapi, “tidak bolehkah aku bersyukur kepadaNya?”.

Sakit adalah ujian Allah. Allah telah memberi panduan bagaimana mahu menghadapi ujian. Ia sangat asas dan mudah sebagaimana sarananNya melalui surah Al-Baqarah ayat 45,

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.

Tentulah saya berterima kasih dengan rakan-rakan yang sangat prihatin. Malah saya berusaha – makan ubat, diet dan berurut -  berdoa dan bertawakal agar kesulitan sementara ini lebih mendekatkan diri kita kepadaNya.

Terima kasih!

Urut

Tuesday, March 29th, 2011

Mengurut adalah satu kerjaya.

Diurut pula satu kesedapan. Ia boleh ketagih. Saya suka diurut. Hampir 5 tahun saya mempunyai tukang urut yang sama, di Shah Alam. Ketika bertugas di sana, setiap dua minggu beliau akan berkunjung ke rumah.

Bila saya berpindah ke Segamat, maka setiap kali saya bertugas di Shah Alam, saya akan mencari masa supaya dapat diurut.

Di peringkat awal, kadar upahnya mengikut pangkat. Profesor RM30, Profesor Madya RM25, Pensyarah atau pegawai RM20 dan seterusnya sehinggalah RM10 untuk pemandu dan jaga. Itulah kadar yang beliau mahu. Tidak lebih, tidak kurang.

Pada ketika itu beliau masih bertugas di UiTM Shah Alam.

Beliau sangat bersungguh, tekun dan mengurut sepenuh hati. Jika beliau mengurut saya, ia mengambil masa hampir dua jam. Ia satu terapi yang menyegarkan.

Bila bersara, struktur upahnya berbeza. Beliau tidak lagi menetapkan kadar upah. Ikhlas. Saya menilai hasil kerjanya, kesungguhan dan ketekunan melaksanakan kerjanya, lalu saya membayar RM100 setiap sesi. Kadangkala, bila wallet saya masih ada banyak $$, saya bayar lebih.

Kami mempunyai perhubungan yang baik!

Tukang urut mempunyai tren yang hampir sama. Agaknya kerjaya mereka begitu. Pertama, mereka akan bercerita tentang kejayaan yang telah dilakukan kepada pelbagai pesakit. Misalnya, orang lumpuh sudah mula boleh bangun, tangan yang tidak bergerak sudah mula berhayun, leher yang sudah boleh dipusing dan pelbagai lagi.

Dalam proses bercerita mereka akan memperkenalkan identiti orang yang diurut.

“Haji, tidak baik kita bercerita kisah orang. Nanti bila haji berurut di rumah orang haji akan bercerita pasal saya, saya ada urut profesor yang tulis buku Travelog Haji… Jangan begitu, tidak baik”

Kedua, apa pun masalah yang kita sedang hadapi, akhirnya tukang urut akan mencadangkan urutan yang condong untuk menguatkan tenaga batin. Mereka tersangat suka untuk memberi petua dan pelbagai tunjuk ajar. Selalunya, ramai yang lemah telah mereka pulihkan. Kata mereka.

Saya bergurau dengan Tukang Urut saya, “Haji, sudah tiga-empat tahun saya berurut dengan haji, sakit belakang saya tetap sama sahaja. Baik sekejap, datang balik… baikkan yang ini dulu…”

Beliau ketawa.

Kini saya sedang melakukan urutan muka. Sudah tiga sesi bersama dengan Tukang Urut di sini. Fokus utama ialah untuk menyamakan kedudukan wajah terutamanya di sebelah bawah hidung. Bibir masih sukar untuk dikawal terutamanya apabila minum, berkumur, gosok gigi dan yang berkaitan.

Ia nyata ada perubahan. Alhamdulillah.

Minta 5 dapat 10

Monday, March 28th, 2011

Beberapa bulan yang lampau saya didatangi oleh seorang perempuan Cina dewasa ketika singgah di 7-11 Jementah.

“Tuan orang sini? Bag saya diragut. Saya hendak pulang ke Tangkak. Lapar, masih belum makan. Boleh bagi saya RM5.00?”

Saya hulurkan RM10.00.

Selepas beberapa bulan beliau melakukan perkara yang sama, di kawasan yang sama dengan orang yang sama.

“Masuk kereta saya, saya hantar awak ke Tangkak…”

Beliau melarikan diri.

Di Mekah dan Madinah, kita akan temui mereka yang kelihatan “alim dan warak” menyebut nama Allah dan menceritakan kesusahan mereka.

Saya berpesan, bila orang meminta atas nama Allah, jangan dipertikaikan mereka. Jika mahu menderma, serahkanlah seikhlas hati. Jika tidak, berdiam diri sahaja.

Kesihatan

Tinggal dua hari lagi untuk saya menghabiskan ubat yang dibekalkan oleh doktor. Mengambil kira ubat sedia ada, saya menelan 17 biji ubat sehari semalam.

Selang sehari, saya melakukan urutan muka dan badan.

Saya semakin pulih. Ramai yang mendoakan “kesembuhan yang tidak berbekas”. Terima kasih yang tidak terhingga. Ingatan dan doa inilah yang dimakbul Allah. Saya dan keluarga juga mendoakan kesemua pembaca KRTS agar dirahmati Allah sentiasa.

Khatam Quran

Pak Nizam membantu saya pada hujung minggu yang baru berlalu. Beliau bekas pembaca meter TNB. Pencen bulanannya hanya RM250.

Saya tidaklah mengenali beliau “zahir dan batin”.

24 jam bersama beliau, ada sesuatu yang saya pelajari. Beliau khatam al-quran hampir setiap bulan. Paling lewat pun 1 1/2 bulan. Ketika saya memberi kuliah di UiTM, beliau tidak mahu tinggal di hotel. Pak Nizam menghabiskan masa di masjid yang berhampiran. Membaca al-Quran.

Rutin tidur beliau di sekitar 1-3 pagi. Masa sebelum tidurnya dihabiskan dengan membaca al-Quran.

Beliau berpuasa setiap hari khamis dan Isnin. 

Di antara waktu solat Maghrib dan Isya beliau menghabiskan masa dengan solat-solat sunat. Jika tidak, beliau mengikut dan mendengar Tuan Haji Omar mengajar di masjid-masjid yang berhampiran.

Sesuatu yang unik, beliaulah yang membawa beg kitab Tuan Haji Omar ke meja kuliah.

Sepatah kata beliau, “kisah perjalanan kehidupan kita tentu berbeza. Prof dengan cara prof, saya dengan cara saya. Bagaimanapun masing-masing ada sejarah tersendiri. Kita mahu yang akhir sekali…”

Orangnya kelihatan sangat tidak luar biasa!

Masjid Bandar Baru Uda

Sunday, March 27th, 2011

Sebahagian khalayak yang menunaikan solat Isya. Comelnya adik yang berpaling bila terpancar flash. Maaf dik.....

Agak ramai juga yang mendengar kuliah Isyak, Motivasi Haji dan Umrah.

Kawasan wanita lebih padat. Cuma saya tidak berkesempatan untuk mengambil gambar. Mereka bersedia dengan pen dan buku. Bagaimana pun saya tidak tahu bagaimana reaksi mereka dengan tips-tips yang telah saya hujahkan.

Jika minggu depan mereka masih mahu hadir, maka pastinya khalayak pendengar sudah ter”hooked” dengan idea-idea yang telah saya cuba sampaikan melalui ilham Allah SWT.

Tips 2, “bagaimana membayangi diri anda apabila pulang daripada menunaikan fardhu haji?” Ia sering dilupakan. Jemaah hanya memikirkan soal sebelum dan semasa berada di Mekah dan Madinah.

“Adakah anda membayangkan anda sebagai seorang insan yang solat lima waktu di masjid?

Adakah anda membayangkan diri anda yang bangun malam untuk bertahajud dan berqiamullail?

Adakah anda seorang yang akan melaksanakan puasa-puasa sunat?

Adakah anda seorang insan yang sudah mahu melupakan soal buruk sangka, berniat jahat dan tidak mahu lagi melakukan fitnah?”

Ia contoh-contoh yang telah saya gambarkan. Akhirnya, gambaran seumpama inilah yang akan memberi motivasi untuk melaksanakan sesuatu yang lebih baik apabila kembali ke Malaysia.

Dan setiap gambaran itu akan diberi tips lain supaya mereka tidak melihat ia sebagai satu kesusahan.

Namun saya tahu saya lebih santai dan bertenang. Urat-urat saraf pipi bekerja dengan baik. Tidak sangat mengganggu. Malah saya selesa walaupun ada dua tiga kali tersasul kerana bibir berasa tebal untuk menyebut perkataan yang diberi isyarat oleh otak.

Di atas segalanya, saya berterima kasih pada Pak Nizam yang sudi menjadi pemandu. Inilah wajah beliau.

Pak Nizam, Segamat