Archive for April, 2011

Pelancaran buku

Saturday, April 30th, 2011

Hari ini saya sangat teruja.

Selain daripada buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman, buku 50 Tips Motivasi Haji memberi kesan yang mendalam kepada saya dan Roza. Ia hasil penulisan yang dipinjamkan oleh Allah SWT. Ia lahir dari hati. Mudah-mudahan ia turun ke hati.

Malah buku Travelog Impian Abadi: Itu yang Tertulis yang dirakamkan oleh Roza mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi buat saya. Sekurang-kurangnya buat saya!

Saya berterima kasih kepada PTS yang memberi ruang untuk buku ini dilancarkan di Pesta Buku Kuala Lumpur. Ia sangat dalam maknanya. Besar atau kecil majlis pelancaran ini, ia sentiasa meninggalkan kenangan buat penulis.

Saya mempunyai pengalaman pelbagai apabila dikaitkan dengan pelancaran buku. Misalnya, buku Menyingkap Pengurusan Universiti dilancarkan oleh Sultan Selangor, PhD Kecil tapi Signifikan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu dan Travelog Haji oleh Yang Berbahagia Dato’ Zaini. Kesemuanya memberi memori yang kekal dalam ingatan.

Saya fikir, hari ini juga tidak terkecuali. Mohon doa agar ia berjalan lancar dan diberkati Allah.

Nota: Majlis akan berlangsung pada jam 2.00 petang di Bilik JOHOR, PWTC. Program hanya 1 jam. Ia akan tepat bermula pada masanya, InsyaAllah.

Kisah Lebai Malang

Friday, April 29th, 2011

Ia kisah yang sangat menarik. Cerita Melayu klasik.

Malam tadi, sayalah lebai malang.

Ketika berbuka puasa, saya hanya makan seulas kurma, minum segelas air kosong dan segenggam nasi. Saya memang bercadang ingin menikmati hidangan di rumah Ustaz Azrul – Imam UiTM Johor – yang mengadakan doa selamat di atas kelahiran cahayamata ke3.

Ketika majlis baru bermula, bilal membisikkan kepada saya, “prof, isteri prof telefon. Katanya prof ada majlis di Hotel Pegasus”.

Ya Allah, saya tersilap tarikh. Saya fikir majlis Maulidur Rasul (nota: Orang Johor menyambut Maulidur Rasul selama setahun) yang dianjurkan oleh persatuan peniaga pasar tani Segamat sepatutnya berlangsung malam ini. Alahai… saya pula tertinggal telef0n.

Tentu sekali penganjur ”mati akal”, gelisah dan gundah-gulana kerana penceramah jemputan tidak dapat dihubungi (nota: bila pulang saya melihat lebih 10 missed call). Roza jarang menyambut panggilan telefon bimbit saya. Semalam terkecuali. Panggilan yang tidak henti-henti - gerak dari Allah – beliau menjawab panggilan tersebut.

“Yang, telefon penganjur yang saya dalam perjalanan,” saya tinggalkan majlis Ustaz Azrul. Saya pecut 130-150 km/sejam. Alhamdulillah, 3-5 lampu trafik light kesemuanya hijau. 

Akhirnya, saya rasa teruja kerana tidak menghampakan mereka yang telah begitu lama mahu menjemput saya untuk menghadiri majlis mereka.

Tinggal lagi, ketika saya tiba mereka telah selesai menikmati hidangan istimewa. Bila saya pulang ke rumah – 11.39 malam – saya nyatakan kepada Roza, “hari ini saya Lebai Malang. Saya hadir dua majlis, kedua-duanya saya tidak sempat makan”.

Ia hanya satu gurauan. Saya cuma ingin kaitkan dengan kisah Lebai Malang klasik. Ia masih boleh berlaku dalam kehidupan seharian. Maksudnya, rezeki itu Allah yang menentukannya. Kita hanya b0leh merancang.

Jemputan

Thursday, April 28th, 2011

Saya mohon maaf kerana terpaksa menolak banyak undangan.

Hampir setiap hari saya menerima undangan untuk menyampaikan kuliah. Barangkali ramai yang memikirkan masa yang tinggal hanya sehingga bulan Julai.

Bulan Ogos berpuasa dan di sekitar 1 atau 2hb September – insyaAllah – kami akan berhijrah ke Madinah.

Jadual kuliah undangan untuk Mei, Jun dan Julai sudah penuh. Di tambah lagi dengan tugas-tugas rasmi dan persiapan lain, terasa batas waktu yang sangat terhimpit.

Namun Allah telah menjanjikan secara jelas, “kelapangan masa adalah milik Allah”.

Misalnya, saya telah berjanji dengan mereka yang berada di Kuala Nerang untuk menyampaikan ceramah kepada seluruh guru-guru di daerah tersebut pada 21hb Mei ini, di sebelah petang pertemuan dengan Persatuan Ulamak Kedah, di sebelah malam memberi kuliah di salah sebuah masjid di sana dan beberapa kuliah lain sebelum berangkat pulang.

Sebelumnya, saya berada di Beijing. Tiba-tiba penganjur telah menunda penerbangan pulang. Saya dijangka mendarat di KLIA pada 21hb Mei jam 12.30 pagi.

Tiada penerbangan MAS atau AirAsia selepas waktu subuh ke Alor Setar. Apa pilihan yang ada?

Akhirnya, ada insan yang bersetuju untuk mengambil saya di KLIA dan terus memandu ke Kuala Nerang. Mudah-mudahan saya sempat sampai sebelum majlis bermula.

Namun pengembaraan sebenar ialah menghadiri jemputan Pejabat Pendidikan Daerah Mukah, Sarawak pada 10hb Mei. Ia bermula dengan penerbangan 2 jam KLIA-Sibu.

Sampai di Sibu, kami akan menempuh jalan darat ke Mukah selama dua jam. Kemudian, sesi perjumpaan dengan warga pelajaran sekolah-sekolah di sana.

Terlanjur ada di sana, saya memohon supaya dapat menyampaikan kuliah Maghrib dan Subuh. Akhirnya, pihak penganjur memilih dua buah masjid yang berbeza.

Masjid pertama – kuliah Maghrib – di Masjid Setia Raja. Subuh pula di Masjid Jamek Kampung Penakub Permai.

Ulangan perjalanan Mukah-Sibu dan Sibu-KLIA akan terlangsung pada 11hb Mei.

Saya bersyukur kerana pihak UiTM memberi perlepasan untuk saya berlepas ke Sarawak. Ia ulangan tahun 1993-96 ketika berkhidmat di Sarawak di mana hampir seluruh pelusuk negeri telah saya jelajahi.

Namun ia berbeza “cara dan sebab”. Ya Allah permudahkanlah perjalanan dan urusan kami!

Hidup baru

Wednesday, April 27th, 2011

Arwah Abah dan Mak merupakan pasangan intim.

Mereka sentiasa berdua. Di antara keduanya, abahlah yang lebih bergantung kepada mak. Rasanya, jika mak tiada, goreng telur pun abah tersangat kekok. Sebaliknya, tanpa abah, mak lebih suka berdiam diri di rumah.

Mak telah melalui dua peristiwa besar. Pertama kehilangan suami dan kedua kehilangan anak perempuan bongsu. Ia berselang bulan. Mak redha. Namun pastinya perasaan sayu dan sebak sentiasa ada apabila berseorangan. Ia sifat semula jadi.

“Mak, kami ingin berhijrah. Abang Kamil dapat offer ke Madinah,” Roza memecah rahsia tersimpan sepanjang Mak menjaga Abah dan Ayu walaupun seisi dunia yang lain sudah mengetahui. Ia rahsia hanya untuk mak.

“Kami ingin bawa mak sekali. Bukankah ini impian mak? Agaknya, inilah yang Allah kata, di sebalik kesusahan ada kesenangan,” kata-kata yang mungkin tersusun beberapa minggu yang lepas.

Emak diam. Akhirnya air mata mak tidak tertahan lagi. Kuat sedunya. Kami tahu yang beliau dapat membayangi suasana Masjid Nabi dan kawasan sekitarnya yang aman dan damai. Malah ia bukan satu rahsia betapa Madinahlah yang mahu beliau tuju sebagai destinasi akhir.

Hakikatnya, beliau tahu yang impian tersebut hanyalah satu hasrat yang terlalu sukar untuk dilaksanakan. Tiba-tiba jalannya terbuka luas.

“Cuma Mak, kami perlukan kelulusan UiTM. Doakan supaya ia dipermudahkan”. 

Pada hari yang lain, saya nyatakan pada mak, “Mak boleh tinggal di sana bersama kami secara berterusan, boleh tinggal sebulan-dua dan balik ke Malaysia sebulan, kemudian datang balik dan begitulah… Saya cuba cari kediaman yang paling hampir dengan masjid Nabi supaya mak boleh berjalan kaki ke sana”

Kisah Madinah ini benar-benar menceriakan Mak. Hampir setiap hari kami membicarakan topik ini. Ia ubat kesegaran yang paling berkesan.

Menyukakan hati

Tuesday, April 26th, 2011

Saya menerima rawatan dengan seorang doktor.

Ketika memeriksa saya, beliau mendapat panggilan yang kelihatan perlu disegerakan untuk menjawabnya. Ia panggilan yang salah. Saya terdengar beliau berkata:

“Tuhan tidak menjadikan panggilan ini tanpa sebab. Saya gembira dapat bercakap dengan tuan. Saya doakan tuan selamat”.

“Bagus PR Doktor,” komen spontan.

Beliau tersenyum dan memberi jawapan, “jika kita dapat menyukakan hati orang, seorang sehari pun sudah memadai untuk melatih diri kita sendiri menjadi manusia yang lebih baik.

Sekali-sekala, cuba lakukan ini, bila sampai di tol yang tidak mahal harganya, misalnya RM1, bayarkan kepada kereta yang di belakang kita. Lihat betapa seronoknya mereka.

Saya suka lakukan begitu di hadapan anak-anak bagi menunjukkan bagaimana mudahnya untuk menggembirakan hati orang lain. Ia suka-suka sahaja”.

Dengan sedikit senyuman, kita boleh menyukakan hati orang. Tidaklah terlalu sukar.

Petang semalam saya berada di PWTC. Singgah sekejap untuk melihat lokasi dan suasana bilik Johor, tempat pelancaran buku 50 tips Motivasi Haji dan Travelog Impian Abadi. Lalu saya ternampak kedai Pink Ain Maisara.

“Ain di mana booth PTS?”

“Biar Ain bawakan prof ke sana”

Tindakan kecil yang memberi kesan besar kepada penerimanya. Terima kasih Ain!

Saya pernah menulis, bila kita membuka pintu, lihatlah ke belakang, mungkin ada orang yang memerlukan bantuan. Berilah laluan kepada mereka terlebih dahulu”.

Mungkin ada mereka yang membawa anak-anak kecil, ibu yang mengandung atau orang tua yang memerlukan bantuan. Alahai… tidak kira sesiapa pun di belakang kita, bukalah pintu untuk menyukakan hati mereka. Ia melatih diri sendiri.

Kadangkala kita tidak menyukai apa yang dilakukan oleh orang lain. Lalu kita memberitahu, “saya tidak suka kamu melakukan perkara ini”. Ia tidak dinyatakan kenapa, apa sebabnya dan di mana buktinya. Ia boleh menyebabkan orang berkerut dahi bertanya-tanya kenapa. Ia tidak melahirkan senyuman di bibir.

Menerima teguran itu pahit tetapi teguran yang disampaikan dengan cara yang betul sangat manis. Ia boleh menyukakan hati penerima.

Misalnya, malam semalam tiga JK Masjid berkunjung ke rumah Mak. Sukarnya mereka ingin menyatakan tujuan kedatangan. Cakapnya sangat berlapik. Akhirnya, dengan patah-patah penuh sopan mereka menyatakan ada perbezaan penyata kewangan Masjid yang tidak dapat diselaraskan.

“Berapa?,” tanya saya.

“RM986.oo”

“OK, kita jelaskan,” saya membuat keputusan tanpa mahu membuat semakan. Saya gembira dan teruja dengan tutur kata yang disampaikan oleh mereka.

Mudah-mudahan Allah merahmati kita semua, di dunia dan akhirat.