Archive for June, 2011

Pos Laju

Thursday, June 30th, 2011

Alhamdulillah, saya sudah banyak menerima mesej yang pesanan buku-buku telah mula diterima. Pembayaran juga mula diterima. 

Sebagaimana perjanjian “jual-beli”, bayaran hanya dibuat setelah buku-buku diterima, maka tidak usahlah bersusah-hati menghantar e-mel atau SMS untuk menyatakan “bayaran telah dibuat”.

Saya tidak akan membuat semakan samada pembeli telah membayar atau tidak.

Tinggal 16 bungkusan yang belum dihantar. Ia kumpulan terakhir yang membuat pesanan. InsyaAllah, hari ini atau selewat-lewatnya besok saya atau pembantu akan menguruskan penghantaran tersebut.

Selamat membaca!

Ada juga yang bertanya, “satu buku bayaran pos laju RM5.00/buku, jika banyak buku kenapa harganya tetap?”. Wah… ada juga yang begitu. Biarlah saya jelaskan maksud “kos penghantaran”.

Pertama, saya bukanlah penjual buku. Khalayak pembeli boleh mendapatkan buku-buku ini di MPH atau Popular. Harganya lebih murah dan tidak perlu membayar “kos penghantaran”.

Namun biarlah saya jelaskan secara terperinci nilai RM5/buku. Kos pos laju minimum ialah RM5.80. Saya tidak melakukan sendiri urusan pembungkusan, menulis di borang pos laju, mengangkat dari boot kereta ke wakil pos dan lain-lain lagi.

Tugas saya hanyalah menandatangani buku-buku tersebut.  

Kesemua urusan lain dibayar dengan kadar yang lumayan [per buku] daripada bayaran RM5.00 tersebut. Ia hanya OK apabila order melebihi senaskah. Jika tidak, kira saya belanjalah tu…

Malah ada yang menerima bungkusan yang menggunalkan sampul surat bernilai RM1.00/sekeping. Maka jadilah nilai RM5 itu sesuatu yang tidak bermakna buat saya yang bukannya penjual buku.

Tentu sekali penjelasan ini bersebab!

Pandangan sisi

Wednesday, June 29th, 2011

Saya diberi masa 40 minit untuk memperkatakan tentang Israk-Mikraj. Dan Masjid Kg Jawa merupakan qariah saya. Ia undangan yang sekian lama saya nanti-nantikan.

Lalu topik Israk-Mikraj: Pandangan Sisi, saya fokuskan anugerah Allah kepada Nabi Muhammad (selawat dan salam kepada baginda, keluarga dan para sahabat) dan umatnya iaitu, solat 50 waktu. Perintah ini yang dirayu supaya diturunkan sehinggalah diperkenan Allah menjadi lima waktu.

Pandangan sisi, apakah ikhtibar daripada peristiwa ini? Ia bukan soal kepentingan solat semata-mata. Bagi saya, ia melangkaui soal tauhid dan isyarat bagaimana Allah menunjukkan sifat Maha Pengasih lagi Maha penyayang.

Bayangkan begini, Allah perintahkan kita melakukan amal ibadat khusus, kemudian kita membuat permohonan supaya ia dikurangkan, permintaan yang berulang-ulang sebanyak 9 kali. Ya Allah, Dia perkenankan permohonan tersebut. Begitulah Allah yang sangat “sayang dan kasih” kepada hambaNya.

Jadi apalah yang ada jika kita melakukan permohonan supaya lulus peperiksaan, dipermudahkan perjalanan, hijrah dan sebagainya. Atau mohon kepadanya supaya istiqamah dalam melakukan amal ibadat, menjadi manusia yang tidak bakhil atau memaafkan orang lain.

Perlukah kita kepada “bomoh alih hujan” apabila tiba musim kenduri kendara? Dan dengan bangganya menyebut, “nasib baik ada Pak Mat yang pandai alihkan hujan”.

Entah, Israk-Mikraj mengajar saya supaya memohon kepadaNya daripada sekecil-kecil perkara kepada sebesar-besar isu. Bangunlah solat malam pada 1/3 hujung malam yang tersisa dan bermunajatlah kepadaNya.

Hanya Dia yang kita sembah dan minta pertolongan!

Ketika dijamu makan, pengerusi masjid berkata, “saya mewakili penduduk Kg Jawa memohon supaya prof dapat menyampaikan kuliah di sini bagi sisa-sisa masa yang tinggal…..”

Tentu sekali saya tidak menolak kerana hampir dua tahun saya menunggu peluang ini, menyampaikan ilmu di kariah sendiri. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mendengar!

Israk Mikraj

Tuesday, June 28th, 2011

InsyaAllah, malam ini saya akan menyampaikan ceramah ringkas (kuliah maghrib) Israk-Mikraj di Masjid Jamek Kg Jawa, Segamat.

Tajuk, Israk-Miraj: satu pandangan sisi.

Kenaikan Pangkat

Semalam saya tidak sempat menulis. Ada 83 pesanan, hampir 250 naskah buku yang perlu ditandatangan.

Kemudian, awal-awal pagi (5 pagi) saya sudah bertolak ke UiTM Shah Alam bagi mempengerusikan proses kenaikan pangkat profesor dan profesor madya peringkat gugusan perniagaan.

Semalam, ramainya yang memohon untuk ke jawatan profesor madya. Nampak benar mereka berkejar mengejar masa. Kenapa? Bulan depan kriteria baru akan mula dilaksanakan.

Barangkali ia lebih sukar. Entah, saya sendiri tidak dapat menelah kerana ia mempunyai kelebihan dan kekurangan. Pasti ia tidak boleh memuaskan hati semua pihak.

Pangkat adalah rezeki.

Jika rezeki itu milik kita, bagaimana sukar sekali pun ia akan berakhir dengan kejayaan. Jangan pula “mengutuk-ngutuk” orang yang dinaikkan pangkat apabila kita sendiri tidak berjaya.

Ia merupakan satu ujian yang sangat besar!

Tetamu

Monday, June 27th, 2011
Di antara 6 keluarga yang hadir

Di antara 6 keluarga yang hadir

Terima kasih kerana sudi melawat kami

Temubual Majalah i

Barangkali interview perpisahan

Ayah Wa

Sunday, June 26th, 2011

Hari ini saya mengingati Ayah Wa. Beliau adalah bapa saudara yang paling tua di sebelah ayah. Ayah Wa seorang guru dan sebelum bersara beliau merupakan guru besar di salah sebuah sekolah di Besut. Selain itu, beliau merupakan salah seorang seorang Imam di Masjid Alor Lintang, tempat kediaman saya dan keluarga.

Rumah beliau sering dikunjungi terutamanya apabila ditimpa penyakit yang sukar dirawat dengan kaedah perubatan moden misalnya, anak menangis malam dan terlekat tulang ikan. Malah banyak lagi “penyakit-penyakit” yang boleh dirawatnya.

Namun ada sesuatu yang luar biasa buat Ayah Wa. Beliau menolak segala bentuk pemberian apabila dikaitkan dengan perubatan yang beliau lakukan. Tiada pengeras, tiada yuran dan tiada apa-apa walaupun ditukar apa label niat pemberi setelah selesai urusan perubatan yang kelihatan cepat dan mudah.

Beliau pernah berkata kepada saya, “Ayah Wa mohon daripada Allah untuk membantu sesama manusia”. Pernah, pada satu ketika yang lain saya bertanya, “apa yang ayah wa lakukan apabila orang datang berubat?”

Jawapan beliau mudah, “ayat-ayat al-Quran adalah penawar kepada banyak perkara tetapi kita sentiasa perlu memohon kepadaNya. Biasanya, Ayah Wa solat mohon Allah sembuhkan penyakit mereka dan jika tidak mampu, ayah Wa mohon kepada Allah supaya mereka ditemukan dengan orang yang pandai berubat”

Namun ada kenyataan yang terkesan di hati. Kini, ia mengingatkan saya kepada beliau, “Mil, masing-masing mempunyai peranan dalam dakwah. Jangan kita anggap dakwah kita yang terbaik. Biarlah masing-masing dengan cara mereka, mudah-mudahan Allah membantu kita”.

Ia kenyataan berpuluh tahun lampau ketika saya di peringkat persekolahan menengah ketika saya tidaklah berminat dengan urusan agama. Namun ia kekal begitu tersusun di celah-celah ribuan maklumat yang pernah melintasi kotak minda saya walaupun beliau sudah lama meninggalkan kami.

Mudah-mudahan Allah perluaskan kubur beliau, bercahaya dengan nur kasih-sayang Allah dan dapat pula bertemu di syurga Firdaus.

Surat JPA

Allah Maha Berkuasa.

Semalam, saya dan Roza menerima surat penerimaan permohonan bersara pilihan yang telah disampaikan kepada JPA melalui UiTM. Menurut surat tersebut, mulai 1hb September maka kami berstatus “pesara” dan ia adalah keputusan muktamad.

Saya bersara dengan kerajaan ketika usia 47 tahun. Roza pula 44 tahun. Secara spesifik, saya telah berkhidmat selama 23 tahun dengan UiTM berbanding dengan Roza yang baru berkhidmat 11 tahun.

Namun saya fikir – kedua-dua kami – mempunyai ingatan mendalam sepanjang perkhidmatan tersebut untuk menjadi kenangan yang tidak dapat kami lupakan.

SK Belimbing Dalam

Mudah-mudahan jadi Dr Fatin Najwa

“Apakah impian anda?”

Lalu saya bertanya, “siapa yang mahu tampil ke hadapan dan menjawab soalan di skrin?”

Seorang pelajar perempuan – darjah enam – bangun dan tampil ke hadapan. “Saya mahu dapat 5A dan saya mahu jadi doktor. Saya mahu berjaya dunia dan akhirat”.

Lalu saya hadiahkan buku “Travelog Cinta Abadi” sambil bertanya, “siapa penulis buku ini?” dan beliau menjawab, “Roza Roslan”.

“Ini hadiah kedua, saya bawa penulis buku ini kepada Fatin Najwa, nanti minta tandatangan puan Roza Roslan”.

Dan saya katakan kepada khalayak, “lihat dengan sedikit keberanian, Fatin Najwa tampil ke hadapan. Beliau insan terpilih untuk mendapat hadiah daripada saya, dapat pula berjumpa dengan penulis buku yang saya hadiahkan ini…..”

Ia satu contoh yang mudah mereka fahami.