Archive for July, 2011

Ramadhan

Sunday, July 31st, 2011

Ramadhan tiba lagi. Saya doakan agar semua pembaca KRTS dapat beramal ibadat sepenuhnya. Berpuasa dengan cara para nabi dan kekasih Allah melaksanakannya.

Ibarat kata Imam Ghazali, puasa khusus al khusus, puasa yang dilakukan semata-mata kerana Allah.

Saya memulakan ibadah puasa dengan mahu berterawih di Masjid Negeri Shah Alam. Ia ruang solat yang banyak menimbulkan kenangan luar biasa. Bersahor, beriktiqaf dan berqiamullail sebelum mahu berangkat ke Tanah Suci pada 2005/2006.

Malam ini, hampir keseluruhan dewan solat dipenuhi dengan jemaah. Ruang wanita penuh sesak. Pakaian putih memenuhi ruang belakang masjid. Bacaan Imam Sheikh Mahmood dari Mesir (nota: jika tidak tersilap) bergema. Ia benar-benar memberi rasa kusyuk.

Saya teruja melihat Sofea dan Amirul tidak bermasalah. Mamanya berkata, “Sofea kena berlatih. Nanti di Madinah, banyak masa kita di masjid”.

Saya sendiri tidak sabar menanti saat-saat tersebut.

Dan pagi tadi, saya menamatkan siri ceramah di Masjid Sallahuddin Al-Ayubi, Taman Melati di sekitar Hulu Kelang. Alhamdulillah, penuh dewan kuliah dengan para ibu dan anak-anak daripada sekolah berhampiran.

Semoga berjaya dunia dan akhirat

Anak dan ibu memenuhi ruang kuliah

Pastinya saya akan terkenang suasana berceramah yang telah saya lalui selama hampir 4 tahun. Saya toleh ke belakang dan melihat kisah lampau yang tidak pernah terduga. Ia kisah kehidupan yang tak terjangkau dek fikiran manusia yang serba kekurangan.

Ya Allah aku mohon keampunan Mu. Jika ada salah silap ku, ampunilah daku. Semoga Ramadhan ini yang terbaik berbanding dengan yang terdahulu.

Yang Mulia

Saturday, July 30th, 2011

Terima kasih

Mereka bersusah payah “melayarkan” saya ke Brunei. Tempat tinggal kami di “premier” hotel Rizqun, hotel lima bintang bertaraf antarabangsa. Sanggup pula mereka mengambil 5 hari cuti tahunan semata-mata untuk menjadi pegawai pengiring.

Setiap kali solat subuh, merekalah yang akan menjemput kami ke masjid. Dapatlah kami merasa solat di Masjid Jame’ Asri’ Hassanal Bolkiah. Juga, merasai kenyamanan Masjid Sultan Omar Shaifuddin di tengah-tengah bandar Seri Begawan.

Misi mereka mudah, “Mahu bawa Prof Kamil ke Brunei supaya orang Brunei dapat dengar Prof bercakap”.

Saya berceramah sebanyak lima kali. Kecuali di Kuala Belait, tuan rumah terpinga-pinga bagaimana saya boleh hadir di tempat mereka. Mereka tidak tahu siapa yang membiayai kehadiran saya.

Malah TV Brunei membuat liputan pada salah satu ceramah dan disiarkan melalui Berita Nasional. Gembira saya melihat jurukamera TV Brunei yang sepatutnya hanya datang mengambil beberapa shot dan pulang.

Beliau kekal bersama kameranya dan terpaksa pula menukar bateri dan menunggu sehingga ceramah selesai. 

Di sini, bahasa Melayunya sangat indah. Mereka memanggil saya, “Yang Mulia Profesor Dr Muhd Kamil Ibrahim”. Di sana-sini terpampang kata-kata “Daulat Ke bawah Duli Tuan Patik” sempena dengan keputeraan Sultan Brunei.

Namun yang paling mulia – di antaranya – pasangan yang hanya mahu berdiam diri di atas kerja-kerja amalnya. Semoga Allah memuliakan mereka di dunia dan akhirat.

Surprise – surprise – surprise

Pulut Kuning berserta manisan buat 22 tahun perkahwinan

29 atau 30hb, di antaranya tidak mengapa kerana itulah hari akad-nikah kami. Majlis akad nikah bermula pada 29hb dan berakhir pada 30hb gara-gara jurunikah yang uzur. Semoga Allah melapangkan kubur Tok Kamal dan mudah-mudahan juga kami akan berjumpanya di syurga Firdaus.

Semalam, sebelum berlepas pulang kami diraikan oleh pasangan bahagia Haji Yahya dan Hajah Kamarjhan. Turut serta Hajah Zainab yang merupakan pembaca setia KRTS. Suami beliau juga ikut sama.

“Prof, mari kita makan sedikit manisan terlebih dahulu,” pelawa Hajah Kamarjhan. Hati saya sudah berdetik “sesuatu yang istimewa” apabila terpandang objek seumpama kek terhidang di atas meja.

MasyaAllah, ia pulut kuning yang dibentuk seperti kek, dihias dengan kurma terbaik dan ditutupi dengan manisan kelapa. Tertera di atasnya ucapan “selamat menyambut ulangtahun perkahwinan”.

Adoh…. saya sangat sebak sebenarnya di atas layanan setulus ini. Spontan, saya memohon kepada Allah SWT supaya kedua-dua pasangan ini diberkati dan rahmati Allah dan akhirnya nanti akan bertemu semula di syurga Firdaus. Ameen.

Pastinya perjalanan Lumut ke lapangan terbang dipenuhi dengan rasa sebak yang amat sangat. Namun saya tidak mahu melayani perasaan sendiri. Ia sangat terkesan dan pastinya akan melekat di hati.

Selamat tinggal Brunei Darul Salam, ia memang bumi aman di hati dan perasaan!

Suatu masa nanti - insyaAllah - kita pasti bertemu kembali

NotaMKI: Berlayar digunakan untuk menaiki kapalterbang!

Jemputan

Saturday, July 30th, 2011

Syarahan Terakhir di Universiti Teknologi MARA

Sekretariat Percambahan Ilmu & Keintelektualan, UiTM Cawangan Johor dengan hormatnya mempelawa tuan/puan untuk menyertai Program Syarahan Intelektual Siri 11 dengan tajuk “MENGHADAPI UJIAN“.

Syarahan ini akan disampaikan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Muhd Kamil bin Ibrahim, Tokoh Motivasi Agama/Penulis Bestseller Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman.

Program tersebut akan diadakan seperti butiran berikut:

Tarikh : 6 Ogos 2011 (Sabtu)
Masa : 9.00 pagi – 11.30 pagi
Tempat : Dewan Kuliah I & II, Blok Karyawan, UiTM Cawangan Johor

Sekiranya tuan/puan berminat untuk menghadiri majlis ilmu ini, sila hubungi pihak sekretariat di talian 07-935 2479/2293. Pihak kami juga sangat berbesar hati sekiranya jemputan ini dapat disebarkan kepada keluarga dan sahabat handai tuan/puan.

Semoga penganjuran majlis ilmu ini mendapat keberkatan dari-Nya. Kehadiran tuan/puan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Azura bt Abdul Jamil @ Kamarudzzaman
Pensyarah Kanan
Koordinator Korporat
UiTM Johor

22 tahun

Friday, July 29th, 2011

Itulah usia perkahwinan kami, saya dan Roza.

Dan berapa tahun lagi kami bersama, biarlah Allah yang menentukannya. Namun saya sering berdoa, temukanlah kami di syurgaMu, syurga yang paling istimewa, ya Allah.

Saya bersyukur kerana ditemukan dengan Roza. Ia anugerah Allah yang tidak mahu saya dustakan.

Sebabnya begitu

Thursday, July 28th, 2011

Ia hanya kamar tidur. Kami diberi peluang untuk tidur di sini. Moga ia tidak melalaikan kami. Terima kasih - Kamarjhan - kerana bersusah-payah!

Setiap kejadian ada sebabnya. Jika dipermudahkan, ia adalah nikmat Allah yang tidak pernah bernokhtah.

Barangkali – seingat saya – setahun lebih yang lalu saya pernah membuat catatan. Kisah penyewa rumah di Kondo Kemuncak. Ahmad dan Isteri merupakan pelajar pasca-siswazah di UiTM berasal dari Arab Saudi. Mereka menyewa rumah kami.

Setelah hampir setahun menyewa, mereka memberi notis mahu mengosongkan rumah tersebut.

“Ahmad, sudah tamat pengajian?,” saya bertanya sambil mata memerhati kotak-kotak yang sudah tersusun kemas di tepi dinding.

“Belum tetapi kami bercuti 6 bulan. Isteri saya mahu bersalin di Saudi”

“Habis barang-barang ini?”

“Kami tumpang di rumah kawan. Kami tidak mampu untuk membayar sewa untuk enam bulan semasa kami balik ke Saudi”.

Saya mengerti kesukaran yang bakal dialami mereka. Saya juga pernah belajar di luar negara.

“Begini….. kamu teruskan menyewa rumah saya. Sewa untuk enam bulan RM0. Satu syarat, kunci saya pegang dan izinkan saya untuk tidur di sini bila saya berada di Shah Alam”.

Muka mereka merah padam barangkali tidak menyangka yang saya akan memberi tawaran yang sangat luar biasa. Dan ia telah menyelesaikan masalah besar buat mereka.

Kini mereka sudah berpindah rumah apabila Sara memulakan pengajian di Shah Alam. Isteri Ahmad pula dijangka melanjutkan pengajian di peringkat PhD.

Hujung minggu yang lepas saya berselisih dengan Ahmad di Kondo Kemuncak.

“Ahmad, saya akan meninggalkan Malaysia. Saya akan ke Madinah,” ringan mulut saya bercerita.

“Berapa lama Prof?”

“Lama, saya tidak mahu balik. Saya bekerja di Universiti Taibah”.

Matanya bulat memandang saya dan terus berkata, “Prof, ayah saya bekerja di sana, Universiti Taibah. Ambil nombor telefon beliau. Saya akan bagi tahu yang prof akan ke sana”.

Beliau kelihatan sangat teruja. Kemudian beliau terus berkata dengan penuh perasaan, “Prof, sebenarnya, kaum keluarga saya ramai di sana. Saya akan calling-calling mereka seorang-seorang dan akan meminta mereka membantu prof. Saya akan pastikan prof OK di sana. Kalau prof hendak bantuan carilah mereka”.

Apa lagi yang hendak saya katakan. Kita berbudi bukan mengharapkan balasan. Namun bila sampai masanya, kita mengerti kenapa Allah temukan saya dengan Ahmad dan keluarga.

Ia bersebab.