
Kakak pertama dengan tiga anak lelaki. Di sinilah rumah kami menginap. Kak Yahlah yang memasak nasi dagang di bawah.
Roza sedang menulis buku Travelog Masakan: Ia bukan Sekadar Resepi. Sedikit pelaburan, beliau membeli kamera baru berharga hampir RM3000. Kamera lama semuanya lemas akibat banjir besar di Segamat.
Gambar-gambar masakan terdahulu juga habis musnah. Kini, Roza dan tim sedang mengambil semula beberapa gambar penting untuk digunakan di dalam buku tersebut.
Saya fikir konsep buku yang cuba diketengahkan mempunyai kekuatan tersendiri. Ia bukan soal resepi tetapi beberapa kisah kehidupan di sebalik resepi tersebut.
Khalayak sepatutnya membaca sebuah cerita ringkas yang sangat signifikan. Sambil-sambil itu mereka boleh mencuba pelbagai resepi yang mempunyai kaitan menarik dengan kehidupan mereka sendiri, InsyaAllah.
Saya pula mencuba dengan gambar-gambar raya pertama dengan kamera yang kelihatan canggih. Dan inilah hasilnya.
Nasi Dagang
Inilah menu utama pada hari raya pertama bagi keluarga kami di Besut. Nasi dagang tetap nasi dagang. Resepinya hampir sama. Namun bagaimana Wan (ibu saya) memperolehi resepi asal daripada penjual nasi dagang tersohor di daerah Besut merupakan kisah kehidupan.
Ia kisah sayu kesungguhan seorang ibu yang mahu membesarkan anak-anaknya yang kuat makan nasi dagang. Di tangan Roza, ia menjadi kisah yang boleh dijadikan panduan.
Inilah nasi dagang yang dihidangkan – semalam – oleh anak sulung Wan yang mewarisi secebis kisah resepi nasi dagang tersebut.
Hadiah
Roza tidak menyedari yang hari ini merupakan hari terakhir sebagai penjawat awam. Mulai esok kami bergelar pesara. Pesara muda. Dan selama 8 hari kami akan bergelar penganggur kerana tidak bekerja dan tidak berpencen.
Pencen bersara hanya akan diterima ketika usia 50 tahun.
Namun alhamdulillah, kami menerima hadiah bersara yang dipanggil “golden hand-shake” belum pun kami menamatkan khidmat kami di UiTM. Saya hanya sempat mengumpul 74 hari tidak memenuhi 150 hari cuti terkumpul yang dibenarkan oleh pihak kerajaan.
Namun itulah rezeki kami yang telah dianugerah Allah.




