Archive for October, 2011

Arun Mohamed

Monday, October 31st, 2011

update

Beliau baru sahaja berjaya mempertahankan tesis beliau. Tahniah Dr Arun Mohamed.

Entry Terdahulu

9.30 pagi nanti Arun Mohamed, seorang lagi pelajar PhD saya akan berhadapan dengan dua pemeriksa luar bagi mempertahan tesis beliau. Inilah pelajar saya yang paling manja.

Di peringkat sarjana muda, beliau pelajar senior saya. Umur kami hampir sebaya, kalau tidak pun beliau tua setahun. “Prof baliklah, saya bayar tambang prof,” beliau memujuk saya.

Ia bukan soal tambang tetapi saya benar-benar tidak dapat meninggalkan Madinah. Lebih tepat lagi, universiti Taibah.

Kehadiran saya – barangkali – menaikkan semangat dalaman beliau. Namun saya nyatakan, “InsyaAllah, saya ada atau tiada, you akan berjaya”. Nun jauh di sudut hati, saya tahu beliau mempunyai kualiti tertentu yang membezakan beliau dengan yang lain.

Dan saya sentiasa berdoa di sini untuk anak-anak murid supaya berjaya dengan cemerlang. InsyaAllah, beliau akan bergelar Prof Madya Dr Arun Mohamed.

Lesen kereta Arab Saudi

Saya sudah memandu hampir 23 tahun.

Lalu jika di suruh mengambil lesen sekali lagi bersekali dengan ujian komputer tanda-tanda jalanraya, saya jangka akan gagal. Pertama, masalah bahasa. Kedua, di sini ada tanda unta!

Menurut cerita, ada orang Malaysia yang hanya perlu menukar lesen Malaysia tanpa perlu melalui ujian baru. Saya mencari yang ini. Namun ia tidak semudah A, B dan C.

Hari pertama mengisi borang. Salah satu borang yang perlu di isi ialah Medical Check-Up. Lalu berkejar ke King Fahd hospital. Ia selesai dalam masa yang singkat.

Mereka mempercayai apa yang saya sebut. Darah? O+.

Lalu terus ke litar. Saya rasa segalanya OK. Dua kali side-parking masuk dalam garisan yang tepat.

Saya tersengih bila keluar kereta tanda berpuas hati.

Bila keluar keputusan, “perlu 3 jam latihan”. Saya akur dan membayar RM100 kepada sekolah memandu.

3 hari kemudian saya hadir semula untuk menjalani latihan. Saya memandu satu pusingan di litar dan diminta untuk mengambil peperiksaan komputer.

Saya balik tanpa mengikut arahan kerana tahu akan gagal kerana tidak bersedia kerana sebelumnya saya dimaklumkan tidak perlu mengambil ujian tersebut.

Semalam, saya hadir lagi. Terus ke litar dan mengambil ujian memandu. Ia seperti hari-hari sebelumnya. Sangat OK pada perasaan saya. Alahai… sekali lagi diminta untuk mengambil ujian komputer. Aduhai mati saya!

Wakil saya (orang Arab Saudi) memujuk, “Dr ambil, lulus atau gagal, kira lulus,” saya tidak mempercayainya setelah melalui 3 hari yang sangsara.

Apa yang saya boleh lakukan? Hanya berdoa.

Sayalah orang terakhir yang memasuki bilik tersebut. Mereka sudah mahu tutup kedai. “Al-Ustaz, bahasa apa yang mahu digunakan?,” mereka bertanya dalam bahasa Arab. Saya agak sahaja!

English.

Ha… ha.. ha… mereka ketawa. Ditekannya software dalam bahasa Arab. Kecut perut saya. Saya mengadap komputer dan menjawab kesemua soalan yang ditanya.

100% betul. Bagaimana saya menjawabnya, biar saya dan Allah sahaja yang tahu! Cukuplah kalau saya katakan, bantuan Dia tidak terjangkau dek akal manusia.

Kini, di dalam dompet saya sudah mempunyai lesen memandu Arab Saudi yang sah laku untuk selama 5 tahun. Ia harta yang sangat bernilai.

Sabar, sabar, sabar, sabar….. berakhir lagi satu episod dalam hijrah saya.

Ilmunya di situ

Sunday, October 30th, 2011

Saya bertungkus lumus mahu menyudahkan buku Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian. Satu tabiat terbina sejak menulis buku Travelog Haji ialah membaca terjemahan al-Quran berselang-seli dengan menulis bab-bab buku.

Sekarang, setiap waktu terluang saya menulis. Selepas Asar, kami bertolak ke Haram. Saya akan membaca terjemahan sehinggalah waktu solat Isya. Subahnallah, hampir setiap hari Allah tunjukkan sesuatu yang menarik.

Hari ini misalnya, sebelum bertolak ke Haram saya menulis,

Jika ujian itu hanya ketika berduka, maka sebahagian besar kehidupan manusia dipenuhi dengan rasa gembira. Dalam keadaan biasa, rasa duka tidak datang bertimpa-timpa. Realitinya begitu. Allah juga sentiasa menguji manusia dengan memberikan pelbagai nikmat yang tidak terhingga. Itulah yang tidak disedari oleh ramai orang.

Kemudian, di Haram saya menyambung bacaan terjemahan. Ketika membaca surah At-Taubah saya berjumpa dengan ayat 126 yang bermaksud,

Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertaubat dan tidak pula mereka mahu beringat (dan insaf)?

Ia memberi dalil kepada apa yang sedang saya tulis.

Saya sangat yakin dengan isi kandungan al-Quran yang membantu dalam kehidupan individu jika dibaca secara konsisten dan bersungguh. Baca al-Quran, fahami maksudnya dan renunglah. Mohon pada Allah agar ia menjadi ilmu yang difahami.

Kemudian, rujuklah kepada kitab-kitab tafsir yang telah dipermudahkan bahasanya. Saya menggemari tafsir ringkas Ibnu Katsir.

Allahu Akbar, saya mohon keampunan!

5000 sahaja

Sehingga hari ini saya masih menerima permohonan untuk menjadi Friends FB. Permohonan tertunggak melebihi 150 orang.

Saya mohon maaf kerana FB hanya  membenarkan maksimum 5000 orang sahaja sebagai teman FB.

Ketika FB ini dibina, saya tidak menyangka yang ia sampai begini. Jadi bukan saya tidak mahu menerima teman baru. Terima kasih di atas sokongan.

Resepi untuk anak-anak

Saturday, October 29th, 2011

Ia hari yang santai.

Orang Segamat berbangga dengan soto Kg Jawa.

Jika tetamu berkunjung ke rumah, maka inilah salah satu destinasi pelancungan yang kami bawa. Bila sampai di kedai, saya akan nyatakan,

“Saya bawa ke sini kerana orang menyatakan yang ia soto terbaik di Asia. Silalah… jika tanya saya…. soto adalah soto. Tidak pernah sedap”.

Ha… ha.. ha… itu pandangan orang Besut yang makan nasi dagang!

Semalam Roza menyediakan soto kepada anak-anak. Bila ditanya Amirul dan Sofea, “mana lebih sedap antara soto Kg Jawa dengan soto Mama?”

Serentak mereka memberi jawapan, “sama sedap!”.

Jika orang tua yang memberi jawapan maka “sama sedap” boleh ditafsir daripada dua sisi yang berbeza. Sofea dan Amirul masih kanak-kanak maka jawapan mereka boleh diterima seadanya.

Inilah soto yang saya makan. Saya? Soto tetap soto!

Sepinggan makan berdua bersama Chef

Di samping soto, Roza membakar cheese cake, kepakaran semulajadi beliau.

Inilah cheese cake pertama beliau di bumi Madinah. Ia diberi judul Arabic Lemon Cheese Cake. Nyata benar – InsyaAllah – jika dicampak sahaja ke ketuhar, kek ini menjadi. Wajah kek ini sangat-sangat menyelerakan.

Aduuuh…. ia jadi lagi enak apabila diminum bersama Teh Nak-Nak Madinah.

 

Haji Khusairi dan keluarga

Malam tadi kami dijamu dengan sop daging unta muda. Ia belum sampai di peringkat Jamal (unta tua). Saya tidak dapat membezakan rasa unta, lembu atau kerbau. Rasanya macam sama sahaja.

Namun satu kesimpulan ringkas yang boleh saya buat ialah… sopnya sedap. Terima kasih puan Ella!

Ibu-ibu di sini, makan dan beramal ibadat

 

Suami selepas makan

Tugas berat

Friday, October 28th, 2011

Hampir kesemua pelajar saya berjubah, berserban dan menggunakan igal.

Automatik saya membayangkan mereka tidak akan tinggal solat lima waktu, khatam al-Quran dan berupaya untuk menghafal isi kandungan.

Minggu ini saya digerakkan hati untuk bertanya, “pukul berapa kamu tidur?”.

Jawapannya berbeza. Ada yang tidur jam 1.00 pagi sehinggalah jam 4 pagi. Ada yang tidak tidur sehingga ke cerah. Kemudian tidur sejenak kerana kelas bermula jam 11.00 pagi.

Lalu saya “terpaksa” bertanya, “kamu solat subuh?”

Allah ya Allah, rupanya ia sama dengan anak-anak kita yang saya tanya di UiTM Johor. Hanya 4/12 pelajar yang solat subuh. Agaknya lebih baik sedikit daripada 8/100 yang pernah ditanya di Malaysia.

Allahu Akbar, ia fenomena sejagat.

Lalu saya bertanya lagi, “solat apa yang paling sukar?”. Jawapannya Isya dan subuh. Salah seorang pelajar menyebut, “munafiqun”.

Agaknya tugas besar menanti saya. “Ya Allah ampunilah daku ya Allah. Jalinkan hubungan yang baik antara aku dan pelajar ku ya Allah. Jadikanlah mereka pelajar yang soleh, yang taat kepada perintah mu ya Allah”.

Bagaimana mahu mengubah mereka? Gurunya perlu bangun malam dan memohon kepada Allah SWT.

Kursus Haji di Madinah

Anak muda pewaris Nabi

Saya menyampaikan tazkirah ringkas.

Mereka golongan berilmu. Hujah-hujah mereka berdasarkan nas dan ilmu. Maka tentu sekali tidak sukar untuk mereka beramal ibadat. Namun cabaran buat mereka pasti hebat.

Di Malaysia nanti, cabaran dunia boleh mengalahkan nas dan ilmu. Di Madinah, mereka semualah yang diberi tugas untuk mengambil upah haji. Pada ketika-ketika tertentu, upah mendahului ibadat.

Berhati-hatilah…. itulah pesan saya yang tidak mustahak. Ia juga tugas berat!

Tahniah

Thursday, October 27th, 2011

Tahniah Dr Radziah Mahmood dan Dr Halim Kadri.

Biasanya, saya akan bersama-sama mereka untuk meraikan kejayaan ini. Malah, jadual pagi dan petang ini dirangka bagi membolehkan saya turut serta. Ketentuan Allah tidak begitu.

Namun saya terlalu gembira dengan kejayaan mereka. Ia seolah-olah saya yang berhadapan dengan pemeriksa.

Radziah dan Halim, tahniah sekali lagi, moga menjadi Dr-Dr yang dikasihi Allah dan manusia sejagat. Itulah yang lebih penting yang mahu saya sampaikan ketika kita bersama.

Belayarlah dengan angin pedoman yang hakiki. Menuju destinasi abadi.