Saya sudah mula membiasakan diri memandu di Madinah. Bagaimanapun saya belum boleh diiktiraf sebagai penduduk Madinah. Odometer - 300 km – saya hanya sekali menggunakan hon.
Jika tidak menggunakan hon, ibarat makan tanpa sambal belacan.
Kini saya mengerti kenapa di dalam huru-hara pemanduan, keadaan di sekitar Haram jarang berlaku kemalangan. Sebenarnya, saya tidak pernah menyaksikan sebarang kemalangan.
Orang-orang Arab menggunakan hon sebagai satu permainan. Jika lampu merah bertukar hijau, terus pemandu di belakang membunyikan hon. Ia bukan soal pemandu di hadapan lambat atau cepat bergerak. Orang di hadapan tidak pula sakit hati. Ia biasa begitu.
Jika di simpang empat, mereka akan membunyikan hon kerana mereka tidak suka melihat kiri dan kanan. Atau malas memakai signal.
Bila orang melintas di kawasan Haram, kebanyakannya memberi peluang untuk jemaah melintas. Hon berbunyi tetapi kereta berhenti. Di dalam – kelihatan – kekasaran pemanduan, terselit sifat sabar yang sangat sabar.
Akhirnya, kita mulai merasai keseronokan dengan suasana ini. Tiada kesalahan yang perlu dimurkai. Ia habis di situ, tidak melekat di hati apatah lagi untuk dibawa pulang.
Kita sentiasa berhati-hati.
Minyak
Allahu Akbar, Alhamdulillah.
Saya terasa seolah-olah minyak di sini percuma. Kereta Dodge 3600 cc. Penuh tangki hanya SR40 kurang lebih RM34. Ia perasaan teruja berbanding dengan harga minyak di Malaysia.
Tambah-tambah lagi di sini tiada tol yang perlu dibayar.
Saya juga sudah biasa parking kereta di bawah masjid. Ia sentiasa kosong kerana saya fikir penduduk Madinah tidak ke Haram ketika musim haji. Harga parking SR1/jam. Dan yang lebih menyukakan bila saya sudah berjumpa jalan pulang yang tidak bertembung dengan pergerakan jemaah haji.
Dan tempat pertemuan jemaah haji dengan kami sudah bertukar ke parking dan toilet no. 11A.
Gas
Kami beli dua tong gas untuk tujuan memasak. Satu tong SR198. Amboi mak mahalnya! Saya fikir begitu. Ia harga termasuk tong, gas dan saluran gas. Saya tanya dan bayar.
Mahu bertanya lebih-lebih saya belum boleh bertutur dalam bahasa Arab.
Semalam kami mempunyai 4 tetamu. Ketika tengah memasak, kami kehabisan gas. Rice-cooker juga terbakar fius (nota: agaknya dia terlampau penat kerana memasak nasi Arab setiap hari). Allahu Akbar, nasi belum di masak dan banyak perkara yang sukar diatasi jika sesuatu berlaku di antara waktu Zohor dan Asar.
Orang yang tinggal di sini semuanya berehat!
Alhamdulillah, Roza – bab ini saya memang puji – sangat tenang orangnya. Kesemua hidangan malam tadi menggunakan microwave. Nasi menjadi lebih cantik, gebu dan nampak menarik. Agaknya – rasanya pun lebih sedap.
Kenapa? Nora bertanya, “boleh saya buat balik?”
He…. he…. he…. alhamdulillah, suka hati Roza kerana nasinya tidak berbaki. Jika tidak ia akan membazir kerana kami semua – saya, Amirul, Sofea – sudah terlalu lali dengan Nasi Arab Roza.
Semalam, saya terus ke kedai menggantikan gas. Alahai…. harganya hanya SR15.
Video Conferencing melalui FB
Ia keseronokan dapat berkata-kata dengan sanak saudara dan teman-teman. Sukanya hati melihat wajah-wajah mereka. Jika tuan-puan melihat saya on-line dan mahu berbicara seketika, persilakan.
Atau jika mahu resepi daripada Roza, juga persilakan. Cuma kami tidak boleh lama berbual.
Pakai cantik-cantik kerana ia di udara. Cantik di sisi Allah.
Semalam, saya berhubung dengan Junita Musliha (adik) di Kuantan. Sebelumnya saya bertanya khabar dan mengucap tahniah dengan Dr Khairul Anuar dan Dr Wan Adibah di New Zealand. Malah saya sempat bercakap dengan Khairul Anuar Rahim di Shah Alam.
Madinah – Kuantan – Shah Alam – New Zealand hubungan sepantas kilat.