Saya bukanlah boleh memberi nasihat kepada semua keadaan, isu atau situasi. Namun jika ada yang bersungguh-sungguh bertanya maka jawapan saya hanya berkisar kepada satu jawapan yang ringkas. “percaya kepada kekuasaan dan kebesaran Allah SWT”
Maka saya selalu mengajak mereka yang bermasalah (nota: pada pandangan mereka) supaya jangan syirik, solat berjemaah (buat kaum lelaki), bangun malam, berpuasa dan membaca al-Quran. Saya katakan kepada mereka, “inilah asas utama dalam menghadapi kehidupan di dunia”.
Manual ini terkandung di dalam al-Quran yang menyebut, “hendaklah engkau sabar dan solat. Sesungguhnya solat itu sangat sukar kecuali mereka yang kusyuk!”.
Kadangkala sangat-sangat ironi apabila bercakap hampir dua jam menceritakan tentang bagaimana Allah Maha Berkuasa, Allah Maha Pengasih, Allah Maha Penyayang, kisah bangun 1/3 malam tersisa, berdoa, konsep bergantung harap kepada Dia yang Satu tiba-tiba bila mahu beredar ada yang datang dan berbisik, “saya mempunyai masalah….. prof, bagaimana mahu saya lakukan?”
Maka 2 jam huraian yang panjang lebar itu dinyatakan dengan cara yang lebih mudah,
1. Jaga solat
2. Bangun malam
3. Baca Quran
4. Puasa sunat
5. Jaga hati, mari kita jadi manusia baik-baik
6. Paling penting jangan syirik
Kan itu yang saya terangkan tadi?
Tentu sekali beliau tidak akan berpuas hati, ia bukan magik. Manusia sukakan jalan pintas yang pantas.
Pertimbangkan perbualan ini yang lebih ringkas…….
A
“Prof, bagaimana mahu terjaga 3.00 pagi?”
“Pakai jam loceng, biar bergegar bangunan”.
“Tetapi saya tidak boleh bangun”
“Tidur…. tidak usah bangun. Memang tidak semua orang boleh bangun malam”
Tentu sekali beliau akan terkedu.
B
“Prof saya mahu menulis… bagaimana tips untuk menulis?”
“Tulislah satu muka sehari, 30 hari ada 30 muka. 4 bulan siap satu buku. Bila sudah biasa, sehari boleh menulis 5 muka”
“Saya sukar mendapat ilham”
“Membaca… kena banyak membaca”
“Itu yang sukar…”
“Jadi, cukuplah dengan bercita-cita untuk menulis… itu pun sudah bagus berbanding dengan mereka yang tiada cita-cita”.
Agaknya beliau akan bertanya soalan yang sama apabila berjumpa dengan penulis lain!
C
Saya menerima e-mel dari seorang yang sedang bekerja, berkahwin dan sedang belajar di peringkat PhD. Tulisnya begini,
Saya sudah membaca buku Dr. Ridwan Bakar dalam perjalanannya mendapatkan ijazah kedoktorannya dan saya rasa ianya sangat ideal dan saya tak terikut (walaupun ada niat kearah itu) so apa nasihat Prof.?
Apakah nasihat yang boleh saya berikan? Dr Ridzwan pelajar PhD saya. Beliau bekerja, mempunyai keluarga, sangat sibuk dan masih melakukan kerja-kerja amal ketika sedang belajar.
Beliau menulis buku untuk memberikan nasihat kepada mereka yang seumpama beliau. Satu Buku! Jika itu dikatakan ideal maka itulah yang perlu diikuti.
D
Ini kisah menarik. Seorang lulusan salah sebuah universiti terkemuka di Malaysia menulis kepada saya, “saya sebenarnya teringin untuk kerja di tanah arab.. jika tuan sudi, minta pertolongan tuan hantar resume saya ke mana-mana company..”.
Lalu inilah nasihat saya yang disampaikan secara kenyataan, “salam sejahtera, sedih saya membaca mesej tuan. Bukan begini caranya…”. Alhamdulillah, beliau berterima kasih kerana memberi teguran tersebut!
Kisah-kisah ini menggambarkan kelemahan saya. Saya tidak sabar melayani kerenah mereka yang meminta nasihat. Kadang-kala jawapan saya agak keras dan tidak seperti yang mereka harapkan.
Mereka mahu kemanjaan yang saya gagal berikan. Namun saya mohon kemaafan dan saya berharap ia akan berbekas di hati kerana niatnya mahu mereka berfikir.