Rakan KRTS mengikut lokasi
Jumlah Bulanan Khalayak KRTS
Rakan KRTS mengikut lokasi
Jumlah Bulanan Khalayak KRTS
Madinah adalah bandaraya Rasululullah (segala puji dan selawat kepada baginda, kaum keluarga dan para sahabat). Mereka yang berada di bumi ini sangat berbangga mengikut sunnah baginda.
Setiap tindakan perlu berpandukan al-Quran dan sunnah. Itulah yang diuar-uarkan.
Di sini terdapat rakan-rakan pelajar yang rapat dan suka berbincang dengan saya. Di antaranya, saya pernah berkata,
“Cuba kumpulkan berapa bilangan hadis yang telah kamu pelajari dan yang telah diamalkan. Misalnya, kita bermula dengan rukun Islam yang lima. Inilah asas untuk menulis buku. Saya fikir kita perlu belajar dari sekarang untuk melihat sesuatu isu secara kritikal”.
Namun saya melihat daripada pandangan sisi yang mudah. Misalnya rukun Islam pertama yang melibatkan soal tauhid. Apakah kita melakukan sesuatu kerana Allah? Berapa banyak perkara yang kita mendahulukan $$$ di dalam membuat keputusan?
Siapakah yang boleh memberi jawapan? Hanya diri sendiri.
Berpandukan sunnah Rasulullah, apakah yang dilakukan oleh baginda dalam konteks menunaikan solat?
Pertama solat berjemaah. Ketika beliau sakit sekalipun dikhabarkan beliau tetap mahu menunaikan solat berjemaah. Saya fikir inilah sunnah yang paling perlu diikuti oleh umat Islam yang mahu menjadi insan terpilih.
Terlintas di hati dengan satu hadis yang pernah saya baca menceritakan gambaran betapa pentingnya solat berjemaah. Hadis tersebut bermaksud,
Tidak ada sembahyang yang lebih berat kepada orang munafiqin (untuk dilakukannya secara berjemaah) lebih daripada solat isyak dan subuh. Kalaulah mereka mengetahui (ganjaran pahala) yang ada pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang sekalipun dalam keadaan merangkak.
Hadis ini diriwayat oleh Bukhari dan Muslim.
Malah dalam satu hadis yang lain, Rasulullah telah menyatakan dengan tegas tentang kepentingan berada di masjid. Hadis yang dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim ini bermaksud,
“…sesungguhnya memang aku bercadang untuk menyuruh diiqamahkan sembahyang dan aku suruh seseorang untuk mengimami para jemaah, dan aku pula keluar dengan beberapa orang lelaki yang membawa bersama mereka beberapa ikatan kayu api untuk pergi ke rumah-rumah orang yang tidak hadir kepada solat berjemaah, lalu aku bakarkan rumah-rumah mereka”
Kemudian, perhatikan bagaimana baginda solat malam.
Daripada Aishah Radhillahu anha berkata : ”Bahawasanya Rasulullah SAW selalu beribadat di waktu malam sehingga bengkak kedua belah kakinya. Maka saya pun berkata kepadanya : ”Kenapa kau beribadat sampai jadi begini ya Rasulallah?, sedangkan Allah SWT telah mengampuni dosa-dosa mu yang terdahulu dan dosa-dosa mu yang terkemudian (seandainya beliau berdosa, padahal sebenarnya beliau ma’sum dari berbuat dosa).
Lalu Nabi SAW menjawab : ”Bukankah lebih elok kalau aku menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur”. (Hadith Riwayat Bukhari) .
Allahu Akbar…. setiap orang yang mahu mengajar dan menyebut tentang sunnah Rasululullah SAW agaknya perlu berusaha mengamalkan terlebih dahulu apa yang mahu disampaikan.
Tentu sekali saya tidak mempunyai autoriti untuk menulis tentang hadis namun saya fikir sudah bersedia untuk menulis “50 Hadis yang telah saya baca dan cuba amalkan”.
Alhamdulillah, saya perlu berterima kasih kepada salah seorang pelajar Malaysia lulusan hadis Universiti Madinah yang sanggup bersama saya memberi nasihat, menyemak dan mengkelaskan samada hadis yang saya baca dan amalkan sebagai sahih, hasan, daif atau hadis palsu.
Saya telah memberi banyak pandangan kepada mereka yang berautoriti untuk menulis tetapi biarlah saya memberi teladannya. Mudah-mudahan pinjaman ilmu Allah ini menjadi ilmu yang bermanfaat.
Sesungguhnya Dia berkuasa memberi ilmu kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
Saya bahagia menulis di sini, Madinah bandaraya Rasululullah.
Saya fikir hampir 100 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Jordan berada di Madinah pada ketika ini. Salah seorangnya Haris.
“Mak saya pesan berjumpa dengan Prof apabila sampai di Madinah”, lebih-kurang begitulah SMSnya. Ketika itu saya masih berada di Al-Ula.
Pastinya beliau tidak mengenali saya. Agak saya begitu. Namun saya terus menjawab SMS beliau dengan menjemput ke rumah. “Tunggu saya selepas Isya pada hari Jumaat”.
Kami memang seronok menerima tetamu.
“Tidak ajak kawan?,” saya bertanya. Tentu sekali beliau tidak mahu menyusahkan saya. “Boleh bawa kawan tetapi kena maklumkan kepada saya supaya senang kami bersiap”.
Saya mematikan pertanyaan awal.
“Haris tidur rumah saya. Besok kita sama-sama solat subuh di Haram. Boleh?’.
Beliau bersetuju.
Sambil menjamah nasi Mandy saya bercerita, “nanti kalau Haris berjaya jadi Doktor, jadilah seorang doktor muslim. Bila jumpa pesakit bagi salam, kemudian bertanya, pak cik sudah solat?”
Lalu saya bercerita pengalaman ketika ditahan di wad. Hampir semua rakan sewad tidak menunaikan solat fardhu. Alahai… mereka gagal dalam menghadapi ujian badan!
“Di hospital, Dr adalah Khalifah. Kata-kata doktor boleh menjadi satu dakwah yang mudah. Misalnya jika kita berkata, ingat Allah pak cik, Dia yang menyembuhkan kita… bila kita sakit, Allah mahu uji kita. Jangan tinggal solat…”
Kalau itulah amalan kita dengan pesakit, mudah-mudahan Allah lembutkan hati mereka untuk hampir dengan Allah.
Lalu saya pujuk Haris, “cuba amalkan bangun malam. Solat dua rakaat, berdoa, bermunajat dengan Allah. InsyaAllah ia akan membentuk kita menjadi manusia yang lebih baik”.
Inilah kunci kekuatan dalaman manusia. “Haris, saya fikir begitu….”
Barangkali saya sedang menasihat anak kandung sendiri – Ahmad Haris Azrai – nun berada jauh di Pulau Pinang.
“Ya Allah jadikanlah anak-anak kami sebagai anak yang soleh dan solehah. Berikanlah kejayaan di dunia dan akhirat. Temukan kami di syurga Mu ya Allah”.
Saya melihat Roza membekalkan Roti John kepada Haris ketika kami mahu bertolak ke Haram. Juga, kasih ibu pada seorang anak yang berjauhan!
Ia jumlah yang besar untuk tempoh yang singkat.
Gambarannya mudah. Rakyat Malaysia sangat dermawan. Malah dermawan ini juga datangnya dari Brunei, Singapura dan Indonesia. Barangkali ia sifat umum umat Islam yang diasuh begitu. Namun saya lebih berfikir ia adalah golongan terpilih di sisi Allah.
Ramai yang tidak lokek dengan apa yang ada di tangan mereka. Tinggal lagi ia kini menjadi tanggungjawab saya dan Roza untuk menguruskan jumlah yang sebegitu besar.
Ujian pertama telah kami lepasi apabila akaun simpanan Roza kelihatan pelik kerana menerima jumlah wang yang banyak dalam tempoh yang singkat berbanding dengan masa-masa terdahulu telah ditahan.
Kami menjangkakan akan memulakan urusan pembelian tanah tapak masjid pada pertengahan tahun hadapan. Alhamdulillah ia akan dimulakan pada bulan Jun ataupun Julai ini dengan sokongan daripada rakan KRTS dan FB.
Sebagaimana yang saya nyatakan, projek masjid KRTS bermula dari sifar. Ia akan dibina di Somalia yang masih belum mempunyai kerajaan. Cabarannya besar.
Cabaran inilah yang menyebabkan saya dan rakan-rakan lebih bersemangat. Malah sudah ada yang secara sukarela mahu turun ke Somalia pada tahap-tahap tertentu pembinaannya nanti.
(Nota: Kesemua sumbangan adalah untuk pembinaan masjid bukan untuk belanja pengurusan, tiket kapalterbang, makan-minum atau apa-apa sahaja pembelanjaan yang bukan berkait langsung dengan fizikal masjid tersebut. InsyaAllah).
Allahu Akbar, hanya pada Dia kita berserah. Hanya pada Dia kita bertawakal. Dan hanya pada Dia kita lakukan usaha-usaha ini, semoga ia menjadi satu amal ibadat yang diterimanya.
Selain memberi sumbangan, marilah kita bangun pada 1/3 hujung malam yang tersisa, solat malam, bermunajat dan berdoa agar kita menjadi manusia yang lebih hampir kepadanya.
Dan selitkan sedikit permohonan agar masjid ini menjadi masjid yang dibina atas dasar taqwa dan mudah-mudahan dipermudahkanNya.
MasyaAllah. Allahu Akbar, kami mohon keampunan Mu ya Allah.
Jamal
“(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?”
Itulah pertanyaan Allah SWT melalui surah Surah Al-Ghashiya ayat 17. Dalam kebanyakan kes, manusia tidak perlu memasuki Universiti Islam Madinah atau Universiti Islam Antarabangsa untuk memikirkan kehebatan dan kekuasaan Allah SWT.
Ia ada pada seekor unta!
Sebelum sampai hari akhirat, kita perlu menempuh perjalanan kehidupan. Marilah kita merenung sejenak dengan pelbagai ciptaan Allah yang boleh mendekatkan jiwa dan perasaan kepadaNya.
Ia ada di sekitar kita!
Dua malam kami berada di Al-Ula, lebih 300 km ke utara Madinah. Ia bandar terhampir dengan Madain Saleh yang dikatakan tempat kaum Thamud yang dibinasakan oleh Allah SWT melalui bunyi satu pekikan.
Namun tempat sebenar di mana kumpulan ini – Al-Hijr – tetap merupakan satu rahsia yang hanya di ketahui Allah SWT. Masih ada tempat-tempat baru yang ditemui mempunyai kesan peninggalan kaum ini.
Saya membaca satu artikel yang menarik,
The prophet Muhammad (peace be upon him) through his teachings and experiences had taught Muslims to avoid being in such places simply because God’s wrath had fallen on such places.
At the same time during his visits, he also pointed out in those places the lessons that others can learn from such historical places and events.
The Prophet (saws) said, “Do not pass through the dwelling place of those who wronged themselves without crying….”. The crying out of reflection refers to thinking about denying and violating Allah’s message and the punishment that may be caused by it.
Ia bukan kawasan untuk bersuka-suka, bergelak ketawa dan melancong sebagaimana berada di tempat lain. Kami mohon keampunan Allah agar kami tidak termasuk dalam golongan sebagaimana kaum Thamud yang sombong dan angkuh.
Namun kami banyak menghabiskan masa di bandar Al-Ula itu sendiri bagi menyaksikan bagaimana proses tamadun Arab Islam berkembang.
MasyaAllah… kami melihat kebesaran Allah SWT. Mudah-mudahan ia mampu menjadikan kami manusia yang lebih hampir kepadaNya.