Bab 30: Tunggulah….

Saya mengarang buku ini dengan ilham dan bantuan Allah setelah mengalami pelbagai ujian duka yang Allah kurniakan secara berturut-turut dalam tempoh yang sangat hampir. Saya mengalami kemusnahan harta-benda, kehilangan orang tersayang dan bencana badan yang serius.

Saya fikir Allah sengaja memberi isyarat yang ajal saya semakin hampir. Ia bukan satu kepelikan. Tanda-tanda saya menerima stroke serentak dengan kematian abah dan Ayu nyata memberi kesan emosi yang mendalam. Saya mengingati kematian.

Kita akan mati. Allahu Akbar. Roza selalu menegur saya kerana menggunakan perkataan mati. Meninggal dunia, katanya lebih sopan. Mati bunyinya kasar dan menakutkan. Itulah bezanya antara orang Terengganu dengan Johor.

Bangsa Melayu yang sama tetapi tutur kata yang berbeza. Namun mati atau meninggal dunia akan membawa orang yang dipanggil Allah ke alam kubur. Ia rumah baru setelah sekian lama menjalani kehidupan yang mengasyikkan.

Jika mereka takut dan mahu melarikan diri daripada kematian, nyata mereka melakukan pekerjaan yang sia-sia. Kematian tidak akan lambat atau cepat sesaat. Ia tidak mengira sama ada Perdana Menteri atau tukang sapu sampah di jalanan. Jika kita berada di Malaysia ataupun di Madinah. Allah telah berfirman melalui surah al-Baqarah ayat 243 yang bermaksud,

Tiadakah engkau perhatikan orang-orang yang keluar dari rumahnya, beribu-ribu banyaknya, kerana takut mati, lalu Allah mengatakan kepada mereka: “Matilah” Kemudian mereka itu dihidupkan Allah kembali, sesungguhnya Allah itu Pemurah terhadap manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak berterima kasih

Secara relatif, lama atau sekejap berada di alam kubur berbeza-beza di antara individu dengan individu yang lain. Keluasan kubur juga dikatakan tertakluk kepada amal mereka di dunia. Ada yang teruja dan pasti ada yang berdukacita. Malah – secara statistik – hampir 80 peratus penduduk dunia bukan beragama agama Islam.

Pada ketika dan saat ini mereka adalah golongan kafir yang akan berdukacita. Mereka adalah golongan yang ingkar tetapi yang saya takut dan berfikir-fikir bagaimana dengan mereka yang beragama Islam tetapi menyerupai golongan yang tidak beragama Islam.

Allahu Akbar, mudahan-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi. Allah menyatakan kehidupan yang sempit – ditafsirkan sebagai azab kubur oleh para ulamak – melalui surah al-Taha ayat 124 yang bermaksud,

 Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.

Kemudian dibangkitkan di hari pembalasan. Saya impikan masuk syurga tanpa dihisab. Hampir setiap malam saya berdoa agar isteri dan anak-anak juga ikut serta bersama ayah dan wan, abah dan mak, adik-beradik, ipar-duai, guru-guru, anak-anak murid dan seluruh kaum muslimin dan muslimat.

Saya tidak mempedulikan jika orang berkata, “siapalah kita yang mahu meminta-minta dengan Allah, biarlah Allah yang menentukan segalanya. Tugas kita hanya beramal-ibadat kepadaNya”.

Saya fikir dan berpendapat, meminta kepadaNya juga merupakan amal ibadat yang sangat signifikan. Ia menjauhkan diri daripada amalan syirik atau menduakanNya. Malah jika manusia bergantung dan bertawakal kepadaNya (mengikut aturanNya), ia boleh membawa manusia ke arah syurga tanpa dihisab.

Tentu sekali – sekurang-kurangnya 17x sehari semalam – secara wajib saya berikrar dan beriktikad, “Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan”. Malah surah al-Ikhlas yang sering di bibir juga mengajar kita supaya meminta sebarang hajat kepadaNya.

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.

Benar, saya sangat-sangat berhajat untuk memasuki syurgaMu tanpa dihisab ya Allah. Sungguh ya Allah, aku sungguh-sungguh mahu bersama dengan Rasululullah, para sahabat, alim ulamak dan mereka yang berjuang mempertahankan agama Islam ya Allah. Ia impian, doa dan harapan yang datangnya jauh dari hati sanubari.

Saya percaya hari kiamat pasti datang sebagaimana surah al-Haj ayat 7 yang bermaksud,  “Dan sesungguhnya kiamat pasti datang, tiada keraguan padanya, dan sesungguhnya Allah akan membangkitkan orang yang dalam kubur”.

Saya sangat-sangat yakin betapa padang Masyar itu benar-benar wujud. Saya yakin majoriti manusia akan dihisab sebelum di bawah ke syurga atau neraka. Hanya mereka yang benar-benar istimewa akan terus ke syurga tanpa dihisab.

Allahu Akbar. Ia penentuan yang tiada mempunyai hari-hari belakang yang boleh ditoleh. Saya ketakutan memikirkan bagaimana penerimaan Allah terhadap tingkah-laku saya semasa menghadapi ujian kehidupan.

Perlukah saya beratur panjang? Luluskah saya? Cemerlangkah saya? Tangan manakah yang akan menerima keputusan yang bakal menentukan syurga atau neraka? Allahu Akbar, memikirkan soal-soal ini sahaja sudah cukup untuk membuat jiwa dan perasaan bergetar. Lalu ia diterjemah melalui doa-doa yang menggambarkan perasaan bergantung harap kepada Dia yang Maha Berkuasa.

Menulis buku ini dilakukan bersekali dengan saya membaca terjemahan kisah-kisah yang dijadikan iktibar oleh Allah SWT melalui terjemahan al-Quran.

Berulang-ulang Allah memujuk Nabi Muhammad SAW betapa tugas baginda hanyalah untuk mengkhabarkan berita kegembiraan buat mereka yang beriman dan memberi peringatan kepada mereka yang ingkar dengan perintah Allah.

Akhirnya Dialah yang akan menentukan  sesiapa yang akan diberi taufik dan hidayahNya (mengikut aturan tertentu). Malah banyak surah menceritakan secara berulang-ulang bagaimana kaum musyrik tidak atau sengaja berpura-pura tidak mempercayai hari pembalasan dan hari akhirat.

Ia menjadi lebih mendukacitakan lagi kerana mereka mengejek-ngejek dan mempermain-mainkan Baginda SAW. Malah melalui surah Yasin ayat 77 – 78, Allah telah menjawab ejekan seorang kafir yang menghancurkan tulang-tulang di hadapan baginda dan seterusnya menaburkannya ke udara sambil bertanya, “apakah Allah akan membangkit semula tulang ini?”.

Ayat tersebut bermaksud,

“Dan Apakah manusia tidak memperhatikan bahwa Kami menciptakannya dari setitik air (mani), Maka tiba-tiba ia menjadi penentang yang nyata! Dan ia membuat perumpamaan bagi kami; dan Dia lupa kepada kejadiannya; ia berkata: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang, yang telah hancur luluh?”.

Hakikatnya, suasana seperti ini masih wujud di kalangan umat Islam akhir zaman yang mengambarkan seolah-olah mereka tidak mempercayai hari pembalasan.

Inilah ujian terbesar buat mereka yang mengaku Islam Saya fikir, begitulah hakikatnya mereka yang secra sengaja tidak mahu menunaikan solat, tidak mahu menutup aurat, berlaku khianat sesama manusia, melakukan perzinaan, seks di luar tabie, tidak berlaku adil bila diberi kuasa dan melakukan pelbagai kezaliman terhadap perintah Allah.

Sebenarnya  - pada hakikatnya – mereka sedang mengejek-ngejek dan mempersendakan perintah-perintah Allah SWT. Nafsu jahat menguasai pemikiran dan tindakan.

Saya berhenti sejenak apabila membaca terjemahan Surah Taha, ayat 135 yang bermaksud,

Katakanlah (wahai Muhammad): “Tiap-tiap seorang (di antara kita) sedang menunggu; maka tunggulah kamu! Kemudian kamu akan mengetahui kelak siapakah orang-orang yang berada atas jalan yang lurus, dan juga siapa yang mendapat petunjuk”.

Tunggulah…. Kita semua sedang menunggu. Apakah keputuan ujian kehidupan yang telah kita lalui? Bagi mereka yang tidak mengetahui yang mereka sedang diuji, ia tidak membawa sebarang erti yang signifikan.

Buat mereka yang tidak mempercayai atau berpura-pura tidak mengetahui yang adanya kehidupan selepas kematian, mereka tidak akan menunggu hari tersebut. Jika ada yang menyangka mereka belum diuji, mungkin ujian tersebut berlalu tanpa mereka sedari.

Tunggulah…. Tunggulah…. Tunggulah. Hari itu pasti tiba. Dan buat saya dan Roza, ia sangat hampir. Biarlah kami lulus ujian kehidupan ini dengan bergaya di sisi Allah. Moga-moga kita dibangkitkan bersama dalam barisan yang panjang mengikut kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

(Petikan buku Menghadapi Ujian yang dalam proses penerbitan)

35 Responses to “Bab 30: Tunggulah….”

  1. hjh.sumarni & hj.darisul says:

    salam…
    insyaAllah prof…sama2 kita terus berdoa n istiqamah d atas jln Allah ini..w/pun jalan ini penuh dgn ujian n rintangan.kita tetap sabar,kita terus mengharapkn shurga firdaus Nya sebagai tempat rehat kita yg kekal abadi…amin ya Allah..

  2. pakjinin says:

    Hidup di dunia ini hanya sementara jua. Akhirat jua tempat yang kekal abadi. Sama-samalah kita menyediakan bekal untuk hidup disana nanti.

  3. Zaitun Yassin says:

    Alahamdulillah, saya berharap dapat membaca buku yang akan diterbitkan nanti…insya’Allah.

  4. Aneeqa says:

    Assalam prof, puan Raudzah dan anak anak,

    Terima kasih atas peringatan ini.

    Semuga kita semua istiqamah dalam melalukan ibadat semata mata kerana NYA.

    Semuga dirahmati Allah

    Jazakaullah

  5. Najiha says:

    Asalamualaikum wbt Prof.

    Kata sahabat saya, manusia ini ada 4 tahap ketika menerima ujian.
    Tahap 1 : dia mengeluh bila diuji dan mungkin ada ketika mempersoalkan kenapa Allah tak adil padanya. Nauzubillahi min zalik.

    Tahap 2 : Orang yang juga mengeluh bila diuji namun dia tetap percaya bahawa setiap ujian ada hikmahnya dan cuba bersabar.

    Tahap 3 : Orang yang bersabar bila diuji dan menganggap ujian itu sebagai satu proses untuk meningkatkan iman.

    Tahap 4 : Orang yang sabar dan bersyukur bila diuji kerana dia tahu ujian itu tandanya Allah masih ingat dia dan sayang padanya.

  6. Dzul says:

    AsSalam buat Prof sekeluarga dan pembaca KRTS.
    N3 yg membuat saya teruja, sangat sangat teruja.

  7. ros says:

    salam prof, indahnya peringatan..syukran..semoga kita jadi insan terpilih utk dpt peringatan demi peringatan.

  8. Muna Fairuz says:

    Salam Sejahtera Prof dan keluarga juga warga KRTS

    Terima kasih Prof dan semua warga KRTS atas peringatan yang diberi.

  9. Intan says:

    Assalammualaikum Prof dan pembaca KRTS,

    Mengalir air mata saya bila membaca entry ini. Saya mendapat jawapan yg panjang lebar dari Prof kali ini walaupun pernah bertanyakan soalan ini dari Prof tahun lepas! Jawapannya pada ketika ittu, sangat ringkas “berdoa merupakan ibadat”. Sangat ringkas buat saya yg dahagakan ilmu dan jawapan pasti atas apa yg saya lakukan untuk terus berhijrah.

    Terima kasih Prof.

  10. Hamizan says:

    orang2 yang mendapat petunjuk dari Allah sahaja yang bersedia dalam setiap saat menghadapi kematian. hatinya tak pernah lupa akan penciptanya, bukan mudah nak mendapat tahap ini, kita kena melalui rentangan dan memakan masa yang panjang. bagi orang2 yang tidak menuju ke arah itu maka MATILAH DIA DALAM KEADAAN YANG TERPINGA-PINGA NANTI. AYUH JANGAN LEWAT LAGI MARI KITA USAHAKAN SAMA2.

  11. supiahabu says:

    Assalamualaikum Prof

    “MATI” itu pasti. Bersyukurlah jika kita sentiasa mengingati mati dalam segala tindak tanduk seharian kita. Disamping itu doa kita panjatkan mengiringi amalan kita.Mudahan kita termasuk dalam golongan kesyurga tanpa hisab. Subhanallah.

    Saya setuju dengan sahabat kita Najiha,sebaik2nya kita dalam kumpulan ke 4.

  12. ummi ani says:

    Salan Prof, Bila buku ni nak keluar?

  13. Kak Nor asiah says:

    Assalamualikum Prof sekeluarga dan warga KRTS, moga kita dirahmati Allah.

    Prof , terima kasih kr N3 di atas benar2 menginsafkan.
    Barakallah hu fikun

  14. rokiah yusof says:

    Assalamualaikum Prof,

    terima kasih atas perkongsian ilmu..semoga ianya menambah keinsafan

    semua..kyususnya saya sendiri…ameen

  15. mazlina says:

    Assalamu’alaikum Prof.

    Tahniah Prof., pasti ramai yang akan dapat munafaat dengan terbitnya buku ini nanti. Bertambah item pilihan sebagai hadiah. Baca bab 30 saja sudah cukup menginsafkan. Mudah-mudahan mengujakan untuk sentiasa perbaiki diri, dan mengajak orang lain kepada kebaikan.

    Dua ayat dalam surah Yaasin yang Prof. nyatakan adalah antara amalan lazim untuk mereka yang mengalami sakit tulang, spr saya.

    Wassalam

  16. nurunnur says:

    salam ziarah,

    meremang saya baca entri ni…lagi2 tang ayat (Moga-moga kita dibangkitkan bersama dalam barisan yang panjang mengikut kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.)

    mungkin penulis benar2 ikhlas dalam menyatakan doanya…siapa tahu?wallahualam…

    apapun,salam perkenalan,jemput ke blog kami…sila2…:)

    http://9111tanyasamaituhudhud.blogspot.com/

  17. assaabiquun says:

    salam prof,

    sejaka kecik,arwah ayah sentiasa dgn kitab.mak letak kopi dan kami mengupas isi kitab.

    tapi sejak form1 bila cikgu roziah latif upm bagi hadis pasal maut,maka saya sangat2 suka peringatan tentang taubat,mati,kubur,sakratulmaut dan akhirat hinggalah kini alhamdulillah.

    semua keimanan prof bantu menaikkan semangat saya.

    dan perkataan yang saya suka guna selama ini sama juga=masuk kubur dengan bergaya!

  18. assaabiquun says:

    prof,ada lagi ayat untuk segala jenis bone diseases,terutama rhuematism dan bone inflammation.

    saya amal yasin.doa tadi pun ayat quran,kapten ajarkan.

  19. assaabiquun says:

    salam sis mazlina,

    saya ada doa juga ayatulquran,nak?

  20. (,'') Fauziah says:

    Salam Prof.

    Terima kasih atas perkongsian yang sungguh mendalam dan perjuangan yang gigih dan akhirnya – “Masuk kubur dgn bergaya”. (,”)

    Lepas tu “..masuk syurga tanpa hisab”. Rasa sangat diri ini kecil sekecilnya…sebab tahu diri ini bukanlah baik sangat.. (>”)

    Ya ALLAH, ampunilah dosa kami, kedua ibu bapa kami, guru-guru kami, kaum keluarga kami dan sekelian kaum muslimin dan muslimat

  21. (,'') Fauziah says:

    baik yang hidup ataupun telah pergi menemui MU. Aaamiiin! (,”)

  22. Munawwarah says:

    Slm prof n sis rosa , menitis air mata serial Kali me baca Yasin ayat 77-78. Betapa byk Nikmat Kurniaan illahi…sdg kita menjadi org yg tidak bersyukur….

  23. mumumimi says:

    Salam Sejahtera Prof,

    Benar sekali Prof, mereka yang atheist atau free thinker, kufur, anti-hadith, murtad, munafik dan lalai atau ingkar akan perintah Allah…tunggulah..

    Mudah-mudahan alam kubur kita adalah sempurna di mana kita tidak menjadi mangsa dalam apa-apa bencana alam yang mana jenazah kita tidak dijumpai untuk disemadikan dan tidak juga dalam laut (mereka yang perkerjaan berkaitan laut, kebarangkalian perkara ini berlaku adalah tinggi, juga yang dahulunya pergi haji dengan kapal laut jenazah perlu diturunkan ke dalam laut)

    Dengan kehendak Allah SWT jualah ada insan-insan yang alam kubur mereka dalam perut haiwan misalnya ikan jerung, buaya ,dsb.

    Bersyukurlah kita andainya kita dimasukkan dalam salah satu syurga ini:Syurga Firdaus, Syurga ‘Adn, Syurga Na’im, Syurga Ma’wa, Syurga Darussalam, Syurga Darul Muqamah, Syurga Al Maqaamul dan Syurga Khuldi

  24. kak yun says:

    Assalamualaikum,
    Alhamdulillah…..sangat2 teruja dgn mukaddimah tntg buku baru prof tu, tak sabar nak bacanya; ya benar prof setiap saat mendekatkan kita kepada kematian….saya sering menganggap masa hanya tinggal SEDIKIT lagi, masa terlalu cepat berputar… Ya Allah kurniakan kami ilmu & amal..amin

  25. emak iman says:

    Saya pernah terbaca d dlm rencana ttg org yg hidup memberi salam kpd ahli kubur/ahli mesjid .Antara yang paling saya ingat,” Wahai manusia yang masih hidup, kalau lah kau tahu apa yang aku kini tahu kering darah kau!.
    Ia memberi kesan pd saya & saya mengamalkan agar memberi salam & menyedekahkan “Al Fatihah” kepada ahli kubur yg saya lalui/nampak sepanjang perjalanan.
    Semalam saya terjumpa clip video Ustaz Kazim ttg isu yg sama & hari ini sepanjang perjalanan , bila melalui kawasan perkuburan islam rasanya tak tertahan sedih amat sgt & mengingat kan saya pada kematian .
    Terima kasih prof atas post ini.

  26. asg says:

    Assalamualaikum dan salam sejahtera Sheikh..

    Tepat sekali..hidup mmg satu ujian, kena ‘study hard’ kalau nak lulus…jika masa belajar dulu boleh repeat paper jika gagal…? Penyesalan selepas gagal tidak berguna…! Tiada ulangan hidup kali kedua.

    Terima kasih atas peringatan tuan..

  27. Yakoozi says:

    Salam Prof,

    Terima kasih atas peringatan untuk orang yang lalai seperti saya. Sangat2 menyentuh iman.

  28. sharifah says:

    Salam Prof & Pn Roza & Adik Sofea & Adik Ameerul,

    Muqaddimah yg menyentuh hati, semakin banyak ujian semakin kita hampir dgn NYA. Redho adalah ubat segala ujian, subhanaAllah prof ujian yang saya hadapi pada tahun 2011 membuatkan saya semakin dekat dgn NYA dan semakin jauh dari “dunia”. Salah satu hikmah, dari Ujian yang saya lalui ialah kasih sayang Allah swt melebihi kasih sayang semua mahluk yang ada di dunia ini. Kita kira kasih sayang ibubapa, adik beradik melebihi segala galanya, tapi kasihnya Allah pada hambanya melebihi kasihnya ibubapa, adik beradik dan semua mahluk diddunia ini, kasihnya Nabi pada umatnya melebihi segala galanya. Saya hamba yang dhaif dan kerdil, saya percaya segala ujian ada manisnya, buka mata hati kita untuk mencari manisnya ujian yang kita hadapi.

    Salam sis Mazlina & assaabiquun

    Saya ada saudara terdekat yang mengalami sakit rhuematism dan bone inflammation. Harap boleh dikongsi ayat- ayat al quran sebagai penawar. Saya dahului dgn ucapan ribuan terima kasih. :)

  29. Salam,

    T/Kasih pada atas peringatan. Tak sabar tunggu nak baca buku baru.

  30. Assalaamu’alaikum wr.wb, Prof…

    Mengingati mati adalah satu kebijaksanaan bagi manusia. Kenapa ? Kerana dengan mengingati mati, manusia akan bersedia untuk bekalan esoknya. Beramal dengan banyak dan bersedekah untuk kesenangan akhiratnya kelak.

    Tiada siapa yang boleh menentukan hari hari kematiannya kerana ia adalah rahsia Allah. kematian yang berlaku di sekitar kita menunjukkan manusia ini fana, rapuh dan tidak berdaya menahan umurnya yang telah ditentukan.

    Semoga segala ujian yang melanda akan menambah taqwa, sabar dan redha dengan apa yang Allah hadirkan dalam hidup kita.

    Saya doakan Prof dan keluarga selalu sihat dan dirahmati Allah. Aaamiin.

    Mudahan saya berkesempatan untuk memiliki dan membaca tulisan Prof yang selalu memberi inspirasi buat saya dalam menulis pengalaman hidup ini. Tulislah sejarah hidup kita kerana itulah yang dapat ditinggalkan sebagai pedoman orang lain. Tahniah untuk kejayaan penerbitan buku itu nanti.

    Salam hormat dari Sarikei, Sarawak.

  31. Assalaamu’alaikum wr.wb, Prof…

    Mengingati mati adalah satu kebijaksanaan bagi manusia. Kenapa ? Kerana dengan mengingati mati, manusia akan bersedia untuk bekalan esoknya. Beramal dengan banyak dan bersedekah untuk kesenangan akhiratnya kelak.

    Tiada siapa yang boleh menentukan hari hari kematiannya kerana ia adalah rahsia Allah. kematian yang berlaku di sekitar kita menunjukkan manusia ini fana, rapuh dan tidak berdaya menahan umurnya yang telah ditentukan.

    Semoga segala ujian yang melanda akan menambah taqwa, sabar dan redha dengan apa yang Allah hadirkan dalam hidup kita.

    Saya doakan Prof dan keluarga selalu sihat dan dirahmati Allah. Aaamiin.

    Mudahan saya berkesempatan untuk memiliki dan membaca tulisan Prof yang selalu memberi inspirasi buat saya dalam menulis pengalaman hidup ini. Tulislah sejarah hidup kita kerana itulah yang dapat ditinggalkan sebagai pedoman orang lain. Tahniah untuk kejayaan penerbitan buku itu nanti.

    “Seorang penulis sebenarnya lebih banyak membaca dari menulis.” Selamat menulis, Prof.

    Salam hormat dari Sarikei, Sarawak.

  32. Anonymous says:

    Salam Prof,

    Cantik sungguh entri ini, sungguh meresap kehati.

  33. Ishak says:

    Assalammualaikum wrt…

    Terima kasih prof diatas tazkirah tersebut. Penuh hikmah dan tersurat/tersirat.

    Semoga Allah SWT memakbulkan doa prof untuk dapat masuk syurga Allah tanpa dihisab. Amin.

    Saya pun ada keinginan tersebut, tetapi mungkin jauh lg untuk sampai ke sana kerana masih ada kaum kerabat, ahli keluarga sendiri yg masih jauh dgn syariat Allah SWT.

    “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (6)” (Terjemahan surah A-Tahrim ayat 6)

  34. mazlina says:

    Assalamu’alaikum Prof.
    Maaf banyak2, sy tumpang respon disini.

    Assaabiquun: hajat hati ‘nak’. Beri emel utk sy hubungi, atau link blog sdr.
    sharifah: amalan yang Prof. kongsi di KRTS banyak membantu, alhamdulillah!

    Wassalam

  35. Kancilbiru says:

    saya suka membaca buku prof. Saya selalu meletakkan diri saya di tempat prof bila membaca buku prof.

    Tidak sabar untuk menunggu buku prof seterusnya. Insya Allah.

Leave a Reply