Archive for the ‘I luv Islam’ Category

Notis 3

Tuesday, February 1st, 2011

Tabung Derma Mangsa Banjir PERKIM

PERKIM Segamat memohon kepada para dermawan untuk menyampaikan derma ikhlas bagi membantu mangsa banjir di Daerah Segamat. Derma boleh di salurkan ke maklumat berikut:

BANK MUAMALAT: AKAUN PERKIM SEGAMAT

Akaun: 01050002382710

Sila tulis: Derma Banjir 2011

Kemudian, sila maklumkan kepada saya melalui SMS 0193154444 untuk memudahkan rekod. Budi baik para pengunjung semua akan mendapat perhatian Allah SWT, InsyaAllah

Ayah

Wednesday, March 3rd, 2010

Nota: Dipetik dari tulisan saya di akhbar mingguan, IluvIslam, minggu 2.

Salah satu ingatan paling jelas terhadap ayah ialah kegarangan beliau. Bayangan tersebut nyata berpusat ketika diawal usia. Jika bergaduh dengan kakak-kakak, telapak tangan saya akan dirotan. Tidak kira saya bersalah atau tidak.

Saya ingat-ingat lupa tetapi nada suaranya cukup tinggi ketika beliau tidak berpuas hati dengan arahan yang diberi. Saya sempat mengingati bagaimana adik-adik yang hampir dengan saya dimarah, dijerkah dan dijegil bila melakukan kesalahan.

Jika ayah tidur atau berehat-rehat di sebelah petang, jangan harap untuk anak-anak berlepas-laku. Jika berlari, lantai rumah yang berkeriut menjadi penyebab untuk kami menerima habuan. Kalau bukan punggung yang ditangan, cukuplah dengan suaranya yang menggerunkan untuk kami beringat-ingat dan berhati-hati.

Bagaimanapun, tidak pula melekat di minda yang kedua-dua adik bongsu kami diperlakukan sebagaimana abang dan kakak mereka. Barangkali usia tua ayah mengubah corak dan cara membesarkan anak-anak.

Bila ayah bercucu, tidak pula sifat ‘bengkeng’ ayah dirasai oleh anak-anak kami. Mereka boleh pula berbelit-belit di belakang dan di depan ayah. Malah ayah tidak lagi meninggi suara bila cucu-cucunya berebut untuk di riba atau didukung. Malah tidak muncul perasaan jemu dan gelisah jiwa apabila cucu silih-berganti meminta untuk di bawa menaiki motosikal ataupun kereta.

Ayah garang namun saya tidak pernah membayangi beliau sebagai seorang yang perlu dilupakan. Saya sering terkenang dan berhutang budi kepada ayah yang mengasuh kami untuk berdikari dan bersifat berani. Ketika memulakan persekolahan rendah, ayah banyak berpesan: “Cari tempat duduk paling hadapan. Bila guru bertanya, terus angkat tangan dan yang lebih penting jangan menangis”.

Sebelum melangkah kaki ke sekolah, ayah memberi pesanan yang bersungguh-sungguh: “Kalau cikgu tanya siapa yang hendak dilantik sebagai ketua, terus angkat tangan. Jadi ketua bagus….”.

Pesanan itu begitu berkesan. Ia melekat di hati. Bila guru kelas memaklumkan yang beliau akan melantik ketua dan penolong darjah, saya terus mengangkat tangan dan memberitahu keinginan saya ingin menjadi ketua. Beliau tersenyum dengan keberanian tersebut tetapi hanya memberi jawatan penolong ketua darjah. Saya terlupa sama ada saya gembira atau kecewa. Namun yang pasti hati meronta-ronta menunggu peluang dapat menyebut: “Selamat pagi cikgu!”.

Hari pertama di sekolah terpahat di minda. Ia ingatan yang kelam dan suram. Saya masih dapat membayangi bagaimana saya dihantar oleh ayah. Beliau mencari tempat duduk di hadapan, mendaftar dan terus meninggalkan saya dengan sedikit pesanan, “jangan menangis, nanti ayah akan datang”. Kata-kata “nanti ayah datang” hanya muncul apabila hampir setiap orang mula meninggalkan sekolah.

Saya terasa sayu. Terasa tidak disayangi. Ia bertambah parah apabila melihat begitu ramai rakan-rakan yang ditemani oleh ibu atau ayah. Ada di antara mereka yang mata sentiasa mengadap tingkap takut-takut ditinggalkan.

“Cikgu, saya hendak buang air kecil,” saya memberitahu hasrat yang sudah lama ditahan-tahan. Saya perlu berani mengadap guru kelas kerana tidak mempunyai pilihan. Saya ditunjuk arah dan terpaksa beredar bersendirian. Hati berdebar-debar meninggalkan kelas. Kejayaan membuang air kecil berseorang pada hari pertama persekolahan merupakan suatu kejayaan yang sangat besar.

Ayah mengajar saya tentang berdikari dan keberanian!

Masa berubah. Suasana juga berbeza iklim. Saya terpandang kenangan lalu apabila melihat bagaimana para pelajar mendaftar di Institut Pengajian Tinggi [IPT] tempatan. Kelihatan “kasih-sayang” ibu bapa mempengaruhi keadaan. Seolah-olah anak-anak belum mampu berdikari. Misalnya, proses mengisi borang permohonan, mendaftar dan memilih kursus sering dikuasai oleh ibu bapa.

Saya sendiri berada di dalam dilema apabila anak-anak sendiri meningkat dewasa. Anak pertama – misalnya – memilih untuk mengikut program pengajian yang saya tidak minati. Ia jauh menyimpang daripada disiplin saya dan isteri. Alahai… perlukah saya dominan? Perlukah saya memaksa beliau untuk mengikut jejak kerjaya saya atau isteri?

Dalam semua keadaan, saya kembali kepada Dia yang Maha Berkuasa. Berdoa dan bermunajatlah secara bersungguh-sungguh. Biarlah pilihan yang dilakukan oleh anak-anak atau diri sendiri berkisar kepada ketentuan dan keredhaan Allah SWT. Akhirnya saya memberi sedikit nasihat:

“Ayah tidak kisah program apa yang mahu dipilih. Belajar rajin-rajin biar jadi pelajar yang cemerlang. Cemerlang di sisi Allah. Ayah hendak awak solat jangan tinggal. Jaga Aurat. Jangan ikut orang melakukan perkara yang tidak senonoh. Biar orang ikut kita membuat kebaikan”.

Saya tidaklah segarang arwah Ayah. Di sebalik kegarangan beliau ternyata mempunyai niat yang satu, membesarkan anak-anak supaya berdisiplin, berjaya di dalam kehidupan dan senang gembira dan berbahagia untuk meneruskan kehidupan selepas dibangkitkan semula. Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa-dosa kita, kedua ibu bapa dan seluruh muslimin dan muslimat.