Archive for the ‘Keluarga’ Category

Kesungguhan

Thursday, August 25th, 2011

Safiyyah yang beruntung

Inilah Safiyyah, anak saudara kami yang paling muda.

Ibunya Nur Solihah. Adik bongsu daripada 12 adik beradik. Seorang guru lulusan UIA. Suaminya berkerja dengan Petronas di Labuan. Di kalangan kami, beliau dipanggil “adik Nur” atau “Nur”.

Di kalangan adik beradik, Adik Nur seorang yang pandai mengaji. Guru Quran selalu memujinya. Padanlah, beliau lulusan ilmu wahyu.

Saya kagum mendengar kemahuan adik Nur mahu menyusu anak keduanya ini dengan 100% susu ibu. Keinginan ini diterjemahkan dengan cara yang bersungguh-sungguh. Peti sejuknya dipenuhi dengan susu yang dipam. Ia bekal buat Safiyyah di kala beliau bertugas di sekolah.

Suaminya pula secara bersungguh menyokong usaha-usaha ini. Khabarnya, beliau mengira keuntungan yang diperolehi daripada menyusu badan. Kos penjimatan. Khabarnya juga sudah hampir atau melebihi RM4000.

Jumlah itu ditukar kepada emas dan dihadiahkan kepada Adik Nur.

NotaMKI: Sekadar rekod, Sara menyusu selama 8 bulan, Azrai 12 bulan, Amirul 4 tahun dan Sofea 2tahun. Agaknya, berapa utas rantai yang perlu dihadiahkan kepada Roza?

Erti doa buat Sofea

Saturday, July 16th, 2011

Sofea masih lagi seorang anak kecil. Umurnya lapan tahun. Kami mengajarnya untuk sentiasa berdoa dan menyebut alhamdulillah. Jika inginkan sesuatu, “berdoalah, nanti InsyaAllah Allah akan makbulkan”.

Saya fikir kerana asuhan tersebut, beliau sering menyebut, “Alhamdulillah, Allah makbulkan doa Sofea”.

Kini beliau selalu memberitahu guru dan kami, “Sofea suka pergi ke Madinah tetapi Sofea tidak pandai bahasa Arab. Mama, bolehkah Sofea bercakap bahasa Inggeris?”

Lalu kami memujuk beliau, “berdoalah supaya Allah memudahkan Sofea belajar bahasa Arab. Nanti cepat pandai. Sebelum pergi, ayah akan minta cikgu ajar Sofea betul-betul”.

Dalam kebanyakan kes, kami mencipta “sesuatu yang luar biasa” apabila beliau mahukan sesuatu. Misalnya, hari ini kami sekeluarga bercuti di sekitar Johor Bharu. Ia sudah dirancang buat sekian lama.

Sofea sayangkan abang Ngah (nota: sedang belajar di Penang) dan kakak Sara (nota: sedang belajar di Shah Alam). Beliau sering menyebut, “kalau abang Ngah adakan best….”.

“Sofea berdoalah semoga abang Ngah dengan kakak sempat pulang untuk bersama-sama kita bercuti,” saya dan Roza berulang-ulang berpesan kepadanya.

Dan itulah yang dilakukannya. Usai bersolat lima waktu beliau pasti berdoa. “Ya Allah, bagilah Abang Ngah balik untuk…..”.

Selepas solat Asar – dalam perjalanan ke stesyen keretapi – saya bertanya beliau, “sofea minta doa untuk abang Ngah?”. Beliau mendiamkan diri. Kemudian menggelengkan kepala. Beliau tahu doanya tidak menjadi kenyataan.

Kami sudah mahu bertolak dan Abang Ngah dan Kakak Sara tidak muncul-muncul.

Akhirnya, apabila mereka menaiki gerabak, saya terdengar suara kuat berkata, “Abang Ngah….. Kakak……” Mereka berpelukan!

Dan apabila keadaan reda, kami ingatkan Sofea, “Allah makbulkan doa-doa Sofea”.

Beliau tersengih dan berkata “Alhamdulillah”.

(Nota: Di belakang tabir, saya telah mengaturkan agar anak-anak kami dapat berkumpul. Saya telah menempah tiket perjalanan Ekspress Rakyat bermula dengan Abang Ngah bertolak dari Butterworth, diikuti oleh kakak Sara di KL Sentral dan kami – Saya, Roza, Amirul dan Sofea – di Segamat.

Pegawai KTM nampak kegembiraan adik-beradik tersebut dan memutarkan tempat duduk supaya mengadap di antara satu sama lain. Ia peristiwa main-main tetapi sangat signifikan buat anak kecil bernama Sofea)

Segalanya hampir

Wednesday, June 22nd, 2011

Orang kampung, rakan kepada kakak di Besut akan menemani anak remajanya ke Doha, Qatar. Anaknya terpilih mewakili Malaysia bagi memperdengarkan bacaan Al-Quran di sana.

“Mil ada kenalan di Qatar? Kawan saya ni tidak pernah keluar jauh-jauh. Beliau risau bila berada di sana,” Kakak menjadi orang tengah bertanya. Barangkali memikirkan yang saya boleh membantu setelah dua kali ke Doha.

Lalu saya membuat panggilan ke Doha, “Aim, masih di Doha?”. “Tidak, saya di Austria.. kenapa prof?”

Alamak.

Akhirnya Zaim memberi nombor kenalan yang lain di Doha. Saya bercerita dengan Khairil tentang kegelisahan orang kampung yang akan mendarat di Doha pada malam besok.

Dan dalam ria Khairil menyatakan, “prof bagi nombor telefon beliau, nanti saya uruskan di sini”.

Tentu sekali orang kampung saya akan berasa selamat, lega dan selesa. Sekurang-kurangnya beliau akan kurang berdebar apabila mendarat di Doha. Beliau mempunyai seseorang yang boleh dihubungi ketika di sana.

Dan saya terhutang budi dengan rakan-rakan di Qatar yang sudi membantu. Begitulah, teknologi mendekatkan hubungan. Saya terasa sangat hampir.

Berbuat baik sesama manusia sangat menarik implikasinya. Tentu sekali ia tidak dapat dibuktikan secara saintifik. Namun perasaan saya begitu.

Pertama, jika kita sering memberi makan atau bahasa mudah “belanja orang makan”, bukan orang itu yang akan belanja kita balik. Orang yang lain pula yang kerap melakukan perkara yang sama kepada kita.

Bila kita memudahkan urusan orang, pada satu ketika yang lain, orang lain pula akan memudahkan urusan kita. Ia berlaku berulang-ulang hatta orang yang paling dibenci ramai masih boleh menyukakan hati kita.

Jika kita membantu anak orang, bukan ibu bapa anak tersebut yang membantu anak kita kembali. Ia suku sakat yang berbeza.

Begitulah kehairanan saya terhadap Khairil yang sudi membantu menguruskan “orang kampung” tersebut. Suara dan kata-katanya tidak menggambarkan sebarang kesusahan memberi bantuan. Ia terasa walaupun kami jauh beribu batu.

Akhirnya, itulah kebijaksanaan Allah mengatur dan memberi kasih-sayangNya kepada seluruh hamba yang melakukan sesuatu perkara dengan penuh rasa ikhlas.

Ahmad Amirul Imran

Beliau dilahirkan di Bangor, Wales pada 22hb Jun 1998. Berat kelahirannya 4 kg. Barangkali ia ada kaitan dengan pemakanan Roza semasa mengandung. Hampir setiap pagi – disekitar 1 pagi – saya pulang bekerja dari sebuah restoren Pizza membawa cheese pizza. Itulah yang dimakan Roza.

13 tahun berlalu. Amirul masih montel sebagaimana ia dilahirkan. Dia sangat berbangga dengan kelainan tempat kelahirannya. Namun Amirul lebih berbangga kerana bersiap untuk ke Madinah bersama saya dan Roza.

“Amirul doa hari-hari supaya Amirul dapat belajar di Madinah,” terkeluar kata-kata tersebut.

Saya masih kelabu dengan persekolahan beliau di sana dan sebagaimana beliau nyatakan, saya juga berdoa supaya Allah memberi jalan terbaik untuk beliau dan Sofea.

Selamat Hari Lahir Amirul.

Hidup baru

Wednesday, April 27th, 2011

Arwah Abah dan Mak merupakan pasangan intim.

Mereka sentiasa berdua. Di antara keduanya, abahlah yang lebih bergantung kepada mak. Rasanya, jika mak tiada, goreng telur pun abah tersangat kekok. Sebaliknya, tanpa abah, mak lebih suka berdiam diri di rumah.

Mak telah melalui dua peristiwa besar. Pertama kehilangan suami dan kedua kehilangan anak perempuan bongsu. Ia berselang bulan. Mak redha. Namun pastinya perasaan sayu dan sebak sentiasa ada apabila berseorangan. Ia sifat semula jadi.

“Mak, kami ingin berhijrah. Abang Kamil dapat offer ke Madinah,” Roza memecah rahsia tersimpan sepanjang Mak menjaga Abah dan Ayu walaupun seisi dunia yang lain sudah mengetahui. Ia rahsia hanya untuk mak.

“Kami ingin bawa mak sekali. Bukankah ini impian mak? Agaknya, inilah yang Allah kata, di sebalik kesusahan ada kesenangan,” kata-kata yang mungkin tersusun beberapa minggu yang lepas.

Emak diam. Akhirnya air mata mak tidak tertahan lagi. Kuat sedunya. Kami tahu yang beliau dapat membayangi suasana Masjid Nabi dan kawasan sekitarnya yang aman dan damai. Malah ia bukan satu rahsia betapa Madinahlah yang mahu beliau tuju sebagai destinasi akhir.

Hakikatnya, beliau tahu yang impian tersebut hanyalah satu hasrat yang terlalu sukar untuk dilaksanakan. Tiba-tiba jalannya terbuka luas.

“Cuma Mak, kami perlukan kelulusan UiTM. Doakan supaya ia dipermudahkan”. 

Pada hari yang lain, saya nyatakan pada mak, “Mak boleh tinggal di sana bersama kami secara berterusan, boleh tinggal sebulan-dua dan balik ke Malaysia sebulan, kemudian datang balik dan begitulah… Saya cuba cari kediaman yang paling hampir dengan masjid Nabi supaya mak boleh berjalan kaki ke sana”

Kisah Madinah ini benar-benar menceriakan Mak. Hampir setiap hari kami membicarakan topik ini. Ia ubat kesegaran yang paling berkesan.

Sehingga bertemu lagi

Thursday, April 14th, 2011

Kami pasti Ayu – adik Roza – akan mengikuti jejak Abah. Seminggu lepas, beliau sudah membayangkan untuk disemadikan di sebelah abah. Malah keizinan suami sudah pun dipohon. Kami akur.

Hari ini, masa untuk berpisah terjadi jua. Nun jauh di situ hati, saya sendiri sudah mengucapkan selamat tinggal kepada beliau sejurus meninggalkan Kuala Nerang pada hari ketiga pemergian Abah.

Di tengah perjalanan pulang, beliau SMS saya, “Ayu sudah maafkan Abang Ngah di atas segala kesalahan. Maafkan Ayu”.

Saya menjawab ringkas, “Ayu adik Abang Ngah dunia dan akhirat. Ayu tidak pernah melakukan sebarang kesalahan. Terima kasih kerana memaafkan Abang Ngah”.

SMS beliau yang terakhir hanya simbol senyum yang dihantar.

Besok, beliau akan disemadikan di sisi Abah sebagaimana kemahuannya. Pastinya besok, ketika 1/3 malam yang terakhir nama-nama keluarga yang telah pergi  – Ayah, Wan, Abah dan Haniza – yang disebut kepadaNya akan bertambah.

Ia akan disebut, “Ampunilah dosa-dosa mereka ya Allah terutamanya Ayah, Wan, Abah, Haniza dan Ayu yang telah pergi meninggalkan kami. Kumpulkan kami di syuga Mu……”

Ayu, rehatlah dengan tenang dan damai, InsyaAllah.