Archive for the ‘Syarahan’ Category

Kuliah

Saturday, September 17th, 2011

Hujung minggu di Malaysia, hari mula bekerja di Madinah.

Tamatlah hidup gaya “umrah” selama hampir 10 hari. Mulai hari ini, saya akan memulakan kuliah bersama dengan anak-anak murid yang sangat asing berbanding sewaktu menjadi pensyarah di UiTM.

Pertama, kesemuanya lelaki. Di UiTM hampir semua pelajar saya adalah siswi. Mengajar siswi sangat berbeza berbanding siswa. Bagaimana tingkah laku umum siswa Arab dan siswa Malaysia tentu sekali berbeza.

Kedua, subjek yang diajar merupakan subjek pertama kali ditawarkan sebagai salah satu elektif major accounting di Universiti Taibah, Agaknya para pelajar berkira-kira dengan nama “Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim”, nama baru yang tertera di jadual waktu mereka.

Ia persoalan lumrah buat pelajar universiti. Baikkah pensyarah ini? Kedekut markahkah?

Saya perlu cepat belajar. Namun di mana-mana, menaruh dan menerima kepercayaan seseorang merupakan anugerah Allah. Mudah-mudahan mereka akan menerima saya sebaik mungkin.

Lalu jika ada yang mahu bercerita tentang tingkah laku negatif pelajar-pelajar Arab, cepat-cepat saya padamkan dengan kenyataan, “biar saya mengenali mereka sendiri. Baik-buruk manusia berbeza-beza”.

Hakikatnya, sudah berbulan-bulan saya berdoa kepada Allah agar mempertemukan dengan anak-anak murid yang lembut hatinya, mahu belajar, yang tahu pula menghormati guru-guru mereka, mudah memahami dan saling kasih mengasihi.

Akhirnya, saya menyerahkan diri kepada Dia yang Berkuasa. “Ya Allah jadilah ilmu yang daku curahkan ini sebagai ilmu yang bermanfaat”.

Emmmm… tidak sabar rasanya ingin melangkah ke dewan kuliah. Hijrah memberi nafas baru yang segar!

Berkelah di Padang Pasir

Semalam kami diajak oleh beberapa penuntut berkeluarga berkelah di padang pasir. Wah… bagaimana agaknya berkelah di padang pasir? Ia menarik minat kami.

Kami bertolak selesai usai solat Isya. Perjalananan hampir 40 minit.

Karpet, lampu, gas disewa. Angin yang bertiup sangat nyaman. Sungguh, sangat indah dan nyaman. Siapa fikir yang padang pasir boleh bertanding dengan laut dan pantai. Apatah lagi mahu setaraf dengan air terjun. Ia pengalaman yang sangat berbeza.

Ketika sampai, anak-anak muda ini sibuk membakar arang bagi memulakan BBQ. Benar, satu lagi laluan pengalaman yang sangat kami hargai.

Bila sampai masanya…..

Tuesday, September 6th, 2011

Ia pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Saya disediakan ruang untuk berceramah di Masjid/surau Bukit Jelutong, Shah Alam. Topiknya, “Mengubah Sempadan Iman”.

Saya beremosi. Air mata mengalir pada ketika-ketika tertentu. Bersungguh-sungguh saya bercerita. Dan ia sentiasa bermain-main di hati.

Itulah pengalaman pertama berceramah pasca terbitnya buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman.

Ramai yang datang memeluk saya. Ada juga yang berderai airmata. Ada yang berkata, “Prof, kenapa sekarang baru saya berjumpa dengan prof”. Tidak pandai saya menjawab kata-kata tersebut.

Diam.

Saya tidak tahu apa  yang perlu dijawab. Saya hanya menceritakan pengalaman yang telah saya lalui, betapa saya telah bertemu dengan kasih-sayang Allah kepada hambaNya yang sangat lemah.

Di situlah bermula. Ia membawa saya menjelajah hampir ke seluruh pelusuk tanah air. Hampir setiap hujung minggu yang terluang dan di antara minggu yang berkesempatan, saya mengabadikan seluruh jiwa raga berdakwah mengajak sesiapa yang sudi mendengar untuk mendekatkan diri kepada Dia yang Maha Berkuasa.

Premis saya sangat mudah, “biar kita jadi golongan terpilih, kumpulan akhir zaman yang sedikit. Marilah kita solat berjemaah, marilah kita berpuasa sunat Isnin dan Khamis, marilah kita bangun malam bertahajud, marilah kita membaca al-Quran dan memahami makna dan tafsirnya, dan dahlah…. kita sudah tua, masa mati kita sangat hampir, marilah kita jadi manusia yang lebih baik”.

Dalam proses tersebut saya cuba membuktikan yang ia boleh dilaksanakan – InsyaAllah – dengan kemahuan dan permohonan kepada Dia yang Maha Berkuasa.

“Ya Allah, ampunilah daku. Sesungguhnya aku tiada upaya melainkan di atas kekuasaan Mu belaka”.

Kadangkala, saya keliru dan berfikir, akukah ini?

Ada di persimpangan, saya bertanya abah, “abah, bolehkah saya lakukan sebagaimana yang sedang saya lakukan sekarang?”

Jawapan abah sangat mudah, “Mil, lakukan kerana Allah. Jangan peduli. Abah melihat Kamil berjaya menarik khalayak untuk berfikir. Nanti, bila sampai masanya, Allah akan pandu Kamil ke satu tahap yang berbeza”.

Ia perbualan terhenti tanpa nokhtah. Namun setiap malam saya memohon keampunanNya. Jika ada yang risau, saya lebih-lebih lagi. Saya tidak mahu menjadi manusia riyak, takbur, sombong dan angkuh. Ia tidak berbaloi. Masa saya terlalu hampir. 

Dan Abah, masa beliau telah tiba. Abah pergi buat selama-lamanya.

Hari ini, saya terfikir – agaknya masa saya juga sudah sampai. Sekejap lagi, saya dan keluarga akan meninggalkan Besut, Terengganu setelah menyampaikan ceramah di Sekolah Menengah Agama Setiu dan sedikit tazkirah di Masjid Batu Tumboh.

Barangkali, itulah penutup di atas segala-galanya yang telah dimulakan di Jelutong, Shah Alam sebelum kami melangkah menaiki pesawat Saudi menuju Madinah. Besok, barangkali ketika berada di dalam pesawat, saya akan berdiam diri dan merenung langkah-langkah yang bakal saya dan keluarga tempuhi.

Ia fasa 1/3 terakhir – itu pun jika berkesempatan – dalam kehidupan menunggu saat-saat dijemput Allah. Barangkali Allah mahu saya bertenang di sana. Ia berlaku secara semulajadi, di dalam pengetahuan Dia, jauh dari perancangan manusia biasa. 

Saya fikir, bila sampai masanya - bukan ditentukan oleh saya – biarlah saya disemadikan di tempat yang terbaik di sisiNya.

Roza oh Roza

Beliau dilahirkan pada tahun kuda. Beliau berkuasa kuda.

Kisah kuda ini sangat menarik…. kata saya, “kuda boleh ditunggang….”.

Jawab Roza, “kalau kena gayanya. Kuda kalau naik syeikh, habis penunggangnya dicampak ke tanah”

He… he…. kuda selalu perlu dibelai!

Seharian beliau berkemas. Seharian juga beliau melakukan penggambaran buku Travelog Masakan: Ia bukan sekadar Resipi. Tinggal lagi Roza tidak dapat mengikut saya berceramah di Setiu.

Inilah hasilnya…..

Bubur keledek buat Sofea yang sedang demam ketakutan bahasa Arab

Kata Roza, ikan percik ini sampai bila-bila pun tidak dapat menandingi ikan percik yang pertama kali makan di Dungun bersama Abah, Mak, Mak Wa dan adik-adik pada 1985.

Sambal ikan bilis dan Kerabu Mengkudu. Kak Yah kata, "sedap Roza," ia ciptaan terbaru Roza. Saya nampak Roza tersengih. Pujilah wanita dengan masakannya, InsyaAllah mereka akan kalah. Wahai suami, ia tidak memerlukan bayaran.

Cubalah nasi goreng ini... ia bukan sekadar resipi

Sekaya labu. Salah satu pemanis mulut yang menjadi kesukaan saya.

Penyelesai segala ujian

Sunday, August 14th, 2011

Saya tertarik dengan satu kenyataan, “bagi mereka yang beriman, kematian merupakan penamat kepada segala ujian”.

Ia sangat benar. Mereka yang beriman – InsyaAllah dengan rahmatNya – dipermudahkan hisab mereka dan terus masuk syurga yang kekal abadi. Tiada lagi ujian. Ia kehidupan yang sangat-sangat berbeza dengan kehidupan dunia.

Saya cuba membayangkan begitu. Namun akal manusia - sampai bila-bila pun – tidak dapat menelah dengan tepat kehidupan syurga. Namun saya simpulkan dengan cara yang paling mudah, ia kehidupan yang sangat indah.

Apa yang terbaik di dunia tentunya langsung tidak setara dengan apa yang bakal diperolehi di Firdaus. Agakan yang barangkali 100% tepat.

Tentu sekali di syurga tiada lagi perasaan “mencemburui” apa yang diperolehi oleh orang lain. Sesekali saya berfikir, mungkinkah ada kebarangkalian mereka yang berada di syurga tahap bawah mencemburui mereka yang berada di syurga yang lebih baik?

Di sini, dunia sementara ini, manusia sentiasa melihat  rumput jiran lebih hijau daripada rumput sendiri. Bola hijau (kepunyaan teman) kelihatan lebih baik daripada bola biru (kepunyaan sendiri).

Ujian untuk mengejar apa yang jiran atau teman miliki tiada penghujung. Akan sentiasa ada rumput yang lebih hijau. Malah jika bola hijau diperolehi, tiba-tiba sahaja bola merah menjadi lebih menarik.

Saya merenung seksyen 9 daripada tingkat 12 Kondo Kemuncak. Di bahagian belakang, saya ternampak rumah berkembar yang harganya melebihi sejuta ringgit. Di bahagian hadapan, beberapa buah banglow yang sayup-sayup kelihatan hanya seperti penjaga kepada kondo yang saya diami.

Di sebelah kanan bahagian belakang, rumah-rumah teres bersusun-susun. Lebih jauh lagi kelihatan banglo-banglo yang kelihatan sangat eksklusif. Banyaknya bola-bola yang pelbagai warna.

Dulu, saya mempunyai impian yang sangat besar tentang warna bola yang saya inginkan. Kini, ia sangat berbeza!

Nilai sekeping Sijil

Tuesday, July 12th, 2011

Beberapa bulan yang lepas, Segamat dilanda banjir besar. Rumah saya tidak terkecuali. Air setinggi paras dada di dalam rumah. Tafsiran kasar, kerugian mencecah RM100,000.

Kereta NAZA tenggelam paras side-mirror. Bengkel mahu RM21,000 untuk menggantikan engin lama dengan yang baru termasuk upah. Saya write-offkan kereta tersebut dengan menghadiahkan kepada salah seorang Ustaz di UiTM Segamat. Beliau perlu mengeluarkan belanja untuk membaik-pulih kereta tersebut dan baki bank sebanyak RM45000 dijelaskan oleh saya.

Kitab-kitab juga turut musnah. Kebanyakan yang sering menjadi rujukan bagi menulis dan menyampaikan syarahan atau kuliah mingguan. Kesemuanya diletakkan di rak yang paling bawah. Nilainya hampir RM10,000.

Pakaian – jubah dan abaya – hampir 100% musnah. Perabut-perabut juga tidak terkecuali. Mana-mana yang asasnya berdasarkan papan lapis kembang dan tidak boleh digunakan lagi.

Barang-barang elektrik juga tidak terkecuali daripada menerima kesan banjir. TV dan home teaternya, oven yang sering digunakan untuk Roza membakar cheese cake, washing machine dan decorder ASTRO beyond semuanya musnah.

Ia kelihatan ujian terbesar dalam hidup kami sekeluarga. Nyata ia bertepatan sebagaimana firman Allah melalui surah Al-Baqarah ayat 155-156 yang bermaksud,

“Demi sesungguhnya!

Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.

Saya sendiri tidak boleh memasuki bandar Segamat ketika air memenuhi rumah kami.

“Adib, tolong selamatkan tiga perkara. Pertama dokumen saya dan Kak Roza. Saya punya di atas meja makan. Kak Roza di dalam drawer almari bilik tidur, laptop di perpustakaan dan kalau boleh tolong alihkan kereta NAZA,” saya mohon pertolongan jiran.

Sejam kemudian beliau maklumkan, “Prof semua OK kecuali NAZA. Jalan keluar semuanya sudah tidak boleh dilalui”.

Subhanallah, kini saya merenung kembali ujian ini. Allah selamatkan sijil-sijil saya – melalui jiran yang sangat baik hati - kerana itulah yang sangat-sangat saya perlukan. Saya tidak perlukan NAZA. Kami langsung tidak memerlukan perabut-perabut atau barangan yang lain.

Kami perlukan sijil dan beberapa dokumen lain untuk berhijrah ke Madinah. Banjir telah membersihkan segala barangan yang perlu kami tinggalkan. Dan benar ia hanyalah ujian yang Allah mahu kami bersabar.

Pasca banjir, kami diberi rasa gembira yang amat sangat. Tanpa diduga, pihak insuran membayar RM17000, kooperasi UiTM menyumbang RM4000 dan bantuan ehsan kerajaan RM500.

Sebagai ganti kereta NAZA, saya mengguna kembali kereta Proton WIRA yang telah saya hadiahkan kepada arwah Abah. Dan hadiah yang paling mahal ialah tawaran bekerja sebagai Profesor Perakaunan di Universiti Taibah. Nilainya jauh daripada RM100, 000 yang dikembalikan kepada Dia yang Maha Berkuasa.

Malah saya sangat-sangat bersyukur jika dapat menyudahkan buku “Travelog Kehidupan: Bagaimana menghadapi Ujian” sebelum berangkat ke Madinah.

Maka surah Insyirah kita jadikan renungan,

“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)? Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam); (Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?

 Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)”.

Lalai

Monday, July 4th, 2011

“Mesti ayah salah bawa laptop!,” itulah kata-kata terpantul keluar daripada mulut Sofea ketika bertemu di kereta selepas kuliah Maghrib.

“Mana Sofea tahu?,” tanya saya. Tentu sekali saya bersungguh bertanya kerana memikirkan ia agak mustahil untuk beliau nampak laptop tersebut daripada ruang solat wanita.

“Sofea tahulah, Sofea genius” (nota: saya terbayang sifat lampau yang sangat yakin dengan keupayaan sendiri. Nampaknya menurun kepada anak yang satu ini).

Terlintas perasaan buruk sangka. Mungkinkah Sofea bergurau dengan menukarkan laptop tersebut? (Nota: Beliau pernah menyorok buku Travelog Impian Abadi yang sedang diedit oleh Roza. Kata beliau, “Mama, mama tak usahlah baca buku Impian tu.. asyik-asyik nangis, asyik-asyik nangis”.

Benar, itulah yang berlaku. Saya menyimpan nota-nota ringkas, ayat-ayat al-Quran dan hadis di dalam laptop bagi kuliah Maghrib di Masjid Kg Jawa.

Ia ibarat memori sementara yang diperlukan walaupun ia tidak sering saya lakukan. Kebiasaannya saya hanya bercakap berdasarkan nota-nota ringkas yang sudah bermain-main di fikiran.

Bila saya membuka beg sandang, mengambil laptop dan meletakkan di atas meja terus saya terkesan yang ia bukan laptop yang sepatutnya dibawa.

Mata saya terkelip-kelip memandang ke arah laptop tersebut sambil menarik nafas panjang. 

Ia jarang berlaku tetapi benar-benar berlaku ketika saya tergopoh-gopoh menyiapkan persiapan untuk memberi kuliah dan seterusnya keperluan berada di Shah Alam.

“Ya Allah permudahkanlah penyampaianku, lembutkanlah lidahku, kuatkanlah daya ingatanku dan lembutkanlah hati khalayak pendengar untuk menerima apa yang ingin aku sampai. Ia semata-mata keranaMu ya Allah”.

Itulah yang mampu saya lintaskan setelah menyedari apa yang sedang saya hadapi.

Hakikat sebenar, kelancaran bercakap dan berhujah adalah dengan bantuan Allah. Tiada manusia yang boleh mendabek dada dengan menyatakan beliau “bijak dan pandai” berhujah. Jika Allah membisukan manusia, kita tidak dapat berbuat apa-apa.

Namun ia ada aturan tertentu. Seseorang yang tidak biasa menjadi imam, apabila diminta ke hadapan, surah al-fatihah yang biasa dibaca pun boleh terlupa.

Begitu juga bercakap di hadapan khalayak. Jika disuruh berucap meraikan teman yang akan meninggalkan kita, lidah bisa menjadi kelu. Akhirnya yang keluar, “minta maaf, saya terlampau sebak untuk mengeluarkan kata-kata”.

Alhamdulillah, saya dapat menyampaikan apa yang ingin saya ucapkan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Saya agak begitu. Pastinya ia datang dengan pertolongan Dia yang Maha Berkuasa.

Dalam konteks inilah saya sering berpesan kepada siswa-siswi UiTM,

“apabila melangkah ke dewan peperiksaan, berdoalah kepadaNya supaya dipermudahkan. Kadangkala kita tidak berpeluang mengulangkaji topik-topik tertentu tetapi soalan yang berkaitanlah yang telah dijawab dengan baik.

Tanpa sedar, ingatan kita tertumpu kepada apa yang dikuliahkan oleh pensyarah. Mungkin orang yang tidak berdoa juga mendapat nikmat yang sama. Allah berkuasa memberi nikmatnya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

Akhirnya mereka yang berdoa akan mengucapkan syukur Alhamdulillah dan mereka yang tidak berdoa akan berkata – mujur aku ingat….”.

Ia perbezaan yang sangat signifikan.