Archive for the ‘Teruja’ Category

Selamat bertugas

Wednesday, February 8th, 2012

Semalam, Roza melaporkan diri bertugas di Universiti Taibah. Ia dikenali sebagai “Girls Section”. Tugas beliau mengajar anak-anak gadis Saudi.

Saya yakin beliau akan enjoy dan menghargai pengalaman baru ini.

Pertama, jadualnya agak santai. Roza mengajar 6 jam seminggu, dua kelas yang berbeza dengan mata pelajaran yang sama. Beliau perlu hadir dua hari seminggu.

Kedua, saya tidak fikir yang beliau pernah berangan untuk mengajar di negara asing tanpa kelulusan PhD. Ia kelihatan agak mustahil di sini namun kasih-sayang Allah mengatasi segala-galanya.

Melihat ke belakang, saya terkenang saat-saat awal Roza memilih untuk berhijrah walaupun baru setahun disahkan jawatan sebagai pensyarah UiTM.

“Rezeki Allah yang tentukan. Saya sudah bersedia untuk ke Madinah”.

Saya pula ditugaskan mengajar 400 minit seminggu, 2 mata pelajaran (International Accounting dan Accounting Information Systems) dengan kumpulan pelajar yang sama.

Jumlah pelajar 9 orang. Pasti, kesemuanya lelaki. Dan mereka merupakan kumpulan sama yang telah saya ajar pada semester sebelumnya.

Bila pulang bercuti dan bertemu di kelas, mereka meminta izin untuk bersalam cara mereka. Peluk, cium kepala, cium pipi kiri dan kanan sesama mereka.

“Jika di Malaysia, orang kata kamu gay,” saya bercerita. Mereka ketawa kerana mengetahui hakikat tersebut. Malah ia perkara lumrah melihat lelaki jalan berpegangan tangan di universiti dan di Haram.

Ia budaya mereka.

“Dr, ikut kami BBQ di kebun tamar,” salah seorang pelajar mengajak saya.

“Boleh saya bawa isteri?,” saya bertanya.

“No… no… no… lelaki sahaja. Dr boleh bawa Amirul,” cepat-cepat mereka membuat keputusan. Itu juga budaya mereka yang perlu dipelajari.

Dan saya menghargai mereka.

Melihat gaya dan cara mereka di luar kelas

Inilah pelajar saya.

KLIK DI SINI

Berpatah balik

Tuesday, February 7th, 2012

Berpatah selangkah ke belakang untuk bergerak beberapa tapak ke hadapan.

Saya biasa mendengar ungkapan tersebut. Dan kini ia perlu dilaksanakan  dalam pengajian al-Quran saya. Beberapa rakan pelajar yang memang mahir dan saya fikir sudah pasti berjaya melepasi juzu Amma jika diuji.

Mereka pulang dengan wajah sedih.

Saya bertanya, “mengapa?”. Mereka menunjukkan kertas ujian, 86/100 dan GAGAL!

Barulah kami tahu yang markah lulus untuk Juzuk Amma 90/100.  Saya tidak fikir akan berjaya dengan sebutan Ain dan Ha (seumpama makan cili pedas) yang masih sekali betul dan sekali salah. 

Setiap satu kesalahan akan ditolak dua markah. Jika terlupa…. balik!

Allahu Akbar.

Kini saya kembali kepada yang asas. Selepas asar, saya mula belajar kembali menyebut huruf-huruf yang sukar buat saya dengan guru yang lain. Selepas Maghrib, barulah mengadap Tok Sheikh. Agaknya beginilah bila usia tua belajar. Perlu bekerja keras.

Tiada lagi jalan pintas seumpama belajar di kala muda!

Rasuah Haji

Sesiapa yang membaca buku Road to Mecca pastinya akan berjumpa dengan kisah-kisah di sesetengah negara yang perlu memberi rasuah untuk menunaikan fardhu haji.

Tentu sekali saya terperanjat apabila mendapat khabar yang ia juga berlaku di Malaysia. Haji menjadi satu bisnes yang lumayan. Hukum asas ekonomi, permintaan melebihi penawaran maka akan berlaku kenaikan harga.

Dalam konteks menunaikan haji, harga dikawal oleh kerajaan tetapi ia terdedah kepada rasuah memotong giliran jika kawalan dalamannya lemah.

Ramai juga yang pergi menunaikan fardhu haji kerana semata-mata mahu mengambil upah haji. Bila tidak dilakukan semata-mata kerana Allah pasti akan berlaku kesulitan jiwa dan perasaan.

Malah haji dan umrah dijadikan rutin yang tidak ada rohnya. Pergi dan balik tidak membawa sebarang pengertian yang signifikan. 

Kenapa perlu hairan, bukankah dunia sudah sampai ke penghujung?

Namun hakikatnya, suasana inilah yang perlu dilawan habis-habisan. Di hati perlu berkata yang aku tidak mahu begitu. Biar sesuatu dilakukan kerana Allah, kerana Mu ya Allah.

Bagaimana? Jawapannya ada pada diri sendiri, InsyaAllah.

Petugas Umrah dan Haji

Usai Isya saya bertemu dan sempat bersapa dengan staf salah satu agen haji dan umrah. Ia jadi perbincangan yang serius.

Kata beliau, “kami berusaha untuk membantu jemaah yang melaksanakan umrah dan haji dengan membawa bersama guru-guru yang boleh membantu jemaah”.

Saya memberi saranan, “jika kita benar-benar serius mahu membantu, perhatikanlah petugas-petugas haji yang dibawa. Tengok amalan mereka. Bagaimana mahu membantu jemaah yang lain jika solat berjemaah di Masjid Nabawi atau Masjidil Haram tidak terjaga. Bagaimana mahu bersungguh mengajak para jemaah berqiamullail jika kita sendiri tidak melakukannya”.

Guru tetap guru. Ia perlu memberi teladan yang baik. Ilmu yang disampaikan perlu diamalkan terlebih dahulu. Saya fikir, barulah ia pergi ke hati.

Mudah-mudahan ia tidak jadi rutin biasa.

Rutin

Ada ketikanya rutin menyebabkan apa yang dilakukan menjadi nilaian -+ berkurang. Rutin juga – kadangkala – menyebabkan hasil menjadi kurang bermutu. Namun dalam keadaan yang lain, rutin akan menyebabkan sesuatu kerja lebih cemerlang.

Rutin juga membolehkan kita mengetahui sesuatu perubahan yang berlaku dan bila masanya perlu membuat perubahan tersebut.

Misal yang mudah, beberapa minggu yang sudah berlalu saya mempunyai rutin bergerak meninggalkan rumah di sekitar jam 5.20 pagi untuk solat fajar di Haram.

Ia membolehkan saya solat di saf-saf hadapan atau di mana sahaja kecuali Raudhah.

Kini dengan rutin yang sama – dalam keadaan tidak bersungguh – saya berada di saf yang berpuluh-puluh (kalau tidak beratus-ratus) di belakang.

Saya tahu, jumlah jemaah meningkat dengan pesat. Mereka yang melakukan ziarah ke Madinah sudah mula membanjiri masjid Nabawi.

Jika saya mahu mengekalkan rutin tempat solat di hadapan maka rutin kedatangan ke masjid perlu diubah. Begitulah kehidupan yang tertakluk kepada perubahan.

Ini yang sukar!

Mustajab

Monday, February 6th, 2012

“Dr, masa berbuka sudah hampir. Jangan lupa berdoa,” itulah pesan Al-Walid ketika kami berbincang tentang nama-nama yang mahu dipertimbang untuk Masjid di Somalia.

Lalu beliau menyebut hadis yang menyatakan bagaimana doa yang mustajab. Doa orang yang berpuasa, ibu bapa yang mendoakan anak-anak dan mereka yang dizalimi.

Tiada satu pun yang mengaitkan doa mustajab dengan tempat atau lokasi. Maksudnya, setiap orang yang berpuasa, mereka yang bergelar ibu dan ayah serta mereka yang berasa dizalimi mempunyai keistimewaan dalam aspek berdoa.

Bayangkan pula bagaimana ibu bapa yang berdoa pada ketika 1/3 malam tersisa. MasyaAllah, Allahu Akbar! Bayangkan juga ibu bapa yang berpuasa dan berdoa buat anak-anak mereka.

Ia untuk kita berfikir.

“Boleh kita biarkan penyumbang KRTS memilih nama masjid?,” saya memberi cadangan. Sebenarnya saya tidak berminat untuk menamakan masjid tersebut.

Saya hanya teruja dan suka jika ia menjadi realiti dalam waktu terdekat. Dan itulah doa saya ketika berbuka puasa.

Setahun lepas ada masjid yang dibina di Somalia dengan harga US$150,000

Tidak semua orang suka

Sunday, February 5th, 2012

Benar sekali.

Apa sahaja yang kita dilakukan akan ada yang tidak berpuas hati. Ada dua kemungkinan. Pertama kekurangan diri kita dan keduanya kerana kekurangan diri mereka.

Manusia tidak sempurna.

Dalam konteks saya, saya fikir dalam kebanyakan kes ia kerana kekurangan atau kelemahan diri. Saya seorang berhadapan dengan ribuan khalayak.

Namun saya terus belajar, bermuhasabah dan memikirkan untuk menjadi manusia yang lebih baik. Akhirnya ia kembali kepada prinsip utama, mencari keredhaan Allah.

Saya tidak boleh lagi berfikir sebagai seorang Malaysia kerana khalayak saya ada hadirnya dari Brunei, Singapura dan Indonesia. Bila saya menulis, “sungguh dermawan rakyat Malaysia,” ada rakan bukan rakyat Malaysia menulis dengan lemah-lembut, “Alhamdulillah Prof.. tentu sekali ramai yang menyumbang, mereka mungkin datang dari Brunei, Singapura dan Indonesia”.

Hati saya cepat terasa maksud ayat tersebut. Opps… tentu sekali saya terkhilaf. Saya mohon maaf! Terima kasih kerana menegur dengan cara yang sangat sopan.

Di sana-sini, terdapat khalayak yang tidak dapat saya layani sebagaimana kehendak mereka. Ada beberapa batasan dan halangan yang tidak mungkin dapat saya nyatakan.

Itulah kekurangan diri saya.

Namun jika ada yang menyatakan, “tidak semua yang suka” maka ia bermakna “ada yang suka”. Di sebelah mana kita menyaksikan kenyataan ini, ia tetap memberi motivasi untuk saya terus hadir bersama khalayak pembaca KRTS.

Cara mereka makan

Ia hubungan semulajadi. Anak-anak Somali ini sangat mudah menghampiri Roza, Amirul dan Sofea

Niat membina masjid di Somalia mengundang kami bertemu dan bermesra dengan rakyat Somalia. Semalam kami berada di rumah rakyat Somalia di Mekah yang berasal dari Galkayo.

Lebih banyak maklumat yang saya dan Roza perolehi.

Kita tinggalkan kisah masjid KRTS. Kami makan bersama. Hidangan petang sebelum kembali ke Madinah ialah Nasi Mandy berlaukan Kambing dan Nasi Bukhori Ayam.

Nasi Mandy Kepala Kambing!

Saya teringat kisah memberi ceramah di sebuah kampung di Melaka. Mereka menyembelih kambing dan kepalanya dihidangkan kepada saya sebagai tetamu kehormat.

Lazat sekali!

Namun ada yang lebih menarik tentang cara orang Somali makan. Di sisi mereka ada beberapa sikat pisang. Setiap orang mengambil sebiji pisang dan dimakan dengan nasi. Opps… lauk mereka semasa di Somali…. saya fikir begitu. Ke mana-mana mereka pergi ia tetap begitu.

Jika berjumpa dengan orang yang makan nasi dengan pisang masak pergilah bertanya…. “tuan dari Somalia?”.

Saya mencuba dan sangat OK… apa bezanya dengan Roza memasak sayur pisang muda atau orang Kelantan makan nasi dengan tembikai atau juga makan budu dengan durian.

Ia menarik sekali!

Bahasa Malaysia

Sofea dan Amirul akan kehilangan Bahasa Malaysia. Masa akan menentukannya.

Lalu saya bertanya Sofea, “Sofea mahu menulis di blog?”. Jawapannya, “ya”. Saya tidak tahu berapa lama ia boleh bertahan tetapi sekurang-kurangnya beliau perlu menulis.

Dan kami mahu ia ditulis dalam bahasa Malaysia. Lahirlah FARAH SOFEA…..

Waqaf

Saturday, February 4th, 2012

Allahu Akbar!

Kami tidak tahu apa yang ingin diucapkan melainkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas segala kemudahan yang telah diberikan oleh Allah SWT.

Tiga hari kami di Mekah. Projek membina masjid di Somalia benar-benar menjadi agenda utama. Tidak putus-putus kami berdoa agar Allah permudahkan.

Kami mahu ia benar-benar berjaya.

Di dalam perjalanan pulang – Mekah – Madinah - kami mendapat khabar yang sudah ada individu di Somalia telah mewakafkan sekeping tanah untuk mendirikan masjid ini. Kami memerhatikan keluasan dan lokasi sebenar.

MasyaAllah, Allah Maha Mendengar.

Bila tiba di Madinah, saya onkan internet dan melihat jumlah kutipan terkini.

Masyaallah, subhanallah, Allahu Akbar.

Jumlah terkini RM341 000!