
Tetamu dari Yanbo'. Pertemuan yang tertangguh.
Haram.
Ramai orang menunaikan solat lima waktu di sini. Agaknya pengunjungnya terdiri daripada pelbagai golongan. Mereka yang kaya, sederhana, miskin, bergelar dan tidak bergelar, berpangkat, berdarjat atau manusia biasa-biasa berada di sini tanpa disedari.
Ia kelihatan tiada perbezaan.
Jika mahu berbeza sekalipun, tiada siapa yang peduli. Mungkin pakaian yang dipakai berbeza. Gaya jalannya kelihatan penuh keyakinan.
Sesekali, saya ada juga berjumpa dengan insan yang mahu diketahui asal-usul pangkat dan darjatnya. Ia sangat sedikit.
Dalam diam-diam, Haram mengajar saya untuk melihat manusia sebagai insan yang sama di sisi Allah.
Di luar Haram, suasananya terus berbeza. Masyarakat tempatan melihat kedudukan mereka yang lalu-lalang di hadapan mereka mengikut pasport yang dipegang.
Ia ada kelas dan darjat yang berbeza. Ia terbina bukan sehari dua. Bertahun. Dan ia bergantung kepada apa yang berlaku di negara masing-masing, tingkah laku di sini, dan kenapa kita berada di Arab Saudi.
Benar, ia berbeza-beza!
Isu inilah yang cuba saya perkata kepada tetamu malam tadi, Nazrimi dan keluarga dari Yanbo. Allah juga menghadirkan tingkat-tingkat tertentu kepada hambaNya.
Premis inilah yang cuba saya ingatkan diri sendiri, isteri, anak-anak, keluarga serta rakan-rakan semua agar kita dianugerahkan tingkat “masuk syurga tanpa dihisab”.
Malah ia lebih selesa jika disebut sebagai “golongan terpilih”.
Ia diperolehi dengan rahmatNya mengikut aturan tertentu. Dan aturan inilah yang cuba kita laksanakan agar ia selari dengan istilah golongan terpilih. Asas paling utama ialah dengan melakukan sesuatu semata-semata kerana Allah, semata-mata kerana Allah dan semata-mata kerana Allah.
Kita pasti tersenyum dengan lagak orang terpilih ini apabila menerima buku amalannya nanti sebagaimana yang diceritakan oleh Allah SWT….
Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia berkata,”Ambillah bacalah kitabku (ini)” Sesungguhnya aku yakin, bahawa sesungguhnya aku akan menemui hisab terhadap diriku. Maka orang itu berada dalam kehidupan yang diredhai dalam syurga yang tinggi (Surah al-Haqqa: 19-22).
Bayangkan….
Di dunia akan ada orang yang action dengan pangkat dan darjat serta kedudukan, di sana nanti ada juga yang begitu. Cuma, nilaiannya sangat berbeza!
RM252 000
Secara purata, setiap hari Tabung Masjid KRTS menerima RM21000 sumbangan daripada Khalayak KRTS dan FB. Ia sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan.
Tidak sampai dua minggu, jumlah kutipan sangat-sangat menghampiri sasaran pembinaan awal masjid. Ketika saya menulis ini, hanya 48000 yang memisahkan dengan sasaran tersebut.
MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar.
Saya sangat-sangat bersyukur kepadaNya. Secara teorinya, para penyumbang sudah melaksanakan tanggungjawab mereka. “Khalas,” kata orang-orang di sini.
Kini tinggal saya yang bertanggungjawab pula di atas keyakinan dan kepercayaan para penyumbang untuk menguruskan dana ini.
Secara praktikal, saya sangat-sangat mengharapkan agar kita semua sama-sama bangun 1/3 malam yang tersisa, berqiamullail memhon keampunan Allah dan berdoa serta bermunajat kepadaNya.
Di antaranya, selitkanlah sedikit permohonan agar usaha-usaha ini dipermudahkan. Dengan rahmatNya juga kita memohon agar usaha yang sedikit ini diterima sebagai satu amal yang dipandangNya.
Kami mohon keampunan Mu.