Santai, Ringkas dan Signifikan
(Ditubuh sejak 1434/2013)
Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah
ph: +966502127721
umki
JEMPUTAN

Kesemua penulis buku ini - DZ, Haji Sabtu, Azma, Roza dan saya - akan bersama. Siswa(i) juga boleh membawa buku-buku lain untuk ditandatangan.
NOTA HARI INI
13 Rejab 1434
4 TAHUN 4 BULAN
Ia petikan kisah kehidupan di Rumah kecil di Jabal Uhud. Siswa(i) di jemput hadir ke Dewan Kuliah Roza. Mungkin, ia ada sesuatu yang boleh dimanfaat.
12 Rejab 1434
ISTIQAMAH
Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul seperti yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran (bertaubat) mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.
Banyak perkara kelihatan sukar.
Umumnya kita mendengar orang menyebut, "saya sukar untuk melakukannya secara konsisten". Jika dinyatakan dalam terma agama bermaksud "tidak mampu istiqamah". Ia kegagalan melakukan sesuatu secara berterusan. Maka sandaran terhadap kecacatan tingkah laku ini berdasarkan kenyataan "melakukan perkara sedikit secara berterusan lebih baik daripada perkara yang banyak tetapi hanya dilakukan sekali atau sekali-sekala".
Namun kehidupan kita - sedar atau tidak - dipenuhi dengan unsur-unsur istiqamah, "melakukan banyak perkara secara konsisten". Misalnya, kita secara konsisten menggosok gigi setiap hari. Ada yang melakukannya tiga kali sehari. Kita konsisten makan dan minum. Berjadual. Malah jadualnya sangat tepat. Kita "punch-card" di pejabat. Kita memandu laju jika masa yang tinggal kelihatan tidak mencukupi untuk memastikan kad tidak merah.
Malah kita konsisten tidak bangun malam bertahajud. Maksudnya, kita konsisten tidur lapan jam sehari. Kita juga istiqamah tidak menutup aurat. Setiap hari kita istiqamah "berbogel" ke pejabat. Malah ada yang tidak sempurna harinya jika tidak mengata orang di pejabat. Ada yang istiqamah sebagai penyebar berita. Mereka digelar CNN pejabat. Kelihatan ada yang secara konsisten fobia dengan masjid dan majlis ilmu. Ada juga yang gelisah tidak bertaruh di padang golf.
Saya membuka pandangan "istiqamah" atau "konsisten" dalam dua dimensi berbeza bagi menunjukkan yang tingkah laku tersebut ada dalam diri manusia. Ia istiqamah melakukan kebaikan dan konsisten melakukan sesuatu yang ditegah (nota: saya menggunakan terma istiqamah untuk amalan kebaikan dan konsisten untuk perkara yang ditegah untuk ayat ini). Secara hakikat, kita - manusia - boleh melakukan banyak perkara secara konsisten. Ia satu pembohongan diri untuk menyatakan "saya tidak mampu istiqamah" jika manusia itu berfikir sedalam-dalamnya.
Saya tidak mengata sesiapa tetapi melihat diri yang berpuluh tahun hidup di dalam pembohongan yang dicipta sendiri. Lebih kronik lagi kerana cuba sedaya upaya melawan fitrah dalaman.
Isu ini sangat menarik. Jika kita ingin istiqamah bangun malam maka kita perlu meninggalkan sesuatu tindakan yang telah sekian lama kita lakukan secara konsisten, iaitu tidur malam yang berpanjangan. Jika kita mahu berpuasa sunat Isnin dan Khamis secara konsisten maka kita perlu meninggalkan dua hari istiqamah makan dan minum sepanjang hari yang telah kita lakukan bertahun-tahun.
Begitulah keadaannya jika mahu melakukan perubahan signifikan. Saya terkenang bagaimana saya sangat istiqamah menghisap rokok semenjak 1978 ketika menamatkan peperiksaan SRP (seumpama PMR pada zaman ini). Ia konsisten hampir 30 tahun. Di antara tahun-tahun tersebut saya pernah mencuba untuk meninggalkan amalan "bodoh" ini. Ia sentiasa gagal. Paling lama bertahun hanya sebulan dua.
Namun ia berubah ketika saya menerima panggilan menunaikan fardhu haji. Saya nyatakan kepada Allah SWT betapa saya ingin meninggalkan amalan ini semata-mata keranaNya, semata-mata keranaNya, semata-mata keranaNya. Saya mahu buktikan kepada Allah SWT yang saya sangat bersungguh untuk berubah. Ia satu perlambangan ke arah permulaan kepada perubahan diri yang mencakupi amalan-amalan khusus yang lain.
Tentu sekali ia sukar. Namun saya tidak bertangguh dan berhenti serta merta. Saya tidak mempercayai saranan melakukan secara perlahan-lahan. Saya tidak malu mencatatkan betapa saya menangis memohon kepadaNya supaya diberi kekuatan jiwa dan fizikal. Air hidung sentiasa meleleh ketika dipermulaan usaha. Demam. Kesihatan terganggu. Malah saya terpaksa berjumpa pegawai perubatan beberapa kali dalam tempoh sebulan.
Kini, sudah hampir tujuh tahun saya istiqamah atau konsisten "tidak merokok". Saya meninggalkan "konsisten" merokok yang telah saya lakukan hampir 30 tahun. Bezanya, istiqamah 30 tahun terlangsung sebagai amalan yang tidak membawa kebaikan. Manakala "istiqamah tidak merokok" hadir bersama kekuatan yang dianugerah Allah kerana bersungguh mahu melakukannya.
Malah Allah memberi sesuatu yang lebih besar. Asap rokok yang harum bertukar menjadi sebusuk-busuk bau. Saya berani menegur mereka yang merokok di restoran, di dalam lif atau ketika isteri dan anak-anak berada di sisi.
Saya selalu menyebut kepada anak-anak, "marilah kita lakukan sesuatu dengan berfikir. Jika kita boleh istiqamah makan sepanjang hari, tujuh hari seminggu - berehat seketika di bulan Ramadhan - sepanjang tahun, marilah kita mengambil HANYA dua hari seminggu untuk istiqamah berpuasa Isnin dan Khamis".
Usai solat subuh – pada suatu hari - saya bercerita dengan Azrai, "setelah 5-6 tahun ayah berpuasa Isnin dan Khamis, ayah istiqamah mengambil dua hari seminggu untuk melakukannya. Setahun yang lepas, ayah curi dua hari lagi daripada seminggu yang ada. Maka jadilah puasa Nabi Daud, puasa selang sehari. Maksudnya, ayah istiqamah berpuasa dan separuh masa lagi istiqamah makan dan minum sepanjang hari. Dunia kelihatan adil untuk kita melangkah ke alam akhirat".
Saya boleh memberi banyak contoh untuk kita berfikir dalam soal istiqamah atau konsisten untuk melakukan sesuatu dengan bukti-bukti yang jelas dan nyata. Ia umpama melihat bukti "bulan dan matahari", "tumbuh-tumbuhan dan haiwan" malah menyaksikan "sungai, hujan dan laut". Ia hanya akan meresap ke jiwa jika kita mahu berfikir dan berniat mahu melakukan sesuatu keranaNya.
Tentu sekali tidak sama mereka yang berfikir dengan mereka yang tidak berfikir. Malah tentu sekali tidak sama mereka yang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu. Tanda kita berfikir dan berilmu bukan kerana kita seorang profesor atau lulusan universiti tetapi lebih kepada kemampuan untuk melakukan sesuatu semata-mata keranaNya yang didorong oleh kemahuan yang dipohon dari Allah SWT. Allah memberi ilmu kepada sesiapa yang Dia kehendaki tetapi dengan aturan tertentu.
Kami mohon keampunanMu ya Allah.
Nota Al-Quran: Ayat di permulaan bab di petik dari surah Hud, ayat 112.
11 Rejab 1434
Dekan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA
Saya mulakan catatan ini dengan melafazkan,
Alhamdulillah, setinggi pujian dan syukur dirafa’kan ke hadhrat Allah SWT atas segala limpah kurnianya kepada kita dengan nikmat iman dan Islam serta kesihatan tubuh badan dan kebahagiaan hidup. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta seluruh kaum keluarga dan para sahabat Baginda yang dikasihi.
Tahniah. Sepatah ucapan kepada kesemua penulis buku Ilmu Kehidupan: Ringkas Tapi Signifikan (ILRTS) – Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim, Dato’ Dr Mohd Zaini Mohd Ariff, Tuan Haji Sabtu M Ali, Puan Noor Azma M Kassim dan Puan Raudzah Roslan – kerana berjaya menghasilkan anekdot kehidupan sebagai tacit knowledge untuk dipersembahkan kepada para pembaca. Pengalaman kehidupan yang dicatatkan ini – In syaa Allah – mampu memberi ilmuberguna kepada para pembaca.
ILRTS merupakan kisah kehidupan. Ia kehidupan biasa-biasa yang dilalui oleh ramai orang. Namun ia menjadi signifikan apabila penulis mengaitkan kisah kehidupan yang telah mereka lalui sebagai hubungan antara manusia(hamba) dengan Pencipta(Raja).
Kehidupan itu sendiri merupakan anugerah Allah SWT yang tidak ternilai bagi mereka yang mengerti. Namun ia tempoh singkat sebagai pengembaraan menuju kehidupan abadi di alam Akhirat. Kehidupan akan berakhir dengan kematian. Keduanya – kehidupan dan kematian – adalah makhluk ciptaan Allah. Ia dicipta untuk menguji manusia. Firman Allah:
Mahsuci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, dan Dia maha berkuasa atas segala sesuatu. (Dialah) yang menciptakan kematian dan kehidupan, untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang paling baik amalannya (Al-Mulk: 1-2).
Ujian kehidupan sangat jelas. Persoalannya, mampukah manusia menjalani kehidupan mengikut peraturan dan perintah Allah SWT? Ia mencakupi semua aspek kehidupan sama ada ibadat ataupun muamalat. Malah Allah SWT meletakkan parameter betapa amalan terbaik akan diterima dan bukannya amalan paling banyak. Ia tidak pula bermaksud manusia tidak perlu banyak beramal. Hakikatnya, syarat utama melakukan amal ibadat wajib menepati perintah Allah dan sunnah Rasulullah SAW. Itulah keutamaannya.
Amalan terbaik hanya boleh dilakukan dengan ilmu. Ia pra-syarat kepada semua amalan dalam Islam. Allah SWT berfirman:
Katakanlah wahai Muhammad, ‘Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya hanya orang yang memiliki akal dan hati yang bersih yang dapat mengambil pelajaran (Surah Az-Zumar: 9).
Sabda Rasulullah SAW:
Sesiapa yang Allah SWT mahukan kebaikan padanya, maka diberi kefahaman padanya dalam agama. Sesungguhnya ilmu itu mestilah diperolehi dengan belajar (bitta’allum) dan fikah itu dengan bertafaqquh (Riwayat Bukhari).
Ilmu yang dituntut ialah ilmu bermanfaat (al-‘ilmu al-nafi’). Imam Al-Ghazali menggariskan beberapa ciri ilmu bermanfaat misalnya, ia perlu menambahkan rasa takut kepada Allah SWT, kecenderungan kepada Akhirat dan penglihatan kepada keaiban diri sendiri.
IKRTS ditulis secara ringkas dan santai. Ia boleh dibaca secara "main-main" ketika menghabiskan waktu senggang. Namun – akhirnya – ia akan berakhir dengan rasa bersungguh dan terkesan di hati. Benarlah ia sebuah buku ringkas tetapi signifikan.
Penyebabnya sangat mudah. Ia catatan pengalaman hidup yang dilalui oleh penulisnya berdasarkan latar berbeza. Ia pernah dibincangkan di dewan kuliah alam maya, blokg U-MKI yang di asaskan oleh Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim (MKI) seorang penulis dan blogger yang sangat aktif. Saya mengenali MKI sejak lebih 20 tahun lalu bermula semasa sama-sama berkhidmat di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Ikatan persahabatan ini menjadi lebih rapat dan kemas selepas beliau bergelar “haji” kerana minat dan kecenderungan tinggi beliau terhadap agama. Kami sering sering berbincang pelbagai isu terutamanya yang membabitkan soal kebersihan hati dan bagaimana mahu melaksanakannya ke dalam kehidupan harian. Masya Allah, mengenali beliau sebelum dan selepas menunaikan ibadat haji (2006) umpama dua insan yang sangat berbeza.
MKI membuat pusingan 180 darjah. Alhamdulillah. Ia kekal begitu dan saya sendiri teruja melihat beliau mampu bertahan dan istiqamah dalam setiap amalan yang dilakukannya sehingga kini. Malah beliau pandai berkongsi pengalaman indah ini. Saya percaya penghasilan buku ini bersama empat penulis lain menggambarkan nilai dakwah yang mahu dikembangkan oleh beliau.
Itulah tanda rahmat Allah ke atas seseorang hambaNya. Jika seseorang hamba berusaha dan bermujahadah mencari petunjuk dan hidayah-Nya, maka Allah SWT tidak akan mensia-siakan usaha seseorang hambaNya. Firman Allah:
Dan barangsiapa berjihad, maka sesungguhnya jihad itu untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam (Surah Al-‘Ankabut: 6).
Dalam sebuah hadith Qudsi, Abu Hurairah RA melaporkan Nabi SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman:
Aku bertindak terhadap hambaKu sebagaimana sangkaannya terhadapKu. Aku akan bersamanya apabila beliau mengingatiKu. Jika beliau mengingatiKu dalam hatinya, maka Aku akan mengingatinya dalam diriKu. Jika beliau mengingatiKu dalam suatu kumpulan, maka Aku akan mengingatinya dalam kumpulan yang lebih baik (iaitu perhimpunan para malaikat). Jika hambaKu mendekatiKu sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta. Jika beliau mendekatiKu sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Jika beliau datang kepadaKu berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari (Riwayat Bukhari).
Berdasarkan suluhan hadith qudsi di atas, lihatlah bagaimana luas dan cepatnya rahmat Allah ke atas hambaNya. Malah Allah memberi hidayah dan rahmat dari sisi-Nya melebihi usaha yang dibuat oleh hambaNya. Tinggal lagi manusia perlu berusaha mencari jalan untuk mendapat rahmat Allah yang maha luas.
Akhir sekali, saya bagi pihak Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) dan UiTM, ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada para penulis kerana bersedia mendermakan kesemua kutipan royalti dari jualan buku ini kepada Tabung Zakat dan Sedekah UiTM untuk membantu anak bangsa kita yang memerlukan bantuan dalam meneruskan pengajian. Semoga buku ini akan memberi manfaat kepada penulis dan pembacanya. Jazakumullah khairal jaza’.
Sekian, terima kasih dari Al-fakir ila ramati Rabbih.
10 Rejab 1434
CERMIN
Ia penting.
Hampir kesemua manusia memerlukannya tanpa sedar. Namun cermin ini pelbagai wajahnya. Ada yang betul-betul bernama cermin dan fungsinya memang begitu. Kuali juga boleh berfungsi sebagai cermin apabila terdesak. Malah apa sahaja yang boleh memantulkan kembali wajah atau tubuh badan untuk kita membuat kesimpulan OK atau tidak OK boleh dikira sebagai cermin. Ia kenyataan yang dipermudahkan.
Namun ada cermin besar dianugerah Allah kepada setiap manusia yang mahu berfikir. Ia kehidupan dunia. Bijak pandai ada membuat ungkapan betapa "dunia adalah cermin kehidupan akhirat". Melihat kejadian yang berlaku di dunia - sekurang-kurangnya - kita boleh membayangkan kehidupan di akhirat.
Masjid Nabawi atau Masjidil Haram merupakan dua rumah Allah yang dijanjikan keistimewaan. Paling tidak ia disyariatkan untuk bermusafir dan beramal ibadat. Kedua, dinyatakan secara jelas betapa ganjaran pahala beramal ibadat di dalamnya juga berbeza. 1000 kali untuk masjid Nabawi dan 100,000 kali untuk Masjidil Haram. Namun saya berpesan kepada diri sendiri dan khalayak, "lakukan amal ibadat semata-mata kerana Allah SWT dan - In syaa Allah - ganjarannya memang sudah tersedia".
Ramai jemaah yang berlumba-lumba mencari yang terbaik ketika berada di dalam masjid (nota: ramai juga yang tidak kisah). Misalnya, mereka mahu bersolat sehampir mungkin dengan Imam. Namun tempatnya terbatas. Saya sendiri suka berada di kawasan ini namun ada ketikanya memilih bersama jemaah Malaysia bagi memberi peluang bertegur-sapa dan mudah-mudahan dapat menyampaikan sedikit pandangan yang boleh dimanfaatkan. Itulah kesukaan yang diberi Allah SWT sehingga ke saat ini.
Semalam hati tergerak untuk solat maghrib di kawasan tersebut. Hukum mudahnya sangat jelas. Ia perlu berusaha untuk mendapatkan saf awal. Mereka yang pergi awal - aturan biasa - sepatutnya boleh berada di situ tanpa sebarang masalah. Ia tempat terbuka untuk dihadiri. Namun ada ketikanya - jika Allah tidak memberi keizinan - terbatal wuduk ketika saat-saat hampir solat. Jika ia berlaku jemaah terpaksa keluar dan mengucapkan selamat tinggal kepada saf yang telah diisi melebihi satu jam.
Di kawasan tersebut juga disediakan saf khas untuk beberapa insan terpilih serta pasukan polis yang bertugas. Mereka golongan istimewa kerana tempatnya sudah sedia ada. Mereka hanya perlu hadir 5-10 minit sebelum solat bermula. Benar, bilangannya hanya sedikit. Sangat sedikit.
Namun saya teruja menyaksikan betapa terdapat mereka yang datang lewat lalu tidak mempunyai saf. Mereka duduk di antara dua saf dan berharap dapat menyelit apabila jemaah bangun solat sunat. Mereka ini mempunyai sifat degil dan muka tebal. Ia keinginan untuk solat di kawasan tersebut tetapi dalam masa yang sama enggan datang terlebih awal. Ia fenomena harian di kawasan ini. Jumlahnya bertambah dan bertambah sehingga mata kasar saya boleh mengagak yang permintaan sudah melebihi tawaran.
Benar juga, apabila tiba waktu solat mereka dapat menyelit dan menjadikan saf sangat rapat. Saya sukakan saf yang sebegini. Namun ada juga yang terpaksa meninggalkan kawasan ini kerana langsung sudah tidak mempunyai ruang. Cepat-cepat mereka pergi sambil mengintai ruang di sepanjang laluan. Ia mungkin berakhir dengan mereka terpaksa solat di luar masjid.
Ia peristiwa yang berlaku hampir setiap waktu solat. Sepatutnya ia begitu kerana ramai yang berminat. Saya merenung diri. Inilah cermin dunia yang mengisahkan kehidupan akhirat. Manusia - semuanya - ingin memasuki syurga tetapi akhirnya mereka dipisah-pisahkan dengan kumpulan yang berbeza-beza.
Masing-masing mempunyai darjat tersendiri yang telah diputuskan oleh Allah SWT. Saya bercita-cita mahu diangkat sebagaimana insan terpilih yang begitu mudah untuk solat di saf utama. Malah saya mahu isteri, anak-anak, kaum keluarga, guru-guru anak murid, sahabat-handai serta seluruh muslimin dan muslimat juga ikut serta dengan cara yang paling mudah.
Sebelum sampai ketika dan saat itu, cerminlah diri sebagaimana pesanan Khalifah Omar Al-Khatab,
Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab dan timbanglah amalmu sebelum kamu ditimbang kerana sesungguhnya kamu melakukan hisab terhadap dirimu sendiri pada hari ini akan lebih memudahkan bagi kamu menjalani hisab pada hari kiamat.
Kami mohon keampunanMu ya Allah.
8 Rejab 1434
BOLEH DILAKUKAN
Kehidupan gedung ilmu buat mereka yang mahu berfikir. Azma bertemu siswi U-MKI bergelar ibu yang mempunyai kegigihan luar biasa. Beliau menceritakan dapatan pertemuan di Dewan Kuliah U-MKI. Siswa(i) dijemput hadir.
7 Rejab 1434
IMPIAN DAN HARAPAN
Musim kemasukan ke Universiti.
Ia proses menarik. Kelihatan ada ketikanya ibu bapa lebih sibuk daripada tuan punya badan yang akan meneruskan pengajian. Malah di sana-sini akan terdapat anak-anak mendapat tawaran pengajian yang bukannya menjadi pilihan utama. Mereka kelihatan sedih, kecewa dan tertekan.
Proses pemilihan pelajar ke IPTA ibarat pasar lelong. Setiap universiti mempunyai hak keutamaan memilih bagi calun yang telah menetapkan program pilihan pertama mereka. Bagi setiap IPTA, mereka sudah mempunyai unjuran pengambilan bagi program yang ditawarkan. Tentu sekali mereka mahukan pelajar terbaik mengisi program tersebut. Apabila bilangannya bersekali dengan sedikit tambahan andaian peratusan penolakan mencukupi, maka calon-calon yang tidak terpilih akan ditawarkan kepada pilihan kedua.
Acapkali calon-calon gagal pilihan pertama ini mempunyai keputusan peperiksaan cemerlang. Malangnya tempat terhad. Ramai calon yang mengambil sikap "main-main" apabila mengisi pilihan kedua, ketiga dan seterusnya. Mereka memilih program sekadar memenuhi syarat. Ia menjadi signifikan apabila tempat untuk pilihan pertama sudah dipenuhi. Calon-calon ini - pastinya - akan dilelong berdasarkan pilihan seterusnya. Begitulah ibaratnya bagaimana proses pemilihan pelajar ke IPTA yang dipermudahkan.
Hakikatnya, tidak semua impian menjadi kenyataan. Saya sendiri berminat dan berangan-angan untuk menjadi ahli politik, bertanding sebagai wakil rakyat dan akhirnya menjadi menteri sehingga menjawat jawatan perdana menteri. Cita-cita ini mahu dilaksanakan secara bersungguh. Lalu - walaupun - saya bersekolah di MRSM mengikut aliran sains, saya memilih untuk mengambil pelajaran sejarah berbanding geografi. Ketika ditemuduga ke Luar Negara, saya telah menyusunkan keutamaan seperti berikut:
1 Undang-Undang
2 Sains Politik
Ia di luar kebiasaan pelajar MRSM. Namun ada sesuatu yang menghalang kepada keinginan ini (nota: tulisan ini tidak menceritakan soal ini). Saya tidak berjaya ke Luar Negara. Baki hampir 30 orang pelajar MRSM KB tercampak di IPTA tempatan dan saya 'terpaksa" mengambil program perakaunan yang sangat asing dalam kehidupan sebagai seorang pelajar.
Bahasa mudah, "saya tidak sukakan program ini". Namun kekecewaan tidak dapat ke Luar Negara dengan beberapa kegagalan sebelumnya menyebabkan saya bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh. Saya fikir inilah pilihan yang tinggal. Akhirnya, minat dan impian lama berensot pergi dan "bolehlah" dengan perkataan perakaunan membawa saya mencecah garisan PhD dalam usia - secara relatifnya - yang muda.
Melihat ke belakang, jelas perancangan Allah SWT jauh lebih baik daripada perancangan manusia.Saya rasa - alhamdulillah - gembira dan teruja dengan bidang yang bukan di dalam pilihan. Malah saya memahami satu perkara di mana minat dan kecenderungan masa kini adalah berdasarkan maklumat sedia ada yang terbatas. Kadang-kala ibu bapa sendiri mendoktrinkan keinginan mereka kepada anak-anak yang tidak tahu menahu bidang apa yang sepatutnya menjadi pilihan mereka.
Beginilah, jika kita mampu memberikan anak-anak keinginan program yang mereka impikan, berilah. Hantarlah ke mana sahaja yang ada di dalam kawalan $$$$ kita. Jika tidak, kisahkanlah bagaimana masa hadapan tidak dapat ditelah dengan sempurna.
Dalam kedua-dua keadaan bangunlah bersolat malam, bermunajat dan berdoa supaya Allah SWT memudahkan perancangan dan menjayakan impian dan harapan ibu bapa dan anak-anak. Kaitkan setiap tindakan kita dengan kebergantungan kepada Allah SWT. Insya Allah, proses kemasukan universiti hanyalah salah satu ujian kehidupan yang perlu ditangani dengan kaedah yang boleh menghampirkan diri kepadaNya.
Moga Allah SWT permudahkan.
6 Rejab 1434
GURU
(Khusus untuk Ibu, bapa dan anak)
Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak soleh yang berdoa untuknya.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar. Saya mohon keampunan Allah.
Hadis riwayat Muslim ini benar-benar menghambat minda dan perasaan apabila Allah memberi peluang untuk saya berfikir. Ia soal peranan seorang anak terhadap ibubapa atau sebaliknya. Di sebelah mana kita mahu berfikir – samada seorang anak atau ayah – ia memberi kesan besar kepada kehidupan saya sebagai seorang manusia yang mahu mendapat keredhaanNya. Malah ia menjadi signifikan apabila memikirkan bagaimana kesan kehidupan di dunia dalam menghadapi suasana selepas kematian. Hubungan mereka yang tinggal dengan mereka yang pergi nyata terbatas.
Ayah meninggal penghujung 1995 ketika saya berusia di awal 30an. Roza selalu bertanya, "Yang, awak tidak doakan ayah?," sesuatu yang tidak saya lakukan. Malah saya tidak terfikir untuk bersungguh berdoa bagi kedua orang ibu bapa. Ia hari-hari berlalu tanpa makna yang besar. Allah ya Allah, barangkali saya - juga - jarang berdoa secara formal atas apa sahaja. Dan tentunya ia agak ironi melihat seorang menantu yang sentiasa mengingati kedua-dua ibu dan bapa mertuanya.
Maka ia agak munasabah apabila saya mendengar Roza berkata, "Yang saya bermimpikan ayah dan Wan. Mereka tersenyum memandang saya. Saya melihat rumah Wan dan Ayah". Ia diceritakan bukan sekali. Kadang-kadang saya terfikir – kenapa Allah tidak temukan saya dengan Ayah dan Wan – kenapa pula Roza yang hanya berpangkat menantu. Allah ya Allah, ia hanyalah lintasan hati sesaat. Ia tidak mustahak.
Ia mimpi. Cerita Roza berlalu tanpa berbekas di hati.
12 tahun selepas pemergian ayah, barulah saya tersedar daripada mimpi panjang. Terpukul dari permainan dunia sementara yang mengasyikkan. saya membaca hadis ini dan tersedu mengenangi betapa saya bukanlah anak yang soleh. Saya tidak pernah mendoakan mereka secara bersungguh. Malah saya bukannya seorang individu sempurna dalam melaksanakan rukun Islam. Solat saya tidak terjaga, puasa di bulan Ramadhan hanyalah puasa lapar dan dahaga, zakat – selain daripada zakat fitrah – tidak pernah difikirkan dan sentiasa menolak untuk menunaikan fardhu haji walaupun diajak berkali-kali oleh isteri.
Saya terasa begitu. Penilaian kediri jelas menunjukkan saya bukanlah seorang anak soleh mengikut aturanNya sebagaimana yang dijelaskan oleh Luqman kepada anaknya melalui surah Luqman, ayat 17-19 yang bermaksud,
Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.
Tentu sekali hadis yang saya pelajari dan amati ini memberi impak besar kepada hati sanubari sendiri setelah bertahun-tahun hidup tanpa mempedulikan kesan kehidupan kepada kedua ibu bapa yang telah pergi. Kita sering melafazkan betapa kita amat menyayangi, mengasihi dan mencintai mereka. Ia tidak membawa sebarang makna yang jelas. Malah ia merupakan satu pembohongan yang tidak disedari.
Allahu Akbar, kau ampunilah daku. Ampunkanlah daku di atas segala kelalaian ku. Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosa kedua orang ibu bapaku. Mereka banyak berjasa kepada ku. Tidak terbalas jasa mereka ya Allah. Ya Allah, perluaskanlah kubur mereka. Pancarkan nurMu ya Allah. Temu dan kumpulkanlah kami di syurga Mu ya Allah.
Kini saya tersedar betapa mereka hanya meninggalkan tiga perkara mudah, ilmu yang bermanfaat, amal jariah dan anak yang soleh. Pandangan mata ia merupakan tiga perkara yang berbeza. Namun kini saya melihat hadis ini dalam perspektif yang sangat berbeza. Hadis ini meghubungkan di antara ibu bapa yang telah tiada dengan anak-anak yang sering menyatakan mereka cinta dan sayangkan keduanya. Ia sangat signifikan dalam menterjemahkan rasa cinta, kasih dan sayang kepada kedua-dua ibubapa dengan cara yang diredhai Allah. Malah melalui pandangan yang berbeza, ia membawa dimensi baru dalam soal mendidik anak-anak agar mereka menjadi anak yang soleh atau solehah.
Pertama, saya terkenang betapa ayahlah guru pertama yang mengajar saya surah al-Fatihah. Al-Fatihah dibaca setiap hari. Ia dibaca sepanjang hayat. Sekurang-kurangnya 17X ketika menunaikan solat fardhu. Ia adalah ilmu yang bermanfaat. Maka saya mengajak kesemua ibu bapa menjadi pengantara untuk mengajar sendiri anak-anak surah ini yang akan memberi kesan besar selepas kita meninggalkan alam ini.
Allahu Akbar.
Kedua, ayah jugalah guru pertama yang mengajar saya bagaimana mahu solat. Benar - pada suatu ketika - saya pernah meringan-ringankan solat. Saya mohon keampunan Allah. Namun apa yang diajar Ayah terus kekal di dalam minda. Ia ilmu yang sangat bermanfaat. Ajarlah anak-anak kita tentang solat. Biar - sedikit sebanyak - datangnya dari mulut kita sebagai seorang ayah dan ibu.
Cubalah semak kembali bacaan mereka, rukun solat dan apa sahaja yang berkaitan dengannya yang boleh menjadikan ia sebagai ilmu bermanfaat. Dulu, saya tidak mempedulikannya kerana memikirkan mereka akan belajar di sekolah. Itulah peranan ustaz dan ustazah. Allah ya Allah, bodohnya saya! Malah begitu banyak yang boleh kita ajarkan kepada anak-anak dengan niat semata-mata kerana Allah.
Malah ilmu yang bermanfaat tidak berkisar kepada ibadat khusus semata-mata. Misalnya, seorang ibu yang bersungguh-sungguh mengajar anaknya dengan pelbagai resepi masakan lalu memohon kepada Allah SWT supaya ia menjadi ilmu bermanfaat dan diredhaiNya. Malah ilmu yang sama jika diajar pula kepada anaknya sendiri akan membentuk rantaian ilmu bermanfaat yang tidak berpenghujung.
Begitulah bagaimana Allah melimpahkan rahmat dan kasih-sayangNya kepada hamba-hamba yang sentiasa mencari keredhaanNya. Hakikatnya, manusia sering lupa untuk mengaitkan kehidupan di dunia sebagai sebahagian daripada laluan penting yang akan membawa mereka hidup di syurga yang kekal abadi. Peringatan Allah SWT melalui ayat 46 surah Al-Kahfi ternyata relevan di dalam mengaitkan hubungan ibu bapa dengan anak-anak dalam kontek menjadi anak yang soleh atau solehah.
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.
Dalam konteks seorang anak, saya meluangkan banyak masa bercakap dan bercakap serta menulis dan menulis mengajak masyarakat untuk solat berjemaah di masjid, berpuasa sunat, bangun malam, membaca al-Quran dan membersihkan hati supaya melakukan apa sahaja semata-mata kerana Allah. Ia didasari oleh pelbagai faktor.
Hadis ini adalah salah satu faktor tersebut. Saya mahu mengingatkan diri sendiri, anak-anak, kaum keluarga, rakan-rakan serta masyarakat betapa tanda sebenar cinta, kasih dan sayang kepada kedua ibu bapa yang telah tiada hanya dengan menjadi anak yang soleh dan solehah. Saya sering mengemukakan beberapa pertanyaan ringkas misalnya,
Solehkan kita jika tidak solat berjemaah di masjid tanpa sebarang alasan yang munasabah? Bukankah ini yang dilakukan oleh Baginda SAW seumur hidup beliau kecuali dalam beberapa ketika tertentu. Kenapa tidak mahu ke masjid? Kenapa tidak mahu memenuhi masjid yang lengan dan sepi?
Bagaimana mungkin kita menjadi anak yang soleh dan solehah jika sentiasa berjudi di padang golf, melakukan rasuah, fitnah, berzina dan berebut kuasa sehingga melanggari batas-batas yag telah ditetapkan oleh Allah SWT?
Solehahkah kita jika tidak menutup aurat dengan sempurna?
Apakah kita mampu mendoakan kedua ibu bapa yang telah tiada jika kita sendiri tidak mahu mengikuti suruhan Allah SWT melalui ayat 59, surah Al-Azab yang bermaksud,
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Allah ya Allah, ramai yang menangis tersedu-sedu apabila ayah dan ibu dipanggil pulang. Namun kembalilah kepada hakikat yang satu. Mereka masih memerlukan kasih-sayang kita. Menangislah puas-puas. Kemudian, bersiaplah untuk melakukan perubahan besar dalam hidup sendiri. Lakukan kerana Allah betapa ayah dan ibu memerlukan kita menjadi anak yang soleh dan solehah.
Benar, hadis ini membawa saya menilai diri sendiri. Saya sayangkan ayah dan Wan. Lalu saya berdoa kepadaNya,
Ya Allah jadikanlah aku sebagai pengamal kepada ilmu yang diajar oleh kedua-dua mereka agar ia menjadi ilmu bermanfaat. Ya Allah jadikanlah aku sebagai anak yang soleh supaya dapat pula aku mendoakan kedua ibu bapa ku sebagai doa anak yang soleh. Ampunilah daku ya Allah di atas segala kelalaian ku. Kaulah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kaulah penerima taubat ya Allah.
Nota hadis: Hadis riwayat Imam Muslim pada sohihnya melalui Kitab:Wasiat, melalu bab: Perkara yang berkaitan dengan pahala bagi seseorang selepas kematianya. Hadis no: 1631.
5 Rejab 1434
BERJAUHAN
Berjauhan melahirkan kerinduan.
Jauh – kebiasaannya – menunjukkan jarak. Suami-isteri dikatakan berjauhan akibat tempat bertugas. Ramai yang menjadi suami(isteri) hujung minggu. Natijahnya jelas. Ia kehidupan berkeluarga yang terbatas. Ahli keluarga – pastinya – menunggu hujung minggu bagi meraikan waktu bersama seisi keluarga.
Namun ada juga berjauhan kerana memilih begitu. Ia disebabkan beberapa pilihan atau faktor lain yang bersangkut. Misalnya, rakan sejawat dari Mesir – di Universiti Taibah – memilih untuk hidup bersendirian di sini kerana faktor pendidikan anak-anak. Sistem dan kualiti pendidikan jauh lebih baik di negara asal berbanding Arab Saudi.
Namun beliau perlukan gaji Madinah. Sebulan pendapatan bekerja di Madinah bersamaan setahun gaji di negara sendiri. Bayangkanlah. Jika beliau bekerja selama 5 tahun di sini, ia seolah-olah 60 tahun bekerja di Mesir. Saya fikir ia pengorbanan yang sangat berbaloi apatah lagi berada hampir dengan Masjid Nabawi. Beliau menjadi ayah dan suami pada cuti pertengahan semester, haji dan musim panas.
Namun pilihan tersebut boleh untuk tidak dilakukan. Rakan yang lain memilih untuk membawa seisi keluarga ke Madinah. Beliau nyatakan, "saya tidak dapat hidup tanpa isteri dan anak-anak di sisi". Hakikatnya, beliau masih dapat menghantar anak-anak ke sekolah yang dikendalikan oleh rakyat Mesir dengan pengurangan kualiti. Juga, ia merupakan pilihan di antara pilihan yang ada.
Saya memahami perasaan mereka yang berjauhan. Pengalaman lampau menceritakan rasa ini. Pertama, ketika bertugas di UiTM Sarawak dan Roza di Kuala Lumpur. Anak-anak bersama beliau. Kedua, ketika saya menjawat jawatan Timbalan Pengarah UiTM Segamat dan Roza bertugas di Shah Alam. Ia rasa sukar. Namun itulah pilihan yang dibuat sendiri dengan mempertimbangkan beberapa opsyen yang ada.
Benar, ia membawa kerinduan!
Namun – dalam konteks berbeza –berjauhan dengan Allah SWT juga berlaku pada manusia. Ada yang sangat jauh sehingga tidak menyedari atau tidak sedar tentang kewujudanNya. Tiada langsung rasa rindu. Manusia hanyut dalam dunia ciptaan sendiri. Saya fikir, iIa sesuatu yang mahu dielakkan. Mudah-mudahan Allah memberi taufik dan hidayah kepada saya, kaum keluarga yang hampir, siswa(i) dan seluruh manusia sejagat.
Berjauhan denganNya berkait rapat dengan tahap keimanan yang sentiasa ada pasang-surutnya. In syaa Allah, dalam kes ini akan terbit rasa rindu yang di sulami dengan perasaan dukacita, kecewa dan lemah diri. Namun ada satu hukum yang perlu disedari. Jika dibiarkan maka ia berlalu pergi. Hilang rasa rindu dan muncul rasa biasa. Lama kelamaan ia rasa yang dilupakan.
Rahsia selangkah kita hampir kepadaNya, beribu langkah Dia mendekati kita terpakai dalam dua keadaan berbeza. Jika sebaliknya, Allah juga tidak memerlukan kita.
Bagaimana ia terjadi? Saya ingin mengambil misal mudah. Misalnya, bila bercerita tentang puasa Nabi Daud, terdapat kenalan yang menyatakan, "dulu saya mengamalkan puasa ini. Rasa seronok. Saya memahami kenapa ia dinyatakan sebagai puasa sunat yang paling disukai oleh Allah SWT. Kemudian saya tinggalkan. Ia sudah tidak menjadi amalan saya".
Ia tidak dinyatakan. Saya fikir masih ada sedikit rasa rindu dengan amalan tersebut. Namun jika lihat dalam konteks yang sebenar, ia lebih kepada hubungan rapatnya dengan Allah SWT melalui amalan tersebut. Bukan senang untuk melakukan amalan ini kecuali mereka yang benar-benar cintakanNya. MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar, sedikit demi sedikit rasa rapat itu akan terpinggir jika lebih banyak amalan yang sering kita lakukan ditinggalkan.
Benar sekali berjauhan boleh menyebabkan kerinduan. Namun – dalam konteks ini – ia tidak menunjukkan jarak. Kembalilah kepadaNya untuk mengubat rasa manis ini. Pulanglah. Ia tidak memerlukan tiket kapalterbang atau pertukaran tempat bertugas.
Ia perlu dilakukan dengan hati dan perasaan. Kami mohon keampunanMu ya Allah.
4 Rejab 1434
REZEKI DAN PAHALA
Ayat 1000 Dinar... Solat Dhuha? Adakah ia punca rezeki? DZ - usahawan dan pensyarah tamu U-MKI - menyebut sepatah makna yang sangat signifikan di Dewan Kuliah Zaini. Siswa(i) dijemput hadir.
3 Rejab 1434
ANAK
Benar, ia anugerah Allah. Setiap satu anak mempunyai tingkah laku berbeza. Malah kesemuanya berubah wajah dan perangai seiring dengan pertambahan umur. Kepintaran berfikir juga tidak setanding di antara mereka. Ada yang tenang, ada pula yang panas baran. Ada yang sentiasa mengingati adik-beradik, terdapat juga yang mahu melepaskan diri sendiri.
Bagaimana perasaan ibu bapa apabila berhadapan dengan tingkah anak-anak yang berbeza perangai, kepintaran dan kebolehan? Berlakukah perasaan kasing-sayang yang berbeza?
Entah... saya biasa mendengar (nota: hampir kesemuanya) ibu bapa berkata, "anak-anak sama sahaja. Semuanya kita sayang. Tidak lebih dan tidak kurang". Apa yang terkandung di hati pastinya susah ditelah. Agak saya begitu.
Jika tutur kata tidak sengaja diambil kira mungkin setiap anak yang dianugerah Allah diberi rasa kasih yang tidak sama rata. Misalnya agak kepelikan untuk mendengar ibu bapa berkata, "anak saya yang satu ini agak kurang sedikit berbanding dengan adik beradik yang lain".
Perlukah ia disebut atau diceritakan?
Tentu sekali kita biasa mendengar bagaimana ibu bapa yang beria-ia bercerita tentang kejayaan anak-anaknya yang mendapat 5A, 10A atau sedang menuntut di dalam fakulti perubatan atau pergigian. Berapa ramai yang bangga dengan anak-anak yang berjaya menjawat jawatan tinggi di sektor awam dan swasta.
Ia satu kebanggaan.
Amat sedikit yang mahu melupakan sejenak kejayaan akademik dan merenung sambil melihat anak-anak yang sedang dibanggakan dengan satu pertanyaan, "anak lelakiku solat berjemaah di masjidkah?" atau jelinglah dan pandanglah anak gadis dengan sedikit kerisauan, "bilakah sayangku mahu menutup aurat?".
Ukuran kejayaan ini tidak dilihat separas dengan kejayaan akademik. Hakikatnya, kita mahu berjaya keduanya. Akhirnya, sudah banyak kes menunjukkan anak-anak yang tidak dibanggakan, "kurang sedikit" dan "tidak berapa pandai" menjadi tempat pergantungan ibu bapa ketika mereka hilang upaya. Ajaib, kehidupan mereka juga kelihatan lebih aman dan damai.
Kami mohon keampunanMu ya Allah.
JUMLAH PELAJAR BERDAFTAR
>5000
BUKU TEKS TERBARU


BUKU TEKS UTAMA




BACAAN TAMBAHAN




BUKU REMAJA
(Buku awal MKI)


Hubungi Pensyarah U-MKI
DZ : zainimail@gmail.com
Haji Sabtu: sabtu@iircoaching.com
Azma: noorazma@gmail.com
Roza: rozaroslantaibah@gmail.com
MKI: mki@muhdkamil.org
Universiti MKI
Jabal Uhud
Madinah
ph: +966502127721
umki